CERPEN 1 - JALAN KEMBALI

• Masa : 7:29:00 PTG • Ulasan : 0 • Label :
JALAN KEMBALI

          Ruang Solat Utama (RSU), UITM Puncak Alam kelihatan meriah hari ini,tak seperti hari-hari  biasa. RSU yang menjadi tempat solat sementara bagi penghuni asrama puncak alam ini hampir dipenuhi para pelajar walaupun jam baru menunjukkan pukul enam petang. Masih berbaki lebih kurang satu jam setengah lagi sebelum azan Maghrib berkumandang. Mungkin disebabkan program yang akan diadakan pada malam ini, maka bilangan pelajar yang hadir lebih ramai dari kebiasaannya. RSU selalu menjadi pilihan tempat bagi sesuatu program keagamaan kerana kapasitinya yang agak luas walaupun sedikit kurang selesa jika dibandingkan dengan dewan-dewan kuliah di fakulti. Pada asalnya RSU merupakan bangunan khas untuk kemudahan-kemudahan awam bagi kolej angsana seperti cafeteria,mini mart dan lain-lain. Tetapi disebabkan surau yang sedang dibina masih belum siap sepenuhnya, maka ruang tengah bangunan ini yang luas dijadikan tempat ibadat sementara.  Sehingga kini RSU sangat selesa bagi para pelajar untuk beribadah kecuali bagi pelajar perempuan kerana keadaannya yang agak terbuka membuatkan mereka kurang selesa dan malu untuk solat berjemaah di RSU. Tambahan pula RSU dikelilingi oleh cafeteria-cafeteria yang sentiasa dipenuhi pelajar terutamanya pelajar lelaki UITM Puncak Alam.
          Dalam keriuhan orang ramai itu, seorang pelajar lelaki melangkah masuk ke RSU. Dia melihat sekilas ke arah kanannya. Kelihatan pelajar-pelajar perempuan memenuhi saf-saf belakang.  Saf-saf hadapan masih belum terisi oleh pelajar lelaki, cuma kelihatan beberapa orang abang-abang senior  yang sedang  memasang projector sebagai persediaan  bagi program malam ini. Dia tidak menghiraukan orang sekelilingnya. Terus maju ke saf kedua mengambil tempat. Belum sempat panas punggungnya, satu suara menegur.
“Assalamua’laikum.”
Pelajar lelaki itu terangkat bahunya. Sedikit terkejut dengan sapaan tiba-tiba itu. Dia menoleh ke arah datangnya suara itu.
“Waa’laikumussalam.”
Dia menjawab sambil mengukir senyuman.
“Saya A’sif. Awak pelajar baru ke?” sapa lelaki itu ramah.
“Oh..saya Fikri. Aa..pelajar baru. Baru masuk bulan September baru-baru ni,” fikri menjawab.
“Baguslah datang Uitm Puncak Alam ni. Suasana di sini boleh tahan,”kata A’sif.
“Awalnya datang ni. Lambat lagi nak maghrib,”soal  A’sif lagi sambil tersenyum. Dia memang ramah. Mungkin disebabkan dia sudah lama belajar di Uitm Puncak Alam itu, membuatkan dia tidak kekok untuk bertegur sapa dengan orang lain.
“Saja ja. Tunggu kat bilik pun bosan ja. Em..ada program apa malam ni? Nampak macam meriah ja? Pelajar- pelajar perempuan pun datang awal tu,”kata Fikri sambil mengunjuk sedikit kearah saf belakang.
A’sif tersenyum.
“Em…ada kuliah maghrib sikit malam ni. Em..nak kata kuliah tu,mungkin tak,tapi lebih kepada perkongsian pengalaman sebenarnya.”
“Ustaz dari mana yang datang ni?”soal Fikri menunjukkan minat. Dia memang gemar mengikuti kuliah-kuliah dan ceramah-ceramah agama di masjid. Baginya mendengar kuliah ibarat menonton filem. Seronok! Hatinya lekat pada rumah Allah.
“Bukan ustaz. Student ja,”jawab A’sif sambil melihat sekilas kearah rakan-rakannya yang sedang membuat persiapan. Bimbang sekiranya pertolongan diperlukan. Tapi, nampak seperti semuanya berjalan lancar.
“Student?”Fikri terkejut. Dia memandang sekeliling. Kelihatan pelajar-pelajar semakin ramai memenuhi  RSU dan cafeteria. Kemudian dia kembali memandang A’sif.
“Tapi kenapa ramai yang turun macam ada orang besar yang datang?”soalnya tidak mengerti.
Senyuman memanjang di bibir A’sif. Dia memandang lama wajah Fikri.
“Sebab student ni pun bukan orang kecil,”jawab A’sif sambil matanya mengenyit nakal kepada Fikri.
Fikri tertawa. Sedikit lucu dengan gaya A’sif.
“Maksud abang?”
A’sif masih tersenyum. Lama dia diam. Kemudian dia menyambung.
“Nama dia Hakimi Abdullah……………. Semua orang kenal dia kat sini. Dia yang ada pada hari ni,bukanlah seperti dia yang dahulu.”
A’sif merenung jauh ke hadapan.Seakan-akan menyingkap kembali memori lama. Fikri diam memberi perhatian.
“Hakimi…….dia dulu sebenarnya………….”


****************************************

“ Nama saya Hakimi Abdullah. Saya pensyarah kamu. ”
Semua pelajar dalam dewan kuliah 3 (DK3) tercengang. Terkejut dengan pengakuan lelaki dihadapan mereka sekarang ini.
“Pensyarah??”
“Biar betul??”
“Ish,bukanlah. Nampak macam student ja.”
“Mudanya.”
DK3 menjadi riuh dengan bisik-bisik suara pelajar ijazah kejururawatan tahun satu. Hakimi diam tidak bersuara di meja pensyarah. Dia hanya memerhati sahaja tingkah laku pelajar-pelajar baru itu. Riuh. Dari pemerhatiannya,kesemua pelajar dalam dewan itu adalah pelajar perempuan. Jumlahnya lebih kurang dalam empat puluh ke lima puluh orang. Ketika sedang melihat pelajar-pelajar tersebut, mata Hakimi jatuh pada seraut wajah. Pandangannya terhenti lama di situ. Pemilik wajah itu turut melihat Hakimi. Pandangan mata mereka bertentangan. Agak lama mereka berkeadaan seperti itu. Tiba-tiba kedengaran pintu dewan kuliah dibuka dari arah luar. Semua orang terdiam dan menumpukan perhatian ke arah pintu dewan kuliah yang terletak di bahagian belakang. Kelihatan tiga orang pelajar lelaki tercegat di hadapan pintu. Hairan apabila semua orang memerhatikan mereka.
“Kamu tiga orang yang lambat tu, datang ke depan!”
Semua kembali memandang hadapan melihat Hakimi.
“Alamak,lecturer la wei. Habis kita!”kata Firdaus.
“Tu la. Korang lambat sangat tadi,”Amsyar merungut.
“Ah,sama-sama la tanggung.Cepat la turun. Pensyarah panggil tu!”gesa Afifi. Mereka bertiga menuruni tangga dewan kuliah menuju kehadapan. Tidak menyangka pensyarah akan datang lebih awal dari mereka.
“Kenapa kamu lewat?”soal Hakimi apabila mereka bertiga berada dihadapannya.
“Er..err…kitaorang singgah cafe kejap tadi encik,”Amsyar memberi alasan. Firdaus hanya tersengih-sengih. Afifi pula hanya berdiam diri tidak berkata apa-apa.
Hakimi merenung wajah ketiga-tiga pelajar tersebut.
“Hem………memandangkan kamu dah lewat, jadi kamu patut menerima hukuman. Betul  tak?”soalnya sambil merenung mereka. Dewan sunyi sepi. Tidak ada yang berani bersuara. Semuanya menumpukan perhatian kepada Hakimi dan tiga orang pelajar lelaki tersebut.
“Err..betul encik.”
Hakimi tersenyum penuh makna.
“Ok..kalau macam tu….hukuman untuk kamu….”Hakimi mengurut-ngurut dagunya sambil melihat ke atas. Seakan-akan  sedang memikirkan satu hukuman yang terbaik untuk tiga orang sahabat tersebut.
“Ahaa…lompat bintang!!”Hakimi bersuara tiba-tiba. Seluruh dewan kuliah riuh. Amsyar,Firdaus dan Afifi saling berpandangan antara satu sama lain. Agak terkejut dengan jenis hukuman daripada pensyarah muda yang baru dikenali ini.
“Cepat! Atau kamu nak yang lebih dahsyat?”Hakimi cuba mendesak mereka.
“Tak..tak nak..eh buat je lah,”Firdaus akur. Amsyar dan Afifi hanya menggeleng. Mereka mula membuat senaman lompat bintang di hadapan semua pelajar. Ada yang ketawa,dan ada juga yang menggeleng simpati melihat tiga sahabat itu dihukum. Hakimi hanya tersenyum suka. Sedang  pelajar asyik melihat tiga orang sahabat itu dihukum, tiba-tiba seorang wanita berusia dalam linkungan 30-an masuk melalui pintu hadapan dewan kuliah. Semua orang terdiam. Tiga orang pelajar lelaki itu turut berhenti melompat.  Tanpa menghiraukan orang lain, Hakimi berjalan menaiki tangga dewan kuliah dan mengambil tempat di bahagian belakang dewan. Semua orang kehairanan melihat tingkah laku pensyarah muda itu.
“Apa yang kamu main ni?”soal wanita yang baru masuk itu.
“Err..kitaorang…”
“Sudah,sudah…pergi duduk tempat kamu,”arah wanita itu.
Ketiga-tiga orang pelajar lelaki itu hanya menurut perintah. Mereka mengambil tempat di bahagian tengah dewan kuliah. Sekilas mereka melihat ke arah Hakimi yang duduk bersahaja di bahagian belakang. Mereka bingung apa yang terjadi sebenarnya. Kemudian mereka semua kembali menumpukan perhatian ke hadapan.
“Assalamua’laikum semua. Saya Puan Suzana,pensyarah kamu,”wanita itu memperkenalkan diri. Semua pelajar terkejut. Mereka semua melihat ke belakang. Hakimi  berlagak tenang.
“Oh,saya terlupa.terima kasih Hakimi sebab tolong bawakan beg saya,”kata Puan Suzana.
Semua pelajar mengerti. Mereka terdiam tidak berkata apa-apa. Kelas Puan Suzana diteruskan seperti biasa. Tamat sahaja kelas, semua pelajar menuju ke café di Plaza Satelit B termasuk Amsyar, A’fifi dan Firdaus. Rutin biasa selepas kelas iaitu mencari makanan bagi mengisi perut yang sudah merajuk kelaparan. Tiga sahabat itu leka melayan menu tengahari mereka. Masing-masing diam tidak berbicara. Masih terkesan dengan peristiwa di dalam kelas tadi. Diperbodohkan  oleh rakan sekuliah sendiri.
“Kau ok ke Amsyar?”soal Firdaus.
“Aku tak puas hati betol la dengan budak tadi tu. Slumber ja dia perbodohkan kita. Mati-mati aku ingat dia lecturer muda,”luah Amsyar.
“Aku tak puas hati jugak. Tapi……”
“Tapi apa bik?”soal Firdaus pada A’fifi yang lebih senang dipanggil Bik,nama gelarannya semenjak sekolah menengah lagi,
“Aku tengok dia macam psiko la…pelik semacam…takut pun ada tengok dia…” tambah Bik.
“Entah la…..”
Mereka terdiam. Melayan perasaan masing-masing. Dalam mereka tidak sedari, seorang gadis yang sedang  makan berdekatan meja mereka curi-curi mendengar perbualan mereka. Seakan-akan berminat dengan apa yang dibincangkan.

**************************************
Pagi itu kelas berjalan seperti biasa. Dewan kuliah hampir dipenuhi pelajar. Boleh dikatakan semua sudah hadir termasuk pelajar lelaki yang selalunya datang lewat. Dalam keriuhan suara pelajar itu,gadis manis bertudung labuh itu asyik tertoleh-toleh ke belakang. Seakan-akan mencari kelibat seseorang yang masih belum hadir. Resah dibuatnya.
“Kau tunggu siapa Wani? Dari tadi aku tengok kau semacam ja,”soal Afifah,sahabat karib Nazleen Syazwani.
“Hakimi tak datang lagi la….kelas dah nk mula dah ni…kalu lambat nanti lecturer marah pulak,”luahnya risau.
“Aik? Semenjak bila pulak kau risau pasal budak tu? Tak payah la ambil berat pasal dia. Dia tu bukan budak baik pun. Perangai entah macam apa,”komen Afifah.
“Ish,tak baik la cakap macam tu. Dia kan classmate kita…mana tahu dia lambat sebab dia demam ke,sakit ke…kalau kita tak ambil tahu,kesian la kat dia.”
“Em ikut la…malas aku nak ambil tahu pasal budak tu…biarlah nak jadi apa pun kat dia.”
Nazleen Syazwani mengeluh mendengar kata-kata Afifah itu. Sedikit kecewa. Dia tahu Hakimi bukan budak yang baik. Selalu menimbulkan masalah kepada rakan-rakan sekelasnya. Tapi entah kenapa dia terasa ingin mengambil berat pasal lelaki itu. Dirinya sendiri pun tidak pasti mengapa. Kerisauan Nazleen Syazwani bertambah apabila Dr. Rozana masuk ke dalam dewan kuliah.
“Where is Hakimi?”soalnya apabila mendapati ketidakhadiran pemuda itu.
Semua pelajar diam membisu.
“Em..ni la contoh pelajar bermasalah kalu u all nak tahu…dah la tak pandai…kelas pun malas nak datang!”marah Dr.Rozana. Kelas diteruskan seperti biasa. Tidak ada siapa pun yang ambil kisah tentang Hakimi kecuali Nazleen Syazwani. Malah ada yang turut gembira apabila nama Hakimi semakin buruk dimata para pensyarah. Mungkin disebabkan sikap Hakimi yang tidak pernah baik dengan mereka. Maka dirinya langsung tidak dianggap sebagai kawan.
Selesai sahaja kelas semua pelajar berpusu-pusu keluar menuju ke kafe bagi mengisi perut. Nazleen Syazwani hanya diam membatu di tempat duduknya. Dia tidak lalu untuk makan saat itu. Dia gunakan masa terluang itu mengulangkaji nota ringkas untuk kelas seterusnya. Sedang leka menatap notanya, tiba-tiba Hakimi masuk dari pintu belakang dewan dan mengambil tempat duduk di bahagian belakang seperti biasa,berseorangan. Nazleen Syazwani bangun menghampiri Hakimi.
“Assalamualaikum,”sapa Nazleen Syazwani.
Hakimi yang sedang leka menatap telefon bimbitnya terkejut.
“Er, waalaikumussalam. Kau nak apa?”soal Hakimi sedikit gagap. Dia sangat kasar dengan semua orang. Tetapi dengan Nazleen Syazwani dia seakan-akan berubah perangainya. Jadi lembut seperti orang biasa.
“Kenapa awak tak masuk kelas pagi tadi? Awak ada masalah ke?”
“Kau tak payah la risau. Aku ok ja..a.aa..aku tak perlukan orang lain untuk ambil berat pasal aku.”
“ Tak pe lah kalau macam tu. Awak kalau ada apa-apa masalah bagitahu lah…kalau saya boleh tolong,saya tolong ok. Assalamualaikum,”ucap Nazleen Syazwani sambil tersenyum manis.
Hakimi seakan-akan terpana melihat senyuman Nazleen. Hatinya sedikit tersentuh dengan sikap ambil berat Nazleen terhadap dirinya sedangkan orang lain semua menjauhkan diri daripadanya. Dia hanya memandang Nazleen dari jauh kembali ke tempat duduknya dibahagian hadapan. Jauh di lubuk hatinya dia sudah jatuh hati pada gadis itu pada hari pertama kelas mereka lagi. Namun dia tahu dia bukan orang yang baik untuk menaruh harapan pada gadis itu. Harapan itu dibiarkan berkubur didalam hatinya.
****************************************
Satu demi satu tumbukan dilepaskan kearah wajah pelajar asasi itu. Hakimi seakan-akan orang yang hilang akal. Dia membelasah pelajar itu tanpa belas kasihan. Pelajar-pelajar lain yang melihat hanya diam tidak mampu berbuat apa-apa. Tiba-tiba tumbukan Hakimi terhenti apabila matanya menangkap seraut wajah yang cukup untuk membuatkan hatinya berdebar. Nazleen Syazwani! Gadis itu sedang melihat apa yang dia sedang lakukan saat itu. Dengan tidak semena-mena timbul rasa malu dan bersalah dalam hatinya. Jelas wajah Nazleen menunjukkan kekecewaan melihat perbuatannya itu.
“Hei! Apa yang jadi ni? Tepi,tepi!!”arah pensyarah yang kebetulan lalu dan melihat kejadian itu.
Hakimi terkejut. Terus dia bangun lalu melarikan diri dari khalayak ramai.
“Apa yang jadi ni? Siapa yang pukul kamu?”soal pensyarah itu kepada pelajar asasi yang dipukul Hakimi. Mukanya berlumuran darah.
Pelajar asasi itu diam. Dia memandang sekelilingnya. Semua pelajar lain melihatnya seakan-akan menunggu jawapan yang akan diberikannya. Mereka tahu apa sebenarnya yang berlaku dan semua itu adalah salahnya bukan salah Hakimi.
“Err…tak ada apa encik….salah faham sikit saja tadi,”jawab pelajar asasi itu.
Pelajar-pelajar lain terus bersurai apabila mendengar jawapan itu. Kebanyakan dari mereka sudah mengenali pelajar asasi itu. Pelajar yang selalu menimbulkan masalah.
“Hem…macam-macam kamu ni…sudah! Pergi basuh muka kamu. Nanti pergi Unit Kesihatan ambil ubat,”arah pensyarah itu. Semua pelajar yang berbaki terus bersurai meninggalkan kawasan itu termasuk Nazleen Syazwani. Tanpa disedari pipinya dibasahi air mata. Sedih? Marah? Dia sendiri tidak pasti. Mungkin kecewa dengan apa yang dilihatnya hari ini. Seorang lelaki yang semakin mendapat tempat didalam hatinya melakukan sesuatu yang tidak disukainya. Mungkin usahanya untuk mengubah sikap lelaki itu tidak mungkin akan berjaya. Dia pasrah.

*****************************************************  

Hakimi diam tidak bersuara dibahagian belakang dewan kuliah. Dia mengusap buku limanya yang sakit akibat memukul pelajar asasi tadi. Timbul rasa menyesal dalam hatinya. Tambahan pula Nazleen telah melihat perbuatannya itu. Mesti gadis itu akan beranggapan bahawa dia memang orang yang jahat. Dia tidak kisah kalau orang lain yang beranggapan begitu, tapi tidak jika Nazleen Syazwani yang menganggap bahawa dia jahat. Dia tidak rela. Peristiwa tadi masih tergambar di fikirannya. Bukan salah dia sebenarnya……..
**************
Hakimi melihat beg duitnya yang lusuh itu. Dia merenung lama wang didalam beg duitnya yang hanya berbaki beberapa ringgit sahaja lagi. Teragak-agak sama ada untuk menyimpannya atau menggunakannya untuk mengisi perutnya yang sedang menjerit saat ini, meminta diisi. Akhirnya dia terpaksa juga untuk menggunakan duit itu untuk membeli sesuatu. Perutnya tidak dapat menahan lagi untuk berlapar. Hakimi mengeluarkan duit seringgit dua keping sambil menuju ke kafe yang dipenuhi oleh para pelajar. Rata-ratanya merupakan pelajar asasi. Bilangan mereka sangat ramai.
Dia mengisi nasi kedalam pinggan. Kemudian ditambah dengan telur mata dan sedikit kuah. Dia cuba mengelak untuk mengambil sesuatu yang tidak mampu dibayarnya. Selesai membayar hakimi bergerak untuk mencari tempat duduk, namun dalam kesibukan itu, tiba-tiba seorang pelajar asasi melanggar Hakimi menyebabkan pinggan makanannya terlepas dari tangan dan jatuh ke lantai. Terjegil mata Hakimi melihat makanannya bertaburan diatas lantai. Dia memandang pelajar asasi itu.
“Ops…alamak sori abang…saya tak sengaja..haha,”kata pelajar  asasi itu sambil ketawa.
“Aku nak kau bayar balik makanan aku tu…”ucap Hakimi kasar.
“Oh,rilek la abang…berapa harga makanan abang tu?sepuluh ringgit?dua puluh ringgit? Saya boleh bayar. Cakap saja…haha,”kata pelajar asasi itu mengejek sambil menjeling kearah nasi berlaukkan telur yang bertaburan diatas lantai itu.
Hakimi menggenggam kemas penumbuknya. Hatinya panas membuak dengan sikap kurang ajar pelajar asasi itu. Belum sempat Hakimi bersuara pelajar asasi itu mengeluarkan not sepuluh ringgit lalu dilemparkan dihadapan Hakimi. Terkejut Hakimi dengan tindakan pelajar tersebut.
“Abang beli la nasi baru,tambah la lauk ayam and apa-apa ja yang abang nak makan ok. Saya belanja,”kata pelajar asasi itu sambil berlalu pergi. Kawan-kawan yang turut bersamanya ketawa besar kerana mereka rasa mereka berjaya mempermainkan Hakimi. Tanpa bersuara, Hakimi berpusing mengejar lalu……
“Tak sangka awak sanggup buat macam tu Kimi.”
Teguran Nazleen Syazwani menghentikan lamunan Hakimi. Dia kembali kealam nyata. Dia dapat melihat wajah Nazleen yang masih kecewa dengan perbuatannya tadi.
“Wani…sebenarnya…aa..er…aku…tak…er…”
“Tak apa Kimi?”
Hakimi terdiam. Dia tak mampu pertahankan dirinya. Dia kelu bila berhadapan dengan Nazleen Syazwani.
“Saya ingat awak boleh berubah. Sebab tu saya tak kisah nak baik dengan awak. Tapi rupanya…”
Nazleen tak dapat meneruskan kata-katanya lagi. Air matanya menitik dihadapan Hakimi. Lama dia merenung lelaki itu lalu dia terus berpusing meninggalkan lelaki itu tanpa berkata apa-apa. Hakimi dapat membaca apa yang hendak diucapkan oleh Nazleen. Hatinya menyambung sendiri.
“….awak memang tak dapat berubah Hakimi!!”

***************************************

Hakimi menunggang motosikalnya tanpa arah tuju. Hatinya sedih. Dia rasa dunianya seakan-akan kosong. Masih terngiang-ngiang apa yang diperkatakan oleh rakan-rakan sekelasnya tengahari tadi, ketika mereka memujuk Nazleen Syazwani.
“Kau tak payah la rapat dengan budak tu Wani, asyik buat masalah ja.”
“Em,banyak lagi budak-budak lelaki yang baik-baik kat UiTM ni.”
“Hakimi tu memang tak boleh diubah dah, kalau dah jahat tu,sampai ke mati jahat.”
Walaupun Hakimi orang yang kasar, selalu menimbulkan masalah tapi hatinya masih berperasaan. Mendengar kata-kata sebegitu daripada rakan-rakan sekelasnya membuatkan hatinya benar-benar hancur.  Sebab itulah dia keluar dari kolej pada malam ini. Cuba untuk menghiburkan dirinya. Apabila lalu di satu kawasan perumahan, tiba-tiba Hakimi terdengar satu laungan azan yang sangat merdu dan mendayu-dayu. Entah kenapa kali ini dia rasa kalimah-kalimah azan itu betul-betul menyentuh hatinya. Sedangkan sebelum ini, pantang mendengar azan pasti dia akan menutup telinga atau tidak menghiraukan laungan kalimah yang mulia itu. Dia menunggang motosikalnya menuju kearah datangnya laungan azan itu. Akhirnya dia berhenti betul-betul dihadapan sebuah masjid yang sangat indah reka bentuknya. Seakan-akan mahligai yang tersergam indah.
Hakimi masuk ke dalam masjid dan mengambil wudhuk. Entah kenapa dia rasa langkah kakinya seakan-akan dipandu sesuatu. Selesai berwudhuk, dia masuk ke bahagian dalam masjid lalu mengambil saf bersama-sama jemaah yang lain. Saat imam mengangkat takbir, Hakimi terasa hatinya sangat sayu. Seakan-akan itu kali pertama dan kali terakhir dia menunaikan solat. Bacaan imam itu sangat merdu dan sayu. Hakimi betul-betul menjadi khusyuk. Tanpa disedari air matanya mengalir membasahi pipi. Selesai solat Isya’ berjemaah, Hakimi mengangkat tangan mengaminkan doa yang dibaca oleh imam. Sebelum mengakhiri doanya, Hakimi membaca…
“Ya Allah seandainya hati aku ini telah rosak , maka baikilah ia Ya Allah….seandainya ia tak dapat dibaiki lagi, maka berilah aku hati yang baru Ya Allah….hati yang sentiasa tenang khusyuk mengingatiMu,bergantung harap hanya padaMu.”
Hakimi dapat rasakan satu ketenangan yang tak dapat digambarkan. Tak pernah dia merasai perasaan sebegitu sepanjang hidupnya. Seusai berdoa, dia keluar ingin pulang ke kolej. Motosikalnya ditunggang tenang membelah kepekatan malam sambil hatinya mula menanam azam baru,azam untuk berubah kearah yang lebih baik. Dalam kesunyian malam itu, tanpa disedari satu kereta meluru laju dari arah belakang. Pergerakan kereta itu terhuyung-hayang seakan-akan dipandu oleh orang yang mabuk. Hakimi tersedar akan keanehan keadaan kereta itu melalui cermin sisi motosikalnya. Namun, belum sempat Hakimi berbuat apa-apa, kereta itu terlebih dahulu menghentam belakang motosikalnya menyebabkan Hakimi terpelanting jauh dari motosikal dan jatuh di tepi jalan. Kepala Hakimi terhantuk besi penghadang jalan. Darah pekat membuak keluar dari kepalanya. Pandangan mata Hakimi menjadi berpinar-pinar. Perlahan-lahan dunianya menjadi gelap.

**************

“Hakimi!! Bangun!!”
Suara itu cuba mengejutkan Hakimi.
“Bangun Hakimi!!”
Sekali lagi ia bersuara. Kasar dan keras suara itu. Hakimi tersedar. Seluruh badan Hakimi berpeluh. Nafasnya tercungap-cungap seakan-akan orang yang baru habis berlari. Hakimi memandang sekelilingnya. Hairan! Dia berada di satu tempat yang tidak dikenali. Satu kawasan yang sangat gelap dan lapang. Luas seakan-akan tidak berpenghujung.
“Hakimi! Bangun!! Selamatkan diri kamu!”
Sekali lagi suara kasar itu mengejutkan Hakimi.
“Siapa kau? Dimana aku?”
“Selamatkan diri kau Hakimi!!”
Hakimi bingung. Belum sempat segala persoalan terjawab seekor ular hitam yang sangat besar meluru kearahnya. Secara spontan Hakimi bangun berlari menyelamatkan diri. Keadaan ular itu sangat mengerikan. Saiznya besar,bertaring panjang,berwarna hitam berkilat. Hakimi memanjangkan langkahnya semampu yang boleh. Peluhnya yang mengalir  tidak dapat digambarkan lagi. Banyak seakan-akan air yang mengalir dari pili air. Saat ini tidak ada perkara lain yang difikirkannya melainkan menyelamatkan diri.
Hakimi terus berlari sampailah akhirnya dia tiba ke satu kawasan. Mata Hakimi membulat melihat gaung berapi dihadapannya. Sangat dalam dan dipenuhi dengan api hitam yang marak membakar. Sekilas dia menoleh ke belakang, jantungnya berdegup semakin kencang apabila mendapati ular hitam gergasi itu semakin menghampirinya. Hakimi buntu. Akhirnya ,dia mengubah haluannya dan berlari kearah yang bertentangan dengan gaung berapi itu.
Dalam kekalutan itu, Hakimi terlihat satu lembaga jauh dihadapannya. Apabila semakin menghampiri, barulah jelas pada pandangan Hakimi akan seorang lelaki tua yang bongkok,berjanggut putih lebat serta berpakaian serba putih. Pergerakan si tua itu sangat terbatas dan perlahan dibantu oleh sebatang tongkat yang kelihatan uzur, bila-bila masa sahaja akan patah.
“Tolong!!! Tolong aku orang tua!!!”
Si tua itu memandang dalam wajah Hakimi. Hakimi melutut memeluk kaki orang tua itu. Sesekali dia memandang ke belakang memerhati ular gergasi yang semakin menghampiri.
“ Tolong selamatkan aku orang tua!! Tolonglah!!”
“Aku tak mampu tolong kau…,”jawab si tua sedih.
“Tapi…tak kan kau nak biarkan aku mati dimakan ular itu…tolonglah…”
Si tua terdiam.
“Hakimi. Aku tak mampu tolong kau. Ini semua salah kau!”kata si tua simpati.
“Apa maksud kau salah aku?”
Orang tua tertunduk. Matanya terpejam seakan-akan terlalu berat untuk menceritakan perkara yang sebenar kepada anak muda dihadapannya itu.
“Ketahuilah kamu wahai Hakimi Abdullah…sesungguhnya ular yang mengejar kamu itu adalah segala dosa-dosa yang kamu lakukan didunia…..gaung berapi yang kamu temui itu tadi adalah neraka….dan aku yang lemah dihadapanmu inilah amal kebaikanmu didunia yang terlalu sedikit, sehingga aku tidak mampu untuk membantumu saat ini.”
Tertunduk Hakimi mendengar pengakuan orang tua itu. Dia menangis semahu-mahunya. Tak pernah seumur hidupnya dia merasai ketakutan seperti ini.  Rasa seakan-akan tidak ada harapan lagi untuk dirinya diselamatkan.
“Jangan sedih Hakimi.”
Hakimi mendongak melihat si tua itu. Sayu wajahnya seakan mengharap sesuatu.
“Kamu berlarilah kearah hujung sana…aku yakin ada sesuatu yang baik untuk kamu di sana,”kata si tua sambil menunjukkan kearah satu tempat di bahagian kanan Hakimi. Seusai itu, si tua itu terus lenyap dari pandangan. Hakimi terus berlari. Dia mengerahkan seluruh tenaganya berlari kearah tempat yang ditunjukkan oleh amalnya itu.
Setibanya disitu,Hakimi tergamam. Dihadapannya tersergam indah sebuah mahligai yang ditutupi oleh sebuah pintu yang sangat besar diperbuat daripada emas. Tidak pernah terbayang oleh Hakimi akan wujud sebuah mahligai yang terlalu indah sebegitu rupa. Tiba-tiba daun pintu itu terbuka. Muncul seorang pemuda disebalik pintu mahligai itu. Rupanya sangat indah dan dia menghulurkan tangannya kepada Hakimi.
“Siapa kamu?”soal Hakimi.
Pemuda itu tersenyum. Dia memandang Hakimi penuh makna.
“Akulah jelmaan taubatmu!”
Hakimi ditarik masuk kedalam. Lalu pintu mahligai ditutup rapat.
“Ya Allah…… subhanallah…”
Hanya itu yang terkeluar dari mulut Hakimi apabila melihat keindahan taman disebalik pintu mahligai itu. Hakimi menangis semahunya. Dia akhirnya terduduk sambil menangis ibarat seorang kanak-kanak.
“Hakimi….”pemuda itu memanggil. Hakimi mendongak. Si pemuda lalu membaca satu ayat Al-Quran dengan suara yang terlalu merdu.
“Belum tibakah waktunya bagi orang yang beriman untuk secara khusyuk mengingati Allah dan mematuhi kebenaran yang telah diwahyukan kepada mereka dan janganlah mereka melakukan seperti orang yang telah menerima kitab sebelum itu, kemudian mereka melalui masa yang panjang sehingga hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakan diantara mereka menjadi orang yang fasik.”

Hakimi faham maksud ayat itu. Tangisannya semakin kuat sehinggalah dia pengsan tidak sedarkan diri.

**************************************
Suasana di wad itu kelihatan kelam. Kelam seakan-akan kelamnya masa hadapan insan yang terbaring diatas katil hospital Sungai Buloh itu. Hakimi terbaring tidak bermaya dengan badannya dipenuhi balutan-balutan bandage yang menutupi lukanya. Sudah dua hari dia tidak sedarkan diri. Kawan-kawan sekuliah Hakimi mula memenuhi wad itu. Masing-masing simpati dengan keadaan rakan sekuliah mereka itu walaupun selama ini dirinya tidak dianggap sahabat. Nazleen Syazwani turut ada bersama. Matanya sudah bengkak kemerah-merahan akibat tangisan yang sudah berlarutan selama dua hari. Dia rasa sangat bersalah kerana sebelum kemalangan yang menimpa Hakimi itu dia ada berselisih faham dengan Hakimi. Malah dia asyik menyalahkan dirinya atas apa yang menimpa Hakimi itu.
“Tumpang lalu…saya nak tengok keadaan patient,” kata Dr Asmadi yang merawat Hakimi.
Dia mengambil file maklumat Hakimi dan dibeleknya seketika. Kemudian dia melihat keadaan Hakimi. Stetoskopnya ditekapkan didada Hakimi. Degupan jantung Hakimi didengar untuk mengetahui keadaan terkini pesakitnya itu.
“err..doktor..macam mana keadaan dia doctor?”soal Firdaus.
“Em…awak kawan dia ke?”
“Aa…kami semua kawan sekelas dia…,”jawab Firdaus. Dr. Asmadi melihat semua yang ada disitu. Dia mengeluh kecil.
“Em….setakat ni Hakimi masih tidak sedarkan diri..sebab kecederaan di bahagian kepala dia agak teruk..saya tak mampu janjikan apa-apa…Cuma saya nasihatkan kamu banyak-banyakkanlah berdoa…walau macam mana teruk sekalipun keadaan dia…kalau umur dia masih panjang dia akn sedar..”
Semua rakan sekuliah Hakimi tertunduk mendengar pernyataan Dr. Asmadi. Nazleen pula mula menangis kembali. Kenyataan itu membuatkan hatinya betul-betul sedih. Dalam kesayuan itu, tiba-tiba mesin yang memaparkan bacaan tekanan darah Hakimi berbunyi. Semua orang terkejut. Tekanan darah Hakimi meningkat. Dadanya kelihatan berombak. Dr Asmadi cepat-cepat memeriksa jantung Hakimi.
“Arghhhhhhh……”

*********************************************

“Apa yang jadi lepas tu?” soal Fikri.
A’sif tersenyum panjang.
“apa yang jadi…”
“aa…apa yang jadi?” soal fikri lagi ingin tahu.
“ Hakimi Abdullah dah tak ada lagi..”
Fikri bingung dengan kenyataan itu.
“er…dia meninggal ke? Habis tu yang datang kejap lagi sape?”
A’sif tergelak besar. Lucu dengan karenah Fikri yang lurus itu.
“Aa…dia dh tak ada….yang datang hari ni adalah Hakimi Abdullah yang ‘baru’.” Kata A’sif sambil tersenyum penuh makna.
“oh…em..faham…” fikri terangguk-angguk apabila dapat menangkap apa yang dimaksudkan oleh A’sif. Dia turut tersenyum.
“Sudah…tu Hakimi dah datang…jom dengar tazkirah ringkas sebelum maghrib..”
Fikri melihat kearah insan yang muncul di hadapan orang ramai itu. Dia disambut seperti orang yang berkedudukan. Disalami dan dihormati. Wajahnya tenang memancarkan cahaya keimanan. Membuatkan orang yang melihatnya turut berasa tenang. Dia berjalan tenang menuju kearah meja yang disediakan untuk penceramah. Wajahnya tidak lekang dari senyuman. Apabila dia melabuhkan punggungnya diatas kerusi terus semua orang terdiam. Menunggu kata-katanya yang ibarat air yang menyejukkan jiwa orang yang dahaga akan pengisian.
“Assalamulaikum warahmatullahiwabaratuh…saudara saudari yang dikasihi Allah sekalian….”
Hakimi diam sebentar sambil memandang semua orang dihadapannya.
“..dalam kesempatan ini saya ingin berkongsi sesuatu yang amat berharga buat diri saya…iaitu sesuatu yang telah menunjukkan saya Jalan Kembali kepada Allah…..”
Fikri tenggelam dalam tazkirah yang disampaikan oleh Hakimi. Hari ni dia sedar walau sejahat mana seorang insan itu sekalipun,apabila dia kembali kepada Allah maka dirinya akan dimuliakan lebih dari sesuatu yang dia sangkakan. Sebagaimana apa yang berlaku kepada insan dihadapannya kini…..Hakimi Abdullah.

~watak yang digunakan dalam cerpen ni hanya skadar pinjaman nama sahabat-sahabat..cerita ini adalah rekaan semata-mata…tidak ada kaitan sama ada dengan yang hidup ataupun yang mati….semoga pngajaran dapat dikutip dri cerpen yang xseberapa ini..~

~18/8/2013~

Tiada ulasan:

 


Nohara al-Ramadani ©2016. Minima Template customized by Scyalicious