Memaparkan catatan dengan label Novel. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Novel. Papar semua catatan

Novel Bab-11

• Masa : 9:20:00 PG • Ulasan : 0 • Label :

 Hati Amiruddin suram. Sedikit-demi sedikit keni'matan hidup di asrama SMKAY ini terhakis dek perbuatan manusia-manusia yang tidak bertanggungjawab. Ketenangan yang sering dirasa dahulu, kini hilang. Tidak lagi aman. Hari berganti hari pelbagai masalah timbul membuktikan rahmat Allah semakin jauh dari penghuni madrasah ini. Jauh kerana maksiat yang dilakukan oleh mereka sendiri!
Amiruddin teringat satu kisah tentang Abu Hazim, seorang ulamak dari Madinah, pernah ditanya kepadanya, "Di manakah Rahmat Allah?" Maka Abu Hazim menjawab, "Rahmat Allah itu dekat dengan orang-orang baik."
Bagi Amir, dengan keadaan akhlak pelajar sebegini, tidak hairanlah rahmat dan ni'mat Allah itu ditarik sedikit demi sedikit. Semuanya tidak lain tidak bukan adalah sebagai peringatan supaya mereka kembali mendekatkan diri kepada Allah. Namun malangnya, amat sedikit mereka yang menyedari.

Novel-Bab 10

• Masa : 10:05:00 PG • Ulasan : 1 • Label :
BAB 10
 "Sial! Celaka kau Mus!!"
Hamun Najmi. Setelah selesai ceramah tadi, dia terus bergegas pulang ke asrama. Ingin dilihat 'hartanya', sama ada diusik pengawas ataupun tidak. Masuk saja ke dalam dorm tadi, terus mengamuk lelaki itu. Mana tidaknya! Mangga lokernya dipotong. Rokoknya dirampas. Habis hilang semua barang larangan yang dibawanya.
"Ahh!! Benci aku asrama ni! Itu tak boleh, ini tak boleh! Sial!"
Adik-adik kecut perut melihat senior mereka begitu. Cepat-cepat mereka bersiap dan keluar dari dorm. Takut mereka melihat Najmi mengamuk, tak ubah seperti orang gila.
"Relax Najmi, relax!" Hazami cuba menenangkan suasana, walaupun dia sendiri sebenarnya gerun melihat Najmi sebegitu.
"Relax apanya? Habis semua barang aku dirampas celaka tu! Kalau aku jumpa, memang mampus semua pengawas aku kerjakan!"
"Sabar Najmi,sabar. Kalau kau pukul pengawas, nanti kau kena panggil lagi. Kena hukuman tatatertib lagi. Lagi susah," kata Hazami memujuk.
"Habis tu, kau nak suruh aku buat apa? Jadi pak turut? Ikut saja semua arahan mereka!" Kasar suara Najmi. Dadanya berombak menahan marah.
"Haa...kita kena bijak Najmi. Kita seksa pengawas-pengawas ni semua dalam diam-diam!" Idea jahat terbit dari mulut Hazami.
"Seksa diam-diam? Maksud kau?" Soal Najmi tidak mengerti.
"Begini...."

Novel-Bab 9

• Masa : 3:49:00 PG • Ulasan : 0 • Label :
BAB 9
 "Mana Syahril dan Irzan?" Soal Ustaz Rahman pada Mustakim.
Mustakim hanya membisu. Dia tidak tahu hendak memberi alasan apa pada wardennya itu. Sebentar tadi dia sudah maklumkan pada dua sahabatnya itu bahawa ustaz ingin berjumpa mereka bertiga. Tapi entah kenapa, dua lelaki itu buat endah tak endah sahaja dengannya. Semenjak dari peristiwa malam itu, Mustakim perasan yang mereka berdua cuba menjauhkan diri darinya. Dipujuk hatinya agar bersabar. Kata-kata Amiruddin masih tersimpan kemas di hatinya.
"...bayangkanlah kalau Rasulullah itu seorang yang tidak sabar abang....nescaya Islam akan terkubur di bumi Mekah dan kita tidak akan merasai ni'matnya."
"Mustakim!"
"Ahh...ya, saya ustaz!"
Mustakim kembali ke alam nyata. Imbauan semalam terlerai.
"Termenung pula kamu ni. Ni Shahril dan Irzan dah datang."
Mustakim memandang dua lelaki itu. Mereka membuatnya seperti tidak wujud. Tidak bertegur walau sepatah kata.
"Begini...saya dan Cikgu Ramzi dah berbincang yang kita akan adakan satu spotcheck asrama mengejut."
Shahril dan Irzan saling memandang. Mustakim kelihatan tenang.

Novel-Bab 8

• Masa : 2:43:00 PG • Ulasan : 0 • Label :
BAB 8
 Dewan Luqman Al-Hakim kelihatan sibuk. Seperti biasa, setiap pagi ahad, perhimpunan mingguan akan diadakan di dewan ini. Tidak seperti hari-hari lain,para pelajar tidak perlu berhimpun di asrama tapi terus saja ke dewan utama sekolah ini. Pada perhimpunan mingguan inilah maklumat-maklumat penting akan disampaikan oleh para guru dan pihak pentadbiran sekolah. Bagi pelajar, perhimpunan pagi tidak lain tidak bukan hanyalah sebagai satu tiket untuk tidak masuk ke kelas awal pagi. Hanya  segelintir yang mungkin menganggap perhimpunan ini penting.
Seperti biasa, Amiruddin menjadi orang terawal datang ke dewan. Sebelum ini dia sering datang sebagai pengawas bertugas. Namun tahun ini dia menjadi pelajar biasa. Tahun rehat. Kerana itu dia perlu beratur bersama-sama pelajar lain. Dari jauh, Amir memerhatikan Mustakim di atas pentas. Dia bersama-sama pengawas junior sedang bersiap-siap untuk perhimpunan pagi itu.

Novel-Bab 7

• Masa : 5:45:00 PTG • Ulasan : 0 • Label :
BAB 7
 Malam hujung minggu, tidak ada yang lebih menyeronokkan di asrama selain daripada menonton televisyen. Tambahan pula pada malam jumaat, TV3 akan menayangkan rancangan Mega Movie yang selalunya menghidangkan cerita-cerita aksi yang sangat disukai para pelajar terutamanya pelajar putera. Malam itu, cerita Ironman 3 terpampang di kaca televisyen. Apa lagi? Berebut-berebutlah pelajar putera memenuhi bilik tv yang luasnya tak jauh beza dari luas sebuah dorm. Mana mungkin mahu menampung pelajar putera yang mencecah hampir 300 orang lebih! Akibatnya hanya yang 'berkuasa' akan dapat duduk, manakala yang tidak 'berkuasa' seperti junior-junior akan berdiri ataupun curi-curi melihat dari celah tingkap bilik Tv.
Saat ini, Hafizan yang merupakan antara pelajar tingkatan 4 yang ditakuti adik-adik sedang 'menguasai' tempat duduk hadapan. Baru beberapa minit cerita bermula, Hazami masuk dari pintu dan terus menghala ke arah Hafizan. Dia membuat isyarat supaya Hafizan beransur dari kerusi itu. Dia mahu duduk di situ. Hafizan menghadiahkan jelingan tajam pada 'musuhnya' itu. Walaupun mereka setingkatan,namun mereka berbeza kumpulan.

Novel-Bab 6

• Masa : 7:11:00 PTG • Ulasan : 0 • Label :
BAB 6
 Malam Jumaat di asrama merupakan malam yang paling menggembirakan. Mana tidaknya. Malam inilah para pelajar tidak perlu terkejar-kejar ke kelas prep. Tambahan pula esok hari minggu. Maka aktiviti mereka sedikit bebas. Selalunya waktu malam sebegini, para pelajar akan mengisi masa dengan menonton televisyen di bilik tv asrama. Ada yang melepak di surau, berbual-bual dan juga tidak kurang yang beribadah. Malah ada juga yang mengulangkaji pelajaran di bilik study mahupun di dorm sendiri. Semuanya bergantung pada diri sendiri. Sama ada ingin menggunakan masa sebaik mungkin atau membazirkannya dengan perkara sia-sia. Malangnya, kebanyakan dari pelajar asrama suka membazirkan masa yang ada. Benarlah kata Rasulullah S.A.W, 'Terdapat dua ni'mat yang mana manusia sering lupakan, iaitu ni'mat sihat dan juga masa lapang.'
Namun bagi Aina, dia sangat sensitif dengan masa. Jarang sekali dia menghabiskan masa dengan perkara yang sia-sia. Saat ini dia sedang mengikuti satu Usrah yang dikendalikan oleh seniornya Kak Aisyah. Dia selaku penolong ketua BADAR merupakan seorang yang amat dihormati. Malam itu, perbincangan mereka berkisar soal hati.

Novel-Bab 5

• Masa : 4:06:00 PTG • Ulasan : 0 • Label :
BAB 5
 Para pelajar berpusu-pusu bergerak ke kelas prep petang. Walaupun prep bermula pada jam 3.30, namun jarang sekali yang ingin datang awal ke kelas. Mereka lebih suka bermalas-malas di katil selepas solat Zohor dan makan tengahari. Maklumlah, waktu selepas zohor memang waktu kemuncak untuk tidur.Enak mendakap bantal! Namun kerana peraturan asrama mereka perlu ke kelas prep. Bila siren dibunyikan barulah terkejar-kejar mencari baju prep kuning, mencari stokin, kasut dan sebagainya. Waktu inilah buku laporan pengawas akan penuh dengan nama-nama pelajar yang lambat. Kalau dikumpulkan, boleh dijilid menjadi kitab!
Namun berbeza bagi Amiruddin, setiap kali prep petang, dia melazimkan dirinya pergi 15 minit awal ke kelas. Dia tidak suka bersesak-sesak dan pergi ke kelas dalam keadaan tergesa-gesa. Masa yang ada dia gunakan sebaik mungkin. Selalunya 15 minit awal itu akan Amiruddin gunakan untuk dia mengulangkaji semula hafazan Al-Qurannya. Masuk ke bulan ketiga persekolahan ini, Amir sudah berjaya menghafaz satu juzuk surah Al-Baqarah. Boleh dikatakan cepat juga hafazannya. Amir teringat Aina. 'Hem,dah habis agaknya Aina hafaz', gumamnya dalam hati. Agak mengagumi kecekalan hati Aina untuk menghafaz Al-Quran. Bukan calang-calang orang boleh menghafaz kalamullah yang suci ini.

Novel-Bab 4

• Masa : 6:42:00 PTG • Ulasan : 0 • Label :
BAB 4
“ Ingatlah! Tingkatan empat ni bukannya tahun honeymoon untuk kamu! Tapi, masa ditingkatan empat inilah kamu kena mula fikirkan masa depan kamu.” Nasihat Ustazah Karmila pada pelajar tingkatan 4 Amanah, kelas yang pertama dari empat kelas tingkatan empat. Kelas yang lain ialah 4 Hasanah, 4 Hidayah, dan 4 Rahmah.
“Masa depan? Fikir pasal kahwin ke ustazah?” soal Kamarul tiba-tiba. Soalan itu disambut dengan gelak ketawa oleh rakan-rakan sekelas. Menceriakan suasana pada pagi itu. Tersenyum ustazah muda itu dengan soalan pelajarnya.
“Hem..kamu ni..tak ada perkara lain..kahwin, kahwin, kahwin!” kata Ustazah Karmila lembut. Melayan anak-anak pelajarnya. Dia berhenti sekejap menelan liur, kemudian menyambung.
“ Saya tak kata fikir pasal berkahwin itu salah. Tapi sebenarnya ada sesuatu yang lebih penting yang perlu kamu fikirkan saat ini.” Ustazah Karmila memandang semua anak pelajarnya. Mereka mula memberi perhatian pada topik yang dibincangkan pada hari itu.
“ Waktu ini, kamu perlu fikirkan apa cita-cita kamu! Apa yang kamu ingin jadi di masa hadapan. Nak jadi doctor? Nak jadi ustaz? Ustazah? Engineer? Atau apa-apa saja cita-cita kamu. Bila kamu dah ada cita-cita, barulah kamu akan bersemangat untuk belajar. Tidak main-main! Tidak membuang masa dengan perkara tidak berfaedah! Berbeza pula sekiranya kamu tidak ambil berat pasal cita-cita kamu. Kamu seperti tidak ada arah. Kecenderungan untuk kamu belajar dengan bersungguh itu kurang. Itulah pentingnya saat ini kamu tetapkan cita-cita kamu.” Terang ustazah Karmila panjang lebar. Tidak berkelip mata pelajar-pelajar tingkatan 4 Amanah mendengar penerangan ustazah itu. Khusyuk! Ramai yang mengangguk sebagai tanda faham apa yang disampaikan.
 


Nohara al-Ramadani ©2016. Minima Template customized by Scyalicious