Novel Bab-11

• Masa : 9:20:00 PG • Ulasan : 0 • Label :

 Hati Amiruddin suram. Sedikit-demi sedikit keni'matan hidup di asrama SMKAY ini terhakis dek perbuatan manusia-manusia yang tidak bertanggungjawab. Ketenangan yang sering dirasa dahulu, kini hilang. Tidak lagi aman. Hari berganti hari pelbagai masalah timbul membuktikan rahmat Allah semakin jauh dari penghuni madrasah ini. Jauh kerana maksiat yang dilakukan oleh mereka sendiri!
Amiruddin teringat satu kisah tentang Abu Hazim, seorang ulamak dari Madinah, pernah ditanya kepadanya, "Di manakah Rahmat Allah?" Maka Abu Hazim menjawab, "Rahmat Allah itu dekat dengan orang-orang baik."
Bagi Amir, dengan keadaan akhlak pelajar sebegini, tidak hairanlah rahmat dan ni'mat Allah itu ditarik sedikit demi sedikit. Semuanya tidak lain tidak bukan adalah sebagai peringatan supaya mereka kembali mendekatkan diri kepada Allah. Namun malangnya, amat sedikit mereka yang menyedari.

Amir menyendiri di hujung surau An-Najah. Dia cuba menghafaz surah Al-Baqarah yang masih berbaki semuka sahaja lagi. Hafazan itu perlu dihabiskan secepat mungkin kerana tarikh Ihtifal sudah hampir. Namun, dari tadi, tiada satu pun ayat yang lekat di otaknya. Semuanya gara-gara surau yang ibarat pasar pagi. Riuh dengan bunyi bising suara pelajar!
Sebelum ini, setiap kali waktu senggang antara solat Maghrib dan Isya diisi dengan majlis ilmu dan amalan-amalan lain. Namun, semenjak  berlaku pemulauan kepada pengawas sekolah beberapa minggu ini, waktu ini dibiarkan kosong. Tidak ada pengisian. Tidak ada pengawas yang berani memberi pengisian. Siapa yang kehadapan walaupun ingin membuat pengumuman pasti diejek dan dihina pelajar nakal. Surau tidak lagi berseri dengan majlis-majlis ilmu. Sebelum ini, setiap hari mempunyai jadual pengisiannya yang tersendiri seperti bacaan Al-Quran, kuliah agama dari para Ustaz, dan tazkirah pelajar. Antara kesemua pengisian itu, Amir paling menyukai slot QulTum. Qul berasal dari perkataan arab yang bermaksud berkata, bercakap, atau berucap. Manakala Tum pula singkatan bagi tujuh minit. Slot ini memerlukan pelajar memberi tazkirah ringkas selama tujuh minit. Amir masih ingat, setiap kali slot ini, para pelajar pasti menjadi kura-kura.  Menyembunyikan kepala mereka dari dilihat. Mengelak dari dipanggil. Amir tersenyum mengingatkan itu semua. Namun, semuanya hanya kenangan. Tidak ada lagi.
"Abang Amir, kenapa termenung ni?"
Satu suara menyapa Amiruddin. Lamunan lelaki itu bercerai. Dia kembali ke alam nyata yang fana. Satu senyuman diukir.
"Tak ada apalah dik, tengah cuba menghafal ni. Ha,ha..tapi tak mampu dengan suasana sebegini," jawab Amir pada Aiman, junior tingkatan 2. Amir melempar pandangan pada sekelompok pelajar putera yang sedang berbual. Entah apa yang diceritakan sampai riuh sebegitu sekali. Langsung tidak menghormati rumah Allah ini.
"Emm...Abang Amir, kenapa abang-abang jadi macam ni? Kenapa mereka saya tengok tak macam Abang Amir. Nakalnya kalah saya yang tingkatan 2 ni?" Soal Aiman.
"Aiman....mereka semua tu nakal sebab mereka tu tengah 'tidur'," kata Amir.
"Tengah tidur?" Aiman tidak mengerti. Dia melihat senior-senior yang sedang bergurau senda di kanan surau. Tidur apanya! Celik saja!
"Aa...'tidur'. Diorang tidur dalam celik. Mereka tak sedar apa matlamat mereka hidup di dunia ni Aiman. Mereka tak sedar apa tujuan mereka datang ke sekolah ni. Kalau mereka tahu, mereka takkan jadi begitu," jelas Amir.
"Oh...macam tu. Maksud abang tidur tu tak sedar diri la?" Soal Aiman lagi. Mahu penjelasan lebih.
"Betol, dan mereka ni hanya akan terjaga bila mereka ditimpa musibah atau mati. Sebab itulah, Saidina Ali berkata, manusia itu semuanya tidur, dan mereka hanya terjaga apabila mati. Maksudnya kita leka dengan keseronokan dunia, tetapi bila kita mati barulah kita sedar ruginya kita tidak beramal di dunia. Barulah kita yakin bahawa akhirat itu ada. Seksa kubur itu ada. Tapi, dah tak guna menyesal saat itu,"jelas Amir lagi.
"Ish,takutnya. Tak boleh bayang kalau saya mati sekarang. Mesti tak lepas nak menghadap Allah," kata Aiman bersungguh. Terkesan benar dia dengan penerangan Amir tadi.
"Haa..baguslah kalu takut. Kalau tak takut tu yang bermasalah. Jadi...jangan tidur!." Amir menampar perlahan pipi Aiman. Aiman hanya tertawa kecil. Tiba-tiba bahu Amir dicuit seseorang. Amir berkalih.
"Eh, Kamarul! Ada apa?"
"Err...ada something nak bincang dengan kau sikit Amir," kata Kamarul perlahan. Aiman bangun menjauhkan diri. Memberi peluang pada Amir dan Kamarul untuk berbicara sendirian.
"Aa...ada apa?"
"Err...aku dengar Ustazah Karmila benarkan kau bawa seorang teman untuk pergi Ihtifal nanti? Betul ke?" soal Kamarul
"Aa..betullah tu, kenapa?" Soal Amir kembali.
"Err..aku nak ikut kau boleh tak? Biar aku temankan kau," pinta Kamarul sedikit gugup. Amir tertawa.
"Laa..ingatkan apa. Boleh ja. Tapi kenapa tiba-tiba ja ni nak ikut?" Soal Amir ingin tahu. Setahunya, Kamarul bukanlah jenis yang minat aktiviti-aktiviti sebegini. Dia lebih fokus kepada aktiviti akademik.
"Haha...ada la....er..nak teman kau la," kata Kamarul cuba menyembunyikan niat sebenar. Amir merenung sahabatnya itu. Lama. Sengaja dibuat muka seriusnya supaya Kamarul berkata benar.
"Hem...ye la,ye la. Aku nak pergi sebab Aina pergi...," luah Kamarul jujur akhirnya. Meletus ketawa Amir.
"Sebab Aina?? Kenapa? Kau suka Aina ke Kamal?" Tawa Amir masih bersisa. Agak kelakar dengan situasi sahabatnya itu. Tidak sangka dia peminat Aina rupanya.
"Ala kau ni Mir...aku berkenan gitu-gitu ja. Bukan ada apa pun," rungut Kamarul.
"Haha..ye la tu. Oh, kiranya kau ambil kesempatan la ni?" Amir mencubit-cubit paha sahabatnya itu. Sekadar gurauan sesama sahabat. Kamarul bangun melarikan diri. Sebelum menjauh, dia berkalih dan berkata,
"Bukan ambil kesempatan Mir, tapi menggunakan peluang."
Kamarul berlalu pergi dengan tawa geli hati. Hanya senyuman terukir dibibir Amir melihat telatah sahabatnya itu.
*************
"Wahh...hebatlah Aina!" Kata Asma teruja. Sepanjang soalan yang diberikan olehnya, semua Aina dapat menjawab dengan lancar dan fasih. Tidak ada satu pun yang tersangkut. Akhirnya, Asma sendiri yang pening. Tidak tahu hendak bertanya dari ayat mana lagi.
"Alhamdulillah," jawab Aina tersenyum lega. Dia gembira kerana berjaya habiskan hafazan surah Al-Baqarahnya. Bermula dari ayat 1 hingga ayat 286, semuanya kemas terpahat didadanya. Dia berdoa agar Allah memberi kekuatan kepadanya untuk memelihara surah ini sampai ke hujung nyawanya.
"Untung kau Aina. Otak kau power. Cepat ja ingat. Tak hairan la kau senang ja hafaz Al-Baqarah ni. Kau makan apa ha?" soal Asma membuatkan Aina tertawa kecil.
"Mana ada Asma. Aku sama ja dengan kau. Yang aku pergi makan tiap-tiap hari dengan kau dekat dewan makan tu apa? Kau tanya lagi aku makan apa?" kata Aina mengusik Asma. Asma mencebik.
"Alaa, kau ni Aina. Yang itu aku tahu la. Yang lain? Mana tahu kau ada makanan tambahan apa-apa ke? Kismis ke..kurma ke..yusuf taiyoob ke..haa..mana tahu!"
Tergelak Aina dengan celoteh sahabat baiknya itu. Sesekali tergeleng dia melayan karenah perempuan itu.
"Hem..tak adalah Ma...aku tak makan apa-apa pun. Yang penting jaga hati je," kongsi Aina.
"Jaga hati?"
"Aa...jaga hati. Kalau hati kita bersih, mudah la kita nak belajar atau nak mengingat sesuatu. Tapi kalau hati kita kotor, susah la nak terpahat sesuatu ilmu tu. Lagi-lagi kalamullah yang mulia ni. Mana boleh bercampur dengan hati yang ada maksiat," jelas Aina. Dia teringat kisah Imam Syafie yang pernah dia dengar dalam satu kuliah agama.
Satu ketika, Imam Syafie bertanya kepada gurunya, Imam Waqi' tentang kesusahannya dalam menghafal. Lalu gurunya berkata, "Sesungguhnya ilmu itu adalah cahaya, dan cahaya Allah itu tidak dianugerahkan kepada mereka yang melakukan maksiat." Imam Syafie kemudiannya dinasihatkan untuk meninggalkan maksiat sekiranya tidak mahu hafalannya terganggu.
"Oh, begitu. Hem...kalau macam tu, aku pun nak kena jaga hati la ni kalau nak menghafaz?" Soal Asma mahu kepastian. Aina mengangguk mengiyakan.
"Sebenarnya kan Ma...menghafaz ayat-ayat Al-Quran ni tak susah sangat pun. Tapi yang susahnya, kau nak pelihara ayat-ayat suci ni supaya kekal dalam ingatan kau. Itu yang lebih susah," jelas Aina.
"Oh, macam tu. So, apa aku nak buat kalau nak kekalkan?" Soal Asma membuatkan Aina tertawa kecil.
"Kau ni Asma...kadang-kadang macam kanak-kanak. Semua kau nak tanya sedangkan kau pun tahu jawapannya," kata Aina.
"Ala...kau ni, aku dah tanya tu jawab je la. Mana tahu, jawapan aku dan jawapan kau berlainan," kata Asma sambil mecebik. Geram dengan Aina.
"Haha, ye la, ye la. Tak ada cara lain pun nak kekalkan hafazan ni melainkan mengulang. Kau kena rajin mengulang ayat kau hafaz. InsyaAllah lama-lama akan kekal."
"Hehe...baik ustazah. Saya akan cuba menghafaz nanti...hehe.." kata Asma sambil membuat tabik hormat. Aina hanya ketawa geli hati melihat gelagat kawannya itu.  Namun, gurauan dua sahabat itu terhenti tatkala mendengar corong pembesar suara bergema dengan selawat menandakan azan Isya' akan berkumandang. Sesaat kemudian, azan bergema. Aina dan Asma saling berpandangan. Mereka kenal suara bilal itu. Tidak ada bilal lain yang lebih merdu dan sayu suaranya bila mengumandangkan azan. Tidak ada bilal lain yang boleh menggetarkan jiwa penghuni asrama dengan laungan azannya selain lelaki itu. Siapa? Amiruddin Abdullah!

Tiada ulasan:

 


Nohara al-Ramadani ©2016. Minima Template customized by Scyalicious