Kalau Bukan...

• Masa : 5:42:00 PTG • Ulasan : 2 • Label :

sumber : Google


Assalamualaikum w.b.t.......

Alhamdulillah, pagi ini digagahkan diri juga untuk menulis. Maaf pada sesiapa yang mengikuti Jalan Kembali ini. Mungkin menanti perkongsian yang seterusnya yang tak kunjung tiba. Tiada alasan yang lebih menarik untuk diberi melainkan sibuk dengan praktikal, program dan sebagainya. Sepuluh jari ku susun tanda maaf. : ) Ucapan terima kasih teristimewa buat sahabat-sahabat, seperti Cik FDM yang sentiasa memberi semangat dalam meneruskan penulisan ini. Semoga Dia turut memudahkan kerja anda semua.

Untuk perkongsian pagi ini, teringat satu kata-kata yang selalu didengar semenjak berada di alam universiti ni, (haha, acah-acah sem 1 padahal dah last year, :p ) yang kadang-kadang mempunyai makna yang sangat mendalam....

"Kalau bukan kita, siapa lagi, kalau bukan sekarang, bila lagi, kalau bukan disini, dimana lagi..."


Sebenarnya, quote di atas ini boleh diterjemahkan ke dalam situasi yang berbeza mengikut pemahaman individu yang membacanya. Boleh jadi positif dan boleh juga jadi negatif.

Abaikan yang negatif kerana kita hanya mahu fokus dari sudut pandang positif.

Kalau Bukan Kita Siapa Lagi?

Dalam membuat sesuatu perkara yang baik, dahulukan diri kita. Jangan kita sibuk menyuruh orang itu, ini, tapi kita lupakan diri kita sendiri. Kadang-kadang kita suka memberi nasihat, kerana mahu membuat perubahan dalam masyarakat. Niat kita bagus, tapi akan jadi bermasalah sekiranya kita lupa untuk menasihati diri kita sendiri terlebih dahulu. Oleh itu, lebihkan nasihat melalui perbuatan berbanding perkataan, yakni kita buat baik dahulu, semoga selepas itu, orang sekeliling kita terkesan dan akan terikut dengan perbuatan baik itu. 



Kalau Bukan Sekarang, Bila Lagi?

Kita perlu faham akan hakikat 'masa tidak menunggu kita'. Masa yang berlalu tidak sekali akan kembali. Jadi, jangan bertangguh dalam membuat kebaikan atau perubahan. Siapa tahu hari ini hari terakhir kita membaca entry Jalan Kembali? Sesungguhnya mati tidak mengenal masa, umur mahupun pangkat. Oleh itu, apa sahaja kebaikan yang terdetik di hati, laksanakan segera. Kalau bukan sekarang, bila lagi?

Kalau Bukan Di Sini Di Mana Lagi?

Tidak dinafikan sikap dan akhlak manusia sangat berkait rapat dengan persekitaran sekelilingnya. Jika hidup dalam kalangan orang 'baik', maka kita juga akan jadi baik. Tapi jika sebaliknya, kita berkemungkinan akan menghadapi masalah kemelut 'akhlak'. Secara lumrahnya adalah begitu. Namun kita tidak boleh selamanya menyalahkan faktor persekitaran dan masyarakat sekeliling kita sebagai punca kita sukar menjadi baik. Sudah tiba masanya kita menjadi individu yang membuat perubahan dalam masyarakat. Biarlah kita yang menjadi pemula. Menjadi pencetus. Supaya ke mana sahaja kita pergi, kita akan menjadi sumber 'cahaya' pada tempat itu. Menjadi sumber dakwah kepada orang ramai. Jadilah seperti ikan di laut, meskipun hidup dalam air masin, isinya tetap normal. Begitulah juga kita, hidup perlu ada prinsip. Kemana pun kita pergi, diri kita tak mudah berubah dan tak mudah dipengaruhi. Jadi, tak perlu tunggu mahu hidup di kawasan orang yang baik-baik baru kita nak jadi baik. Dimana anda sekarang, buatlah perubahan. Kalau bukan di sini, di mana lagi?

Kesimpulan.

Jangan bertangguh dalam membuat sesuatu kebaikan. Asal terlintas sahaja pada pemikiran, terus laksanakan semampu yang boleh. Kerana hari esok belum tentu ada.

Kalau bukan kita, siapa lagi, kalau bukan sekarang, bila lagi, kalau bukan disini, dimana lagi.

“Maka berlumbalah (dalam membuat) kebaikan di mana saja kamu berada pasti Allah akan mengumpulkan kamu sekalian (pada hari kiamat). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” 


(Surah Al-Baqarah, ayat 148) 

P/s : mulakanlah dengan perkara-perkara kebaikan yang kecil, kerana yang kecil itu juga dipandang Allah, meskipun hanya mengutip sampah di jalanan.

Jangan takut dengan kata-kata orang. Abaikan segala sangka buruk. Berubahlah untuk mencari redha Allah, bukan redha manusia.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

"Kalau bukan kau, siapa lagi..
Kalau bukan sekarang, bila lagi.."

Deep~btw keep it up senpai!Inspiring~

nohara al-ramadani berkata...

Thanks.:) In Shaa Allah sama-sama kita buat perubahan untuk diri sementara masih muda.

 


Nohara al-Ramadani ©2016. Minima Template customized by Scyalicious