Jangan Marah Sahabat!

• Masa : 8:20:00 PTG • Ulasan : 0 • Label :

sumber : Google

Pemuda Baran.

Ada seorang pemuda yang sangat pemarah. Dia pantang diusik walaupun dengan hal-hal kecil dan remeh-temeh. Pasti ringan saja mulutnya untuk menengking dan memaki hamun. Satu ketika, dia rasa ingin membuat perubahan pada dirinya. Lalu dia berjumpa dengan seorang sahabat yang paling dipercayai.

"Beginilah, dalam masa sebulan ini, setiap kali kau marah kau perlu buat sesuatu yang akan aku amanahkan pada kau."

"Buat apa?"

"Setiap kali kau marah atau bergaduh dengan sesiapa, cuba tahan marah kau. Kemudian kau lepaskan kemarahan kau itu dengan memaku sebatang pokok di belakang rumah kau. Setiap kali marah, kau buat begitu."

Pemuda baran itu hairan dengan permintaan sahabatnya itu.

"Lepas tu aku nak buat apa? Itu saja?"

"Yup! Itu saja. Lepas sebulan kau datang jumpa aku semula."



Sebulan berlalu, pemuda baran itu melaksanakan perkara yang diamanahkan kepadanya. Dia kembali bertemu sahabatnya. Mereka kemudian menuju ke tempat pokok itu berada.

Kelihatan sebatang pokok yang sederhana besar yang dipenuhi paku. Pokok itu kelihatan sudah mula kering. Tidak lama lagi pasti akan mati.

"Ok, sekarang aku nak kau cabut semula paku pada pokok tu dengan menggunakan belakang penukul."

"Haa? Ni kerja gila!"

"Buatlah dulu," balas sahabat tenang.

Pemuda baran menurut perintah. Satu persatu paku dicabutnya. Setengah jam kemudian barulah dia berjaya mencabut kesemua paku tersebut. Bajunya lencun dengan peluh. Nafasnya semput. Dia kepenatan.

"Kenapa kau suruh aku buat semua ni? Penatlah gila!" marah pemuda baran sambil melemparkan tukul di tangannya.

Si sahabat tersenyum manis. Dia kemudian bersuara.

"Sahabatku, cuba kau lihat apa yang telah kau lakukan selama sebulan ini. Fikir dari mata hati. Cuba kau lihat pada pokok tu. Bila kau marah, kau lepaskan pada pokok. Kau tengok kesan yang tinggal pada pokok tu? Boleh kau betulkan semula? Boleh kau suburkan semula pokok yang bakal mati ni?"

Pemuda baran meggeleng.

"Penat tak kau cabut kesemua paku tu?"

Pemuda baran mengangguk.

"Nah! Itulah kesan marah pada diri kau dan orang sekeliling. Bila kau lepaskan marah pada orang, kau telah lukakan hatinya sama seperti kau 'lukakan' pokok ini. Bila kau rasa bersalah, kemudian kau minta maaf, mungkin orang itu akan maafkan kau, tapi kesannya tetap ada, sebagaimana kesan lubang yang ada pada pokok itu. Sebagaimana penatnya kau cabut kesemua paku tu, seperti itulah penatnya jika kau hendak memperbetulkan semula kesalahan kau akibat sikap pemarah kau ni."

Pemuda baran tertegun. Hatinya tersentuh, mindanya terbuka. Baru dia sedar bahawa kesan marah ini sangat buruk jika tidak dikawal.

Marah.

Semua orang punyai perasaan marah dalam hati. Mustahil wujud manusia yang tidak punyai walau secebis perasaan marah. Itu adalah lumrah.

Cuma yang membezakan kita antara satu sama lain adalah tahap kemarahan itu dan bagaimana cara kita mengawalnya.

Nescaya orang yang mampu mengawal marah adalah orang yang hebat dan kuat.

"Orang yang kuat itu bukanlah orang yang pandai bergusti, tetapi orang yang kuat adalah orang yang dapat mengawal dirinya ketika marah."

Hadis riwayat Bukhari dan Muslim

Jenis Marah.

1. Marah yang terpuji iaitu marah kerana Allah, kerana Aqidah. Contoh kita memarahi seseorang kerana sikap buruknya atau dosa yang dilakukan. Marah ini adalah untuk mendidik bukan untuk membenci.

2. Marah yang terkeji, iaitu marah kerana nafsu. Marah yang tidak terkawal atas sebab-sebab yang remeh-temeh dan kesilapan yang tidak disengajakan atau atas sebab diri sendiri yang sememangnya panas baran.

Kesan Apabila Melepaskan Kemarahan.

  • Kita tewas dengan godaan syaitan.
  • Hati kita puas pada awalnya, tapi kita akan menyesal kemudian.
  • Orang nampak kelemahan kita.
  • Orang yang dimarahi berjauh hati, terputus silaturrahim.
  • Orang menjauhi diri kita.


Cara Mengawal Kemarahan.

  • Berlindung dengan Allah dari Syaitan dengan mengucap ta'awwuz.

  • Diamkan diri jangan berkata.
  • Jauhi orang yang dimarahi.
  • Ambil wudhu'
  • Ubah posisi : jika sedang berdiri duduk, jika sedang duduk berbaring.
  • Berzikir atau membaca Ayat Al-Quran di dalam hati.
  • Ingatkan diri tentang keburukan hasil dari kemarahan.
  • Ingatkan diri tentang orang-orang yang penyabar dalam Sirah Rasulullah s.a.w dan para sahabat.
Kesimpulan.

Latihlah diri kita untuk menjadi sabar. Kerana sikap pemarah itu jika tidak terkawal akan membawa kesan buruk kepada diri kita dan masyarakat.

Wallahua'lam.

Dari Abu Hurairah Radiallahua'nhu bahawa ada seorang lelaki berkata kepada Nabi s.a.w : "Berilah aku wasiat." Baginda menjawab, "Janganlah engkau marah!" Orang itu mengulangi permintaannya berulang-ulang, kemudian Nabi s.a.w bersabda : "Janganlah engkau marah!"

Hadis riwayat Bukhari.


Tiada ulasan:

 


Nohara al-Ramadani ©2016. Minima Template customized by Scyalicious