Novel Hikmah di Sebalik Takdir-Bab 1

• Masa : 4:58:00 PTG • Ulasan : 0 • Label :
BAB 1
Petang itu, sebuah Proton Saga merah meluncur tenang memasuki kawasan sekolah. Keadaan sekolah sudah tidak sesak lagi pada masa ini. Hanya kelihatan beberapa buah kereta sahaja yang melintas dalam arah yang bertentangan. Sesekali dia mengerling jam di dashboard kereta. Bimbang dia terlewat. Pasti akan didenda! Sebenarnya dia yang meminta abah untuk menghantarnya lewat sedikit ke sekolah, kerana hari ini adalah hari pertama persekolahan. Pasti sesak kalau datang awal! Dia lebih suka keadaan lengang seperti ini, lebih tenang. Tidak perlu bersesak-sesak dengan kereta waris pelajar sekolah ini yang hampir mencecah 800 orang. Satu jumlah yang agak ramai bagi sekolah berasrama penuh seperti Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan (SMKAY) ini.
Sekilas pandangannya ditebarkan kearah kanan jalan. Terbentang indah padang sekolah yang menghijau. Dihiasi pula oleh panorama semulajadi sekolah yang dikelilingi oleh sawah padi yang luas. Sangat menenangkan jiwa sesiapa yang melihatnya. Senyuman spontan terukir dibibir. Entah kenapa, dia sangat gembira setiap kali kembali kesekolah. Perasaannya lebih tenang disini berbanding dirumah. Dia lebih memilih suasana kampung yang damai daripada suasana bandar yang menyesakkan!

“Hah! Menung apa lagi tu Amir? Tak nak turun ke? Dah sampai asrama ni!” Sergahan abah menghancurkan lamunan Amiruddin.
“Hem, berkhayal pula anak mama ni. Dah,cepat turun! Nanti lambat, kena denda pula,” gesa mama Amir.
“Hehe..baik ma….” Jawab Amir sambil menghulur tangan untuk menyalami abah dan mamanya. Kedua orang tuanya itu sudah mencecah fasa umur 60-an, tapi keduanya masih lagi kuat. Masih lagi bertenaga. Merekalah tempat Amir dan adik-adiknya bergantung harap. Tempat Amir menagih kasih. Tempat Amir bermanja. Tanpa mereka, Amir takkan membesar seperti dirinya yang sekarang ini. Penuh didikan adab dan tatatertib. ‘ Terima kasih mama, terima kasih abah!’ monolog Amir dalam hati.
Selesai bersalaman, Amir melangkah naik ke dormnya melalui tangga belakang asrama. Waktu itu, pelajar-pelajar lain kelihatan sudah bersiap-siap untuk roll call petang. Selalunya junior sahaja yang akan bersiap awal. Senior pula kebanyakannya masih bersenang-lenang di dorm. Maklumlah, dah seniorlah katakan! Bolehlah berbuat sesuka hati. Sepatutnya yang besarlah jadi contoh tauladan pada adik-adik. Ini tidak! Merosakkan adik-adik lagi adalah!
Amir meletakkan begnya diatas katil. Agak mengah dia membawa beg memanjat tangga tadi. Dilihat sekilas keadaan didalam dorm B1 itu. Boleh tahan juga kemas dan bersihnya. Mungkin disebabkan hari pertama, jadi masih terkawal. Seminggu dua lagi bersepah lah! Bukan Amir nak bersangka buruk. Tapi itulah selalunya yang terjadi sepanjang 3 tahun dia menetap di asrama ini. Pelajar-pelajar masih kurang kesedaran tentang kebersihan dan kekemasan tempat tinggal sendiri. Hendak kemaskan katil sendiri pun perlu diarah dan dimarah! Amir hanya tergeleng sendirian. Harap-harap ahli dormnya tahun ini boleh dikawal.
Jam G-Shock ditangan ditatap. Direnung lama seakan-akan sedang memikirkan sesuatu. ‘Hem..tak sempat ni kalau nak mandi. 6.30 dah mula roll call,’ monolog Amir sendirian. Begnya lalu dibuka. Dikeluarkan baju melayu berwarna biru cerah. Pakaian ditukar. Kopiah putih dikenakan dikepalanya. Terserlah kejernihan wajah Amir yang boleh tahan kacaknya. Tidak hairanlah dia merupakan salah seorang pelajar yang paling diminati senior mahupun junior. Pemuda idaman Malaya! Itulah gelaran yang pernah diberikan oleh rakan-rakan Amir. Namun bagi Amir semua itu hanyalah pinjaman semata-mata dari Allah. Apa gunanya rupa cantik tapi akhlak lebih teruk dari itik! Lebih baik tiada rupa, tapi ada akhlak. Itu lebih baik!
“Perhatian kepada semua pelajar, anda diminta mengosongkan asrama sekarang! Dalam kiraan sepuluh…sembilan….” Bila pengawas membuat pengumuman ini, mulalah riuh satu asrama. Semua bergegas untuk turun ke tapak roll call. Waktu inilah dapat dilihat pelbagai ragam pelajar asrama. Ada yang lari sambil bertolak. Ada yang terkial-kial memakai selipar. Ada yang berlari sambil memakai baju. Malah tidak kurang juga yang membuat bising. Bukan ada sebab, hanya kerana suka-suka! Suka suasana riuh sebegitu!
Amir melangkah tenang turun kebawah. Bila Amir melalui senior ataupun junior pasti mereka akan menegur. Malah mereka turut memberi laluan pada Amir walaupun masing-masing sedang bersesak-sesak untuk turun ke bawah. Boleh dikatakan semua pelajar menghormati Amir. Dia disenangi oleh semua orang, sama ada pelajar yang baik ataupun yang nakal. Mungkin disebabkan pendekatan Amir yang lemah-lembut dan sopan-santun apabila bergaul dengan orang, membuatkan dia dihormati sampai begitu sekali. Antara sebab lain Amir disenangi semua pelajar adalah kerana wajahnya yang tidak pernah lekang dari senyuman. Senyuman manis Amir membuatkan orang lain tenang melihatnya.
Hampir keseluruhan pelajar sudah berkumpul di tapak roll call. Kelihatan pelajar yang lambat telah ditahan oleh pengawas. Nama mereka kemudian diambil. Pasti akan didenda selepas ini oleh warden bertugas. Itu adalah prosedur biasa yang dijalankan oleh pengawas sekolah. Semua pelajar beratur mengikut dorm masing-masing. Di asrama SMKAY, roll call pelajar putera dan pelajar puteri diasingkan. Cara ini lebih mudah berbanding digabungkan.
Amir melihat sekilas sekeliling kawasan asrama. ‘Rindunya suasana macam ni,’ monolog Amir sendirian. Tidak mengendahkan pelajar-pelajar lain yang riuh berbual. Mungkin banyak cerita yang ingin dikongsikan setelah lama bercuti agaknya. Kelihatan disebelah kanan tapak roll call, tersergam megah Surau An-Najjah yang boleh memuatkan hampir 800 ratus lebih orang pelajar. Disebelah kiri pula kelihatan dewan makan asrama. Sangat hampir dengan kawasan asrama putera dan puteri. Dibahagian belakang tapak roll call putera pula merupakan asrama puteri yang betul-betul menghadap asrama putera. Sangat strategik susunan binaan-binaan bangunan asrama SMKAY ini.
Roll call petang itu dimulakan dengan nasyid Asma Ul-Husna, diteruskan dengan doa dan seterusnya ucapan oleh warden bertugas pada hari itu, ustaz Rahman. Semua pelajar diam apabila ustaz yang memang dikenali akan ketegasannya itu berucap dihadapan.
“Saya harap di awal tahun ini, semua pelajar mempunyai azam baru masing-masing. Yang buruk tinggal-tinggalkanlah. Yang baik pula tambah-tambahkanlah. Saya tak mahu tahun ini timbul lagi kes pelik-pelik. Jangan rosakkan keharmonian asrama kita ini. Kamu berazamlah untuk menjadi lebih baik dari tahun lepas. Dan seperti biasa, sesiapa yang membuat masalah, pihak warden dan asrama akan kenakan tindakan yang sepatutnya. Wallahua’lam, assalamualaikum.”
Ucapan ketua warden itu disemat kemas dalam hati setiap pelajar. Mungkin ada segelintir pelajar yang nasihat itu hanya masuk ke telinga kanan, tapi keluar dari telinga kirinya. Entahlah! Tak semua orang boleh mendengar nasihat. Cuma diharapkan, tahun ini tidak timbullah kes-kes yang boleh memeningkan para warden dan para pelajar. Setiap tahun, pasti akan timbul kes-kes tertentu. Seperti agenda tahunan pula! Tidak pernah terlepas! Amir tergeleng kecil. Satu keluhan berat keluar dari bibirnya.
Setelah dibenarkan bersurai, Amir melangkah hendak menuju ke dewan makan. Namun langkahnya terhenti apabila…
“Amir!!!”
Amir berpaling kearah suara yang memanggil. Kelihatan dua orang yang sudah tidak asing lagi bagi Amir sedang menghampirinya. Serta-merta senyuman memekar dibibir Amir. Tangannya didepangkan, sedia menyambut dakapan dua orang sahabat dunia akhiratnya.
“Allahurabbi, Haikal!Kamarul! Rindunya aku kat korang.”
“Kami pun rindu kat kau juga. Lama betul kita tak jumpa kan,” kata Haikal sambil melepaskan dakapan Amir. Mereka jalan beriringan masuk kedalam dewan makan. Tiga sahabat itu memang dikenali akan keakraban persahabatan mereka. Susah senang bersama. Makan bersama. Main bersama. Berusrah bersama. Tidak pernah melihat mereka berenggang. Ibarat adik beradik kandung.
“ Macam mana cuti Amir? Seronok?” soal Kamarul. Dia merupakan salah seorang sahabat Amir yang bijak. Keputusan peperiksaannya sering memberangsangkan. Tidak hairanlah dia digelar sebagai anak emas cikgu oleh rakan-rakannya.
“Em, bolehlah..tapi sebenarnya aku suka lagi habiskan masa di sekolah ni. Waktu cuti hari tu, tiap-tiap hari aku bilang baki hari untuk balik ke sekolah tau!” jawab Amir tersenyum.
“Ye la..kau tu memang pelik! Orang lain suka bercuti, kau ni pulak suka bersekolah! Tak faham betul aku!” kata Haikal. Haikal merupakan sahabat yang paling dipercayai Amir. Dialah tempat Amir merujuk segala permasalahan. Dialah tempat Amir mengadu masalah. Sehingga kini persahabatan mereka hampir mencecah tiga tahun lebih.
“Tak adalah Haikal..aku ni cuma suka suasana tarbiyah kat sekolah ni, suka bersama kawan-kawan macam korang kat sekolah ni. Sebab tu la rindu nak balik sekolah.” Kata Amir sambil mengenyit nakal pada Haikal dan Kamarul. Mereka bertiga tersenyum.
Tiga sahabat itu berjalan ke satu sudut meja makan dibahagian hujung dewan makan. Mereka lebih suka menjamu selera di bahagian itu, kerana lebih tenang dari riuh pelajar-pelajar lain. Senang untuk berbual. Tidak ada gangguan. Sedang asyik melayan selera masing-masing, tiba-tiba kedengaran riuh di bahagian tengah dewan makan. Semua orang berpaling kearah tersebut termasuk tiga sahabat itu.
Kelihatan seorang pelajar tingkatan 2 sedang diherdik oleh beberapa orang senior. Amir kenal sangat senior itu. Senior yang selalu menimbulkan masalah di sekolah. Malah digelar sebagai gangster sekolah oleh beberapa guru. Mereka hanya mampu melihat dari jauh. Jauh disudut hati, Amir tidak senang melihat seorang senior memperlakukan junior sesuka hati begitu. Entah apa salah adik itu. Kalaupun dia salah, tidak bolehkah ditegur dengan cara yang baik? Mudah sangat nak menggunakan kekerasan! Mudah sangat nak menyalahgunakan ‘kuasa’ sebagai seorang senior!
Drama didewan makan itu diakhiri dengan tangisan si adik junior, dan ketawa angkuh seorang senior. Semua orang didewan makan hanya mampu memandang simpati, tak mampu melawan ataupun membantah perbuatan Najmi, pelajar bermasalah tingkatan 5 dan Hazami, pelajar bermasalah tingkatan 4. Mereka ibarat satu kumpulan yang sama walaupun berbeza tingkatan. Saling bantu-membantu dalam berbuat kerosakan. Bukannya membantu dalam perkara kebaikan!
“ Kau tak risau ke Amir?” soal Kamarul tiba-tiba setelah agak lama mereka berdiam selepas menyaksikan peristiwa tadi.
“Risau? Risau tentang apa?” soal Amir tidak mengerti.
“Risau tentang Najmi dan Hazami lah. Selalu timbulkan masalah!” luah Kamarul tidak puas hati.
Amir dan Haikal membisu. Tidak berkata walau sepatah. Sebenarnya mereka memang risaukan dua orang pelajar itu. Bimbang mereka akan timbulkan masalah pada tahun ini. Namun, apa yang boleh mereka lakukan. Tahun ini, Amir, Haikal dan Kamarul tidak lagi menjadi pengawas sekolah. Jika mengikut sistem Badan Pengawas SMKAY, tingkatan empat merupakan tahun rehat bagi pengawas sekolah. Jadi, mereka hanya akan memegang semula jawatan pada hujung tahun tingkatan empat. Sebelum sampai saat itu, mereka tidak ada kuasa untuk membuat sebarang tindakan.
“Tak apa..yakin saja.” Kata Amir.
“Yakin?”
“Aa..yakin dengan Abang Mustaqim!”
Haikal dan Kamarul saling memandang. Mereka akhirnya diam tanpa sebarang kata. Mereka kembali menumpukan perhatian pada makanan dihadapan mereka. Masing-masing diam dengan monolog sendiri. Monolog tentang Abang Mustaqim!

Tiada ulasan:

 


Nohara al-Ramadani ©2016. Minima Template customized by Scyalicious