Novel-Bab 6

• Masa : 7:11:00 PTG • Ulasan : 0 • Label :
BAB 6
 Malam Jumaat di asrama merupakan malam yang paling menggembirakan. Mana tidaknya. Malam inilah para pelajar tidak perlu terkejar-kejar ke kelas prep. Tambahan pula esok hari minggu. Maka aktiviti mereka sedikit bebas. Selalunya waktu malam sebegini, para pelajar akan mengisi masa dengan menonton televisyen di bilik tv asrama. Ada yang melepak di surau, berbual-bual dan juga tidak kurang yang beribadah. Malah ada juga yang mengulangkaji pelajaran di bilik study mahupun di dorm sendiri. Semuanya bergantung pada diri sendiri. Sama ada ingin menggunakan masa sebaik mungkin atau membazirkannya dengan perkara sia-sia. Malangnya, kebanyakan dari pelajar asrama suka membazirkan masa yang ada. Benarlah kata Rasulullah S.A.W, 'Terdapat dua ni'mat yang mana manusia sering lupakan, iaitu ni'mat sihat dan juga masa lapang.'
Namun bagi Aina, dia sangat sensitif dengan masa. Jarang sekali dia menghabiskan masa dengan perkara yang sia-sia. Saat ini dia sedang mengikuti satu Usrah yang dikendalikan oleh seniornya Kak Aisyah. Dia selaku penolong ketua BADAR merupakan seorang yang amat dihormati. Malam itu, perbincangan mereka berkisar soal hati.

Novel-Bab 5

• Masa : 4:06:00 PTG • Ulasan : 0 • Label :
BAB 5
 Para pelajar berpusu-pusu bergerak ke kelas prep petang. Walaupun prep bermula pada jam 3.30, namun jarang sekali yang ingin datang awal ke kelas. Mereka lebih suka bermalas-malas di katil selepas solat Zohor dan makan tengahari. Maklumlah, waktu selepas zohor memang waktu kemuncak untuk tidur.Enak mendakap bantal! Namun kerana peraturan asrama mereka perlu ke kelas prep. Bila siren dibunyikan barulah terkejar-kejar mencari baju prep kuning, mencari stokin, kasut dan sebagainya. Waktu inilah buku laporan pengawas akan penuh dengan nama-nama pelajar yang lambat. Kalau dikumpulkan, boleh dijilid menjadi kitab!
Namun berbeza bagi Amiruddin, setiap kali prep petang, dia melazimkan dirinya pergi 15 minit awal ke kelas. Dia tidak suka bersesak-sesak dan pergi ke kelas dalam keadaan tergesa-gesa. Masa yang ada dia gunakan sebaik mungkin. Selalunya 15 minit awal itu akan Amiruddin gunakan untuk dia mengulangkaji semula hafazan Al-Qurannya. Masuk ke bulan ketiga persekolahan ini, Amir sudah berjaya menghafaz satu juzuk surah Al-Baqarah. Boleh dikatakan cepat juga hafazannya. Amir teringat Aina. 'Hem,dah habis agaknya Aina hafaz', gumamnya dalam hati. Agak mengagumi kecekalan hati Aina untuk menghafaz Al-Quran. Bukan calang-calang orang boleh menghafaz kalamullah yang suci ini.

Novel-Bab 4

• Masa : 6:42:00 PTG • Ulasan : 0 • Label :
BAB 4
“ Ingatlah! Tingkatan empat ni bukannya tahun honeymoon untuk kamu! Tapi, masa ditingkatan empat inilah kamu kena mula fikirkan masa depan kamu.” Nasihat Ustazah Karmila pada pelajar tingkatan 4 Amanah, kelas yang pertama dari empat kelas tingkatan empat. Kelas yang lain ialah 4 Hasanah, 4 Hidayah, dan 4 Rahmah.
“Masa depan? Fikir pasal kahwin ke ustazah?” soal Kamarul tiba-tiba. Soalan itu disambut dengan gelak ketawa oleh rakan-rakan sekelas. Menceriakan suasana pada pagi itu. Tersenyum ustazah muda itu dengan soalan pelajarnya.
“Hem..kamu ni..tak ada perkara lain..kahwin, kahwin, kahwin!” kata Ustazah Karmila lembut. Melayan anak-anak pelajarnya. Dia berhenti sekejap menelan liur, kemudian menyambung.
“ Saya tak kata fikir pasal berkahwin itu salah. Tapi sebenarnya ada sesuatu yang lebih penting yang perlu kamu fikirkan saat ini.” Ustazah Karmila memandang semua anak pelajarnya. Mereka mula memberi perhatian pada topik yang dibincangkan pada hari itu.
“ Waktu ini, kamu perlu fikirkan apa cita-cita kamu! Apa yang kamu ingin jadi di masa hadapan. Nak jadi doctor? Nak jadi ustaz? Ustazah? Engineer? Atau apa-apa saja cita-cita kamu. Bila kamu dah ada cita-cita, barulah kamu akan bersemangat untuk belajar. Tidak main-main! Tidak membuang masa dengan perkara tidak berfaedah! Berbeza pula sekiranya kamu tidak ambil berat pasal cita-cita kamu. Kamu seperti tidak ada arah. Kecenderungan untuk kamu belajar dengan bersungguh itu kurang. Itulah pentingnya saat ini kamu tetapkan cita-cita kamu.” Terang ustazah Karmila panjang lebar. Tidak berkelip mata pelajar-pelajar tingkatan 4 Amanah mendengar penerangan ustazah itu. Khusyuk! Ramai yang mengangguk sebagai tanda faham apa yang disampaikan.

Novel-Bab 3

• Masa : 10:16:00 PTG • Ulasan : 2 • Label :
BAB 3
 Surau An-Najjah kelihatan sedikit lengang. Waktu ini para pelajar sedang bekejar ke dewan makan untuk minum malam. Menjadi penghuni asrama membuatkan waktu makan merupakan saat yang dinantikan. Tak kurang juga segelintir pelajar  yang terus menghala ke asrama, menuju mencari tilam dan bantal. Ingin melepaskan penat setelah mengulangkaji di kelas pada waktu prep malam. Hanya beberapa orang sahaja pelajar yang menjadikan rutin harian mereka menunaikan solat sunat di surau setelah kelas prep. Kemudian baru dilakukan kerja-kerja lain. Benarlah kata ustaz, hendak jadi orang hebat, lazimilah melakukan yang sunat, kerana tidak ramai yang mampu melakukannya dalam kesibukan harian.
Kelihatan di tengah surau An-Najjah, sekumpulan pelajar lelaki dan perempuan sedang bermesyuarat. Antara mereka dipisahkan oleh tirai coklat yang mengasingkan kawasan solat putera dan kawasan solat puteri. Hanya dibuka sedikit tirai untuk memudahkan perbincangan. Adab khtilat yang diajar di sekolah ini diamalkan sebaik mungkin.
"Saya harap kamu semua senang meluangkan sedikit masa malam ini." Kata Abang Mustakim selaku ketua Pengawas sekolah yang bertanggungjawab ke atas hampir 800 orang pelajar. Satu amanah yang tidak sanggup dipikul oleh semua orang yang mengetahui akan beratnya menanggung sebuah amanah. Ahli jawatankuasa tertinggi yang lain diam menantikan kata-kata seterusnya dari ketua mereka.
 


Nohara al-Ramadani ©2016. Minima Template customized by Scyalicious