CERPEN 2 - AKU CINTA MUHAMMAD S.A.W

• Masa : 7:02:00 PG • Ulasan : 4 • Label :
sumber : Google

AKU CINTA MUHAMMAD S.A.W

Petang itu terasa damai. Seakan-akan berlainan dari hari-hari biasa. Seperti ada sesuatu yang istimewa disebaliknya. Dalam ketenangan itu, seorang lelaki sedang leka melayari laman sesawang tanpa  menghiraukan orang sekelilingnya. Dia tenggelam dalam dunia hiburannya. Waktu petang begini, laman sosial facebook menjadi peneman setia. Dia melihat dan membaca post-post terbaru dari rakan-rakannya yang berbilang bangsa. Sesekali dia membalas mesej yang dihantar oleh rakannya melalui laman sosial itu.
“Assalamualaikum.”
“What the f**k!!”
Sebastian melatah. Dia terkejut dengan sapaan tiba-tiba itu. Dia berpaling ke belakang. Terlihat akannya seseorang yang sangat dikenali. Riak wajahnya berubah. Wajah terkejut separuh marah tadi hilang.Terus senyuman terukir dibibirnya.
“Laaa…Kimi….kau ni buat aku terkejut la…nasib baik aku tak ada sakit jantung..kalau tak dah lama aku mampus!” bebel Sebastian.
“Haha…ish,kau ni. Kuat melatah rupanya,” Hakimi ketawa sambil melangkah masuk kedalam bilik. Dia melabuhkan punggungnya di atas katil Amin, roommate Sebastian.
Para pelajar di UiTM Puncak Alam boleh dikatakan sangat beruntung. Mereka mendapat kemudahan tempat tinggal yang sangat selesa. Memandangkan kolej di UiTM ini masih baru, maka semua kemudahan yang ada boleh dikatakan sangat  memuaskan. Para pelajar disediakan dengan blok-blok yang mempunyai rumah empat bilik, satu ruang tamu dan satu tandas yang agak luas. Setiap bilik didiami oleh dua orang pelajar. Didalamnya terdapat dua katil single,meja study dan juga dua almari besi pakaian. Tiada alasan lagi untuk para pelajar  merungut. Mencukupi!
Tahun ini sudah masuk tahun kedua bagi Sebastian. Dia ditempatkan bersama Amin kali ini. Walaupun berlainan agama, semua itu tidak memberi sebarang masalah kepadanya. Dia mudah ramah dengan  semua orang.
“Mana Amin?” soal Hakimi kerana tiada kelibat Amin dalam bilik itu.
“Oh..dia tengah mandi rasanya…kejap lagi siap la tu,” jawab Sebastian.
Hakimi menanti. Sebastian kembali menghadap laptopnya. Membalas mesej dari rakan mayanya.
“Eh..dah sampai? Awalnya.,” sapa Amin yang baru masuk ke bilik dengan bertuala dan berbaju t-shirt putih. Nampak segar setelah mandi hampir setengah jam. Tersengih dia seperti kerang busuk.
“ Ye ke awal? Atau kau tu yang lambat?” soal Hakimi sambil mengenyit mata kearah Amin.
Amin hanya ketawa. Dia mengerling jam di atas meja. Waktu sudah menghampiri  6.30 petang. Betullah dia terlewat 5 minit.
“Sorry…,” ucap Amin panjang dengan wajah kasihan yang dibuat-buat.
“Haha..sudah,sudah…cepat siap…nanti lambat pulak kita,” gesa Hakimi.
“Eh..korang nak pergi mana? Ada program apa malam ni?” soal Sebastian tiba-tiba.
“Oh..sebenarnya malam ni kami ada program maulidurrasul,” kata Hakimi.
“Maulidu..ra..rasul? Apa tu?”
“Maulidurrasul tu maksudnya hari ulang tahun kelahiran nabi kami, ummat Islam iaitu nabi Muhammad,” jawab Amin yang sudah siap dengan baju melayunya untuk program pada malam ini. Kelihatan kemas dan bergaya.
“Em….kenapa perlu sambut? Muhammad itu bukannya orang baik.”
Hakimi dan Amin tersentak. Masing-masing memandang Sebastian. Agak terkejut dengan pernyataan tiba-tibanya itu.
“Apa maksud kau Nabi kami tidak baik?” Amin mula tidak senang. Wajahnya berubah riak. Hilang sudah cerianya.
“Em…aku tak tahu..tapi semenjak aku kecil, aku dengar Muhammad itu pengganas,bernafsu binatang,suka…”
“Sebastian!!!!”
Sunyi.  Jerkahan Amin tadi menyebabkan Sebastian terdiam. Lidahnya terbeku. Hakimi masih tenang dikatil Amin.
“Apa yang kau cakap ni?! Suka hati kau saja!”
Hambur Amin. Sebagai ummat Nabi Muhammad S.A.W, dia sangat marah dengan pernyataan Sebastian itu. Biadap! Belum sempat Amin menambah, Hakimi bersuara meredakan keadaan.
“Amin…em aku rasa kau turun dulu la. Kita jumpa di RSU nanti ya..” kata Hakimi lembut. Senyuman masih bermain dibibirnya. Dia memang seorang yang sangat tenang. Amin tidak berkata apa-apa. Dia memandang lama wajah Hakimi seakan-akan hendak menyatakan sesuatu yang terbuku dihati. Hakimi memahami. Dia hanya tersenyum. Dia kemudiannya hanya mengangguk. Anggukkan itu bermaksud, ‘Tak apa,jangan risau,kau pergi dulu. Biar aku uruskan Sebastian.’ Amin akur dengan Hakimi. Dia mencapai kopiahnya lalu berlalu pergi tanpa mengucap sepatah kata.
Hakimi memandang Sebastian. Lelaki beragama kristian itu tertunduk tidak berkata apa-apa.
“Sebastian…….”
***************

Ruang solat utama (RSU) UiTM Puncak Alam dipenuhi dengan para pelajar. Jumlahnya hampir mencecah seribu orang lebih. Pihak RSU terpaksa menghampar tikar lebih bagi menyediakan tempat kepada pelajar yang datang. Malam itu sambutan Maulidurrasul tahun 1435 hijriah diisi dengan ceramah agama yang disampaikan oleh penceramah khas yang tidak asing lagi,iaitu Imam Muda Abdullah. Semua pelajar kelihatan gembira. Mereka yang belajar disini sangat bertuah kerana pihak hal ehwal  agama Islam kampus ini sangat menitikberatkan soal kerohanian para pelajar. Cuma yang menyedihkan adalah sikap sesetengah pelajar yang tidak ambil peduli. Hanya sibuk dengan program keduniaan. Soal kerohanian entah ke mana.
 Dari kejauhan kelihatan di atas pentas, Hakimi bersama Ustaz Abdul Rahman,pegawai hal ehwal agama Islam UiTM duduk di atas kerusi. Dia menjadi pengerusi majlis untuk ceramah itu. Kerusi diantara Hakimi dan Ustaz Rahman diisi oleh Imam Muda Abdullah yang kini sedang menyampaikan mutiara-mutiara berharga. Semua pelajar khusyuk mendengar.
“Adik-adik yang dikasihi Allah sekalian…hebat tak hebatnya nabi kita ni..baginda adalah seorang yang sangat penyabar,” kata Imam Muda Abdullah. Dia berhenti seketika mengambil nafas.
“Kalau kita manusia biasa ni,selalunya kita jenis yang cepat marah dan susah untuk sejuk. Maksudnya susah nak hilang marah…. Tapi adik-adik,hebatnya nabi kita ini, baginda adalah seorang yang susah untuk marah,dan mudah untuk memaafkan,” sambungnya lagi.
Imam Muda Abdullah memandang para pelajar dihadapannya. Semuanya menantikan kata-kata seterusnya. Dia menyambung lagi.
“ Adik-adik, kalau kita singkap kembali sejarah, kita akan dapat lihat bagaimana hebatnya akhlak baginda Nabi Muhammad S.A.W. Ketika baginda diarah untuk berdakwah di Thaif, baginda telah dihina oleh para penduduk Thaif. Apabila baginda sampai di pintu kota Thaif,pada mulanya baginda telah disambut baik oleh pemimpin-pemimpin Thaif kerana mereka menyangka itu adalah lawatan dari pemimpin Mekah. Namun apabila Baginda menyatakan hasratnya untuk menyampaikan Islam….terus pemimpin-pemimpin Thaif menghalau baginda. Tetapi baginda tidak mengalah adik-adik..apa yang baginda buat? Baginda meminta izin untuk masuk berdakwah kedalam Thaif kerana baginda beranggapan seandainya para pemimpin tersebut tidak mahu menerima Islam, mungkin terdapat orang lain didalam kota itu yang mungkin akan menerima Islam.”
Suasana semakin hangat. Para pelajar mula menyelami kisah yang disampaikan itu. Kisah itu disambung lagi.
“Kemudian adik-adik tahu apa yang terjadi? Para pemimpin Thaif ini mereka masuk kedalam kota lalu mereka mengumpulkan remaja-remaja nakal dan mereka bariskan dalam dua barisan dihadapan pintu kota.”
Kata-kata Imam Muda Abdullah terhenti. Dia menunduk. Semua pelajar sepi. Dari pembesar suara seakan-akan terdengar esakan penceramah itu. Satu esakan yang cuba ditahan. Beliau berusaha untuk menyambung.
“Kemudian….apabila Baginda yang mulia masuk ke kota itu adik-adik….bayangkan remaja-remaja ini melemparkan baginda dengan batu-batu…sampai berdarah tubuh baginda yang mulia itu.” Kata penceramah sambil menangis. Air matanya tidak dapat ditahan. Kisah itu membuatkan hatinya rindu akan baginda Nabi Muhammad S.A.W.
“Sampaikan…ada sejarah yang menyatakan bahawa…apabila baginda berlalu pergi dari Thaif, ketika baginda berjalan, kasutnya berbunyi seakan-akan terdapat air didalam kasut baginda. Bunyi apa adik-adik?? Bunyi itu datangnya dari darah baginda adik-adik…darah yang mengalir dari tubuh baginda yang mulia…”
Semua pelajar terdiam. Sunyi. Beberapa ketika mula terdengar esakan-esakan kecil. Para pelajar ramai yang menangis. Masing-masing wajah tertunduk. Ada yang terhinggut bahunya menahan tangis. Semuanya kerana pengorbanan hebat seorang manusia yang mulia yang bernama Muhammad Bin Abdullah. Sambung penceramah lagi.
“ walaupun begitu adik-adik,apabila malaikat ingin menurunkan azab kepada penduduk Thaif, nabi menghalang dan berkata… ‘walaupun mereka menolak Islam, aku berharap dengan izin Allah, akan muncul dari zuriat mereka orang yang menyembah Allah dan beribadah kepadaNya.’ , …..begitulah sayangnya Baginda pada Ummat.”
Semua pelajar terkedu. Semakin ramai yang mengalirkan air mata mengenangkan betapa mulianya insan bernama Muhammad itu.Keadaan seperti itu berlarutan beberapa minit. Kemudian Imam Muda kembali menuturkan kata-kata.
“Adik-adik…sedarlah…Baginda telah banyak berkorban untuk kita ummatnya..jadi janganlah kita mengenepikan baginda dari hidup kita. Banyakkanlah mengingati baginda. Nescaya baginda juga akan mengingati kita. Sebagai kata akhir… saya tutup perkongsian saya ini dengan satu hadis yang diriwayatkan oleh Nasaie dan Ibnu Hibban, ‘Sesungguhnya,orang yang paling dekat denganku pada hari kiamat kelak adalah orang yang paling banyak berselawat kepadaku’. Sekian wabillahitaufiqwalhidayah, wassalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh.”
Ceramah itu berakhir dengan penuh makna. Malam itu banyak hati-hati yang disimbahi hidayah Allah apabila mendengar kisah perjuangan baginda Nabi Muhammad S.A.W, termasuklah seseorang yang mendengar ceramah itu dari jauh. Pintu hatinya seakan terketuk. Namun hanya menunggu masa untuk dibuka bagi menerimanya.

****************

Sebastian berbaring diatas katil. Seribu satu rasa bersalah menghantui fikirannya. Sekejap dia mengiring kekanan, sekejap dia mengiring ke kiri. Semuanya tidak kena. Tiba-tiba pintu bilik ditolak dari luar. Seseorang melangkah masuk. Amin sudah pulang dari program di RSU. Langkah Amin terhenti apabila dia melihat Sebastian yang sudah bangun melihatnya seakan-akan ingin menyatakan sesuatu. Mata mereka bertembung. Namun Amin tidak mengendahkan. Dia terus melangkah dan duduk di kerusi di meja studynya.
“Amin, kau marah lagi?”
Sebastian bertanya memecah kesunyian. Amin diam. Lama begitu, kemudian Amin berkalih.
“Dah tak marah lagi dah…tak apalah Sebastian…benda dah berlaku..aku pun minta maaf sebab marah kau petang tadi.” Amin mengakui juga kesilapannya yang terlalu beremosi. Dia lalu mengukir senyuman buat sahabatnya yang berlainan agama itu.
“ Salah aku sebenarnya…cakap yang bukan-bukan pasal nabi kau…tapi bila aku dengar ceramah tadi,baru aku tahu…” sambung Sebastian lagi.
“Eh..kau dengar ceramah tadi Sebastian?” soal Amin terkejut.
Sebastian mengangguk sambil tersenyum.
“Kenapa tiba-tiba?”
“ Sebab Hakimi…..”
Peristiwa petang tadi bermain semula di minda Sebastian.

“Sebastian….”
Lembut Hakimi memanggil.
Sebastian mengangkat wajah. Perasaan hairan timbul apabila melihat senyuman manis Hakimi.
“Kau tak marah Hakimi? Aku cakap benda tak baik pada Nabi kau?”
“Tak…” jawab Hakimi dengan senyuman masih dibibir.
“Kenapa?”
“Sebab Nabi aku tidak mengajar kami untuk marah orang yang tidak mengetahui.”
Tersentap hati Sebastian. Rasa bersalah menyelubungi hatinya. Dia terdiam.
“Sebastian,boleh aku tahu apa yang engkau tahu tentang Nabi aku?” soal Hakimi lembut.
“Aa…aku tak tahu apa-apa?”
“Kalau macam tu kenapa kau kata begitu pada nabi kami tadi?” soal Hakimi lagi.
“Sebab dari kecil lagi aku diberitahu begitu oleh orang bukan Islam yang lain. Muhammad itu pengganas,bernafsu binatang,ahli sihir dan macam-macam lagi…”
Hakimi beristighfar didalam hati. Dia berdoa, ‘Ya Allah,ampunkan sahabatku ini,dia tidak mengetahui’.
“Kamu tidak sepatutnya mempercayai bulat-bulat tanpa mengkaji Sebastian. Tuduhan bahawa Nabi kami itu adalah pengganas sama sekali tidak benar,” jelas Hakimi.
“Kamu ada bukti?” soal Sebastian kurang percaya.
“Ada…kalau kamu kaji sejarah nabi kami, beliau adalah seorang pemimpin yang tidak suka akan kekerasan dan peperangan. Kebanyakaan peperangan yang beliau lalui semuanya didahului terlebih dahulu dengan jalan pendamaian. Namun, peperangan terpaksa diteruskan kerana pihak lawan yang tidak mahukan pendamaian.”
Hakimi berhenti mengambil nafas. Sebastian tidak mencelah, malah memberi sepenuh perhatian.
“Malah, nabi kami mengajarkan ummatnya akan adab-adab ketika peperangan..” sambung Hakimi lagi.
“Adab-adab ketika peperangan? Eh, ketika berperang pun masih ada adab?” soal Sebastian hairan. Tidak pernah dia mendengar hal seperti itu. Senyuman Hakimi semakin melebar.
“Ada….dalam peperangan ummat Islam dilarang membunuh orang-orang tua,kanak-kanak,wanita serta orang yang tidak berdaya. Malah, mereka juga dilarang daripada merosakkan tumbuh-tumbuhan atau harta benda penduduk tersebut. Rumah-rumah ibadat penganut agama lain pun tidak diusik.”
“Wah, macam tu rupanya…sungguh aku tak tahu….” Kata Sebastian. Dia tertunduk sambil jari tangan kanannya bermain didagu. Seakan-akan berfikir sesuatu.
“Jadi…..kalau Nabi kamu mengajar adab sebegitu dalam peperangan, mana mungkin dia itu seorang pengganas...” kata Sebastian seakan-akan memberitahu kepada dirinya sendiri.
Hakimi tersenyum lebar. Dia bersyukur kerana Sebastian memahami apa yang dia cuba sampaikan.
“Kalau begitu bagaimana pula dengan tuduhan bahawa Nabi kamu itu seorang yang..er..bernafsu binatang dan ahli sihir? Kamu ada bukti nak mengenepikan tuduhan ini?” soal Sebastian lagi ingin tahu.
Hakimi gembira dengan perasaan ingin tahu Sebastian itu. Namun dia menjeling sekilas jam ditangannya. Sudah lewat.
“Em…ada…tapi aku tak dapat jelaskan pada kau sekarang ni…sebab dah lewat sekarang..aku perlu bertugas untuk program malam ni. Mungkin lain kali kita boleh bersembang lagi,” kata Hakimi sedikit kesal akan keterbatasan masa itu. Dia bangun untuk keluar dari bilik, sampai sahaja di muka pintu…
“Kimi…”
Sebastian memanggil.
Hakimi berkalih dengan senyuman yang tidak lekang dibibir.
“Nanti ceritakan lagi pada aku tentang Nabi kau.”
“ InsyaAllah…kalau nak tahu lebih boleh saja kau turun dengar ceramah malam ni di RSU.”
Hakimi tersenyum syukur. Dia  berlalu dengan lafaz Alhamdulillah bermain dihati. Moga Sebastian mendapat hidayah.

**************

Petang itu Sebastian tidak melayari internet seperti hari-hari biasa. Dia bersiap-siap dengan pakaian sukan. Kasut sukan jenama Adidas disarung kemas kekakinya. Sedang bersiap, seseorang yang sangat dikenalinya menegur.
“Eh..Sebastian? Nak pergi mana ni?”
Sebastian mengangkat wajah melihat tuan empunya suara. Amin berada dihadapannya. Baru pulang dari kuilah. Masih kemas berbaju kemeja.
“Haha,…saja..nak pergi main ping-pong,” jawabnya ceria.
“ Eh,mimpi apa kau ni? Tak pernah-pernah main,tiba-tiba hari ni nak main pulak? Kasut pun berkilat lagi tu,” kata Amin sekadar mengusik rakan sebiliknya itu.
Tergelak kecil Sebastian akan usikan Amin itu. Dia bangun sambil mengibas-ngibaskan punggungnya. Membuang debu kerana duduk dilantai tadi.
“Aku nak berguru dengan Hakimi,” kata Sebastian sambil mengenyit nakal pada Amin. Kemudian dia berlalu pergi.
Amin terkedu. Semakin hairan dia dengan Sebastian. Dua tiga hari ini dia semakin rapat dengan Hakimi, tidak seperti sebelum ini. Dia hanya tersenyum. Dalam hatinya berdoa sesuatu. Doa yang turut diharapkan oleh Hakimi agar dimakbulkan.

“Pang!!”
Bunyi deras  itu mengejutkan Sebastian. Pukulan dari Hakimi itu sangat kuat sehingga bola terpelanting jauh ke belakang. Petang itu dia bermain ping-pong dengan Hakimi. Pada mulanya, dia sekadar hendak bermain suka-suka sahaja. Namun, apabila melihat kehebatan Hakimi bermain ping-pong dia turut bermain bersungguh-sungguh. Namun….
“Set-08”
Hakimi menyebut kiraan mata ketika itu. Dia membelasah teruk Sebastian tanpa belas kasihan. Peluh yang keluar menghangatkan lagi suasana.
Hakimi mengambil bola dan bersiap untuk servis yang terakhir. Dengan gaya yang mantap Hakimi melepaskan satu servis potong yang berbisa. Namun servis itu diambil sedaya-upaya oleh Sebastian dengan satu potongan cantik, bola kembali masuk kebahagian meja Hakimi. Hakimi menghampiri untuk mengambil bola itu dengan pukulan potong, namun disaat akhir, Hakimi mengilaskan tangannya dan melibas bola dengan teknik spin berbisanya.
“Pang!!!”
“Yeay….menang!!! Hakimi bersorak kegembiraan apabila Sebastian gagal membalas pukulan bolanya yang laju itu. Hakimi menang dua set dan Sebastian menang satu set. Keseluruhannya Hakimi mendahului.
“ Hakimi….dah,dah… rehat la dulu…aku dah penat…” kata Sebastian yang sudahpun terduduk dilantai kerana cuba mengambil bola Hakimi tadi, namun tidak berjaya. Dalam hatinya dia mengakui kehebatan Hakimi.
“Haha…baru sikit,” kata Hakimi mengusik sambil melangkah duduk di atas kerusi. Sebastian turut membuat perkara yang sama.
“Hebat la kau Hakimi. Tak sangka aku. Aku ingat tak nak buli kau hari ni, rupanya aku yang kena belasah,” pujian terluah dari mulut Sebastian.
“Haha, tak adalah… semua ni tuhan yang bagi,Allah yang bagi,” Hakimi mengembalikan pujian itu kepada yang Maha Pencipta. Terbit rasa kagum dalam hati Sebastian akan seorang insan bernama Hakimi. Walaupun dia kelihatan biasa, tapi dia berjiwa besar. Tidak pernah sombong akan kelebihan yang ada pada dirinya.
“Em….Kimi…boleh kita sambung perbincangan kita yang hari tu?” soal Sebastian tiba-tiba.
“ Yang mana satu?” Hakimi meminta kepastian walaupun dia dapat menangkap apa yang dimaksudkan Sebastian itu.
“Ala…tentang tuduhan bahawa nabi kamu itu bernafsu binatang. Betul ke? Aku ada dengar juga yang nabi kamu itu berkahwin dengan ramai wanita,” kata Sebastian.
Hakimi tersenyum. Dia memang begitu. Suka tersenyum. Baginya senyum itu satu amalan yang sangat baik untuk dirinya dan orang sekeliling. Amalan pengikat silaturrahim. Kerana itulah senyum merupakan satu sunnah Baginda Nabi Muhammad S.A.W.
“ Kau percaya dengan tuduhan itu?” soal Hakimi kembali.
“Em..dulu aku percaya…tapi sekarang kurang percaya..ragu-ragu,” kata Sebastian jujur.
Senyuman memekar dibibir Hakimi. ‘Dah banyak berubah kau ni Sebastian,alhamdulillah’, monolog Hakimi dalam hati.
“Sebenarnya tuduhan itu merupakan satu tuduhan yang sangat melampau… Kalau dikaji kembali kisah percintaan Nabi Muhammad S.A.W dengan isteri pertama baginda, iaitu Khadijah kita dapat mengetahui bahawa Nabi merupakan seorang yang amat penyayang dan setia. Malah sepanjang perkahwinannya dengan Siti Khadijah nabi tidak pernah memadukan beliau.”
“Oh..maksudnya, nabi berkahwin lain selepas kematian Khadijah?” soal Sebastian meminta kepastian.
“Ya…itupun adalah atas suruhan tuhan, bukan kerana nafsu sendiri. Malah kebanyakannya kalau dikaji, tujuan perkahwinan nabi itu adalah untuk memelihara hak wanita dan membantu wanita,” jelas Hakimi.
“Hem…begitu rupanya…tapi aku masih sangsi, bagaimana kalau ada yang menyatakan Nabi berkahwin banyak kerana nafsu? Kalau sekadar hendak memelihara wanita bukankah boleh serahkan tugas itu kepada orang lain atau sahabat-sahabat nabi?” soal Sebastian ingin tahu.
“ Sebenarnya ada hikmah disebalik perkahwinan Nabi dengan ramai wanita…”
“Hikmah? Macam mana tu?”
Hakimi menarik nafas dalam-dalam. Bukan mudah hendak menerangkan hal-hal seperti ini kepada orang yang bukan Islam. Namun, dia cuba sebaik mungkin kerana menganggap ini sebagai salah satu cabaran dakwah.
“ Aku berikan kau analogi ataupun perumpamaan…andai kata aku sudah berkahwin, dan  kau sebagai sahabat aku ingin tahu sikap aku didalam rumah….jadi siapa yang akan kau rujuk?” Hakimi menanyakan satu soalan cepu mas.
“Ish..kau..mestilah tanya isteri kau…,” jawab Sebastian spontan.
“Kenapa?” Tanya Hakimi lagi ingin menguji.
“ Sebab isteri kau lah yang paling tahu pasal kau dalam hal rumah tang…”
Belum sempat Sebastian menghabiskan ayat, mulutnya terlopong…seakan-akan dia dapat memahami sesuatu.
“Kimi,Kimi…aku faham,aku faham….maksudnya isteri-isteri nabi ni menjadi tempat rujukan pengikut-pengikutnya berkaitan hal rumah tangga kan? Betul tak?” Sebastian membuat andaian.
Hakimi tersenyum lebar.
“Benar….malah bukan dari segi hal rumah tangga sahaja…malah segala-galanya berkaitan nabi yang dapat dijadikan contoh…itulah hikmahnya nabi beristeri ramai. Apabila dirujuk kepada mana-mana isteri semua akan memberikan jawapan yang sama. Maka terbuktilah akhlak nabi itu memang akhlak yang terbaik. Bukan akhlak yang dibuat-buat.” Jelas Hakimi panjang lebar. Hatinya puas dapat membetulkan salah faham orang terhadap Rasulullah yang sangat mulia. Sebastian terangguk-angguk seperti burung belatuk. Dia semakin memahami sekarang. Entah kenapa dia rasakan hatinya puas dapat mengetahui semua kebenaran ini.
“Dah…jom balik…dah nak masuk waktu solat….aku nak kena bersiap untuk solat Maghrib,” kata Hakimi.
“Jom,jom.”
Dua sahabat itu jalan beriringan menuju ke kolej. Antara mereka sekarang seperti diiikat oleh sesuatu. Sesuatu yang masih belum tersingkap.

***************

Malam itu kuliah maghrib disampaikan oleh Hakimi kerana Ustaz Rahman tidak dapat hadir. Dia ada kerja penting yang perlu diselesaikan. Jadi, dia memberi kepercayaan kepada Hakimi untuk menggantikan tempatnya pada malam itu. Hakimi cuba menghargai kepercayaan itu dengan memberikan pengisian yang sebaik mungkin. Malam itu, Hakimi membawa pengisian berkisar dakwah kepada ummat manusia.
“Rakan-rakan yang dikasihi Allah sekalian, setiap daripada kita disini bertanggungjawab untuk menyampaikan risalah Islam ini kepada manusia. Bukan sekadar untuk ummat Islam, tapi juga kepada rakan-rakan kita yang beragama lain. Hal ini kerana agama Islam ini bukan agama yang diturunkan untuk ummat Islam sahaja, dan tuhan kita Allah s.w.t bukanlah tuhan kita sahaja…tapi juga tuhan kepada seluruh ummat manusia yang hidup di muka bumi Allah ini.”
Hakimi berhenti sebentar, menelan liur, kemudian menyambung kembali.
“Kerana itulah sahabat-sahabat sekalian,janganlah kita menyisihkan rakan-rakan kita yang non-muslim. Tetapi dekatilah mereka dan sampaikanlah dakwah Islam kepada mereka setakat yang kita termampu. Jika tidak mampu mengajak mereka, maka tunjukkanlah akhlak yang mulia, semoga mereka nampak bahawa agama kita ini adalah agama yang terbaik.”
Pengisian yang diberikan itu berjaya menyuntik semangat orang yang mendengarnya. Hakimi memang hebat dalam menyampaikan tazkirah kerana dia sudah dilatih semenjak dari sekolah menengah lagi.
Seusai tazkirah, Hakimi mengimami solat Isya berjemaah.  Setelah itu dia menunaikan solat sunat ba’diah dua rakaat. Habis solat dia terus bergerak keluar dari RSU. Langkahnya cepat tapi tenang. Blok Hakimi, blok A4 merupakan blok yang paling hampir dengan RSU. Jadi dia tidak mengambil masa yang lama untuk sampai ke rumahnya. Sampai sahaja di pintu rumah, Hakimi tersenyum.
“Wah, dah siap?” soal Hakimi ceria. Matanya galak melihat makanan yang terhidang di ruang tamu rumah A4102. Walaupun ringkas tapi nampak menyelerakan. Ada bihun, kuih-muih,ayam goreng dan yang paling istimewa sekali adalah kek yang masih didalam kotaknya. Kebanyakan makanan itu dibeli dari pasar malam Fasa 2 yang menjadi tumpuan para pelajar UiTM pada setiap hari rabu dan sabtu.
“Semua dah sedia ke?” soal Hakimi lagi?
“Dahhhh…” jawab rakan serumah Hakimi. Serentak mereka menjawab. Selepas itu masing-masing ketawa dengan jawapan spontan mereka itu. Amin, Hasbullah, Nuaim ,Majid, Kamal dan Muhaimin semuanya rakan serumah Hakimi turut serta pada malam itu.
Hakimi tergeleng dengan telatah rakan-rakannya. Dia melihat jam di tangan. Dah sampai masanya.
“Ok,get ready guys,” kata Hakimi.

******************

Sebastian melangkah perlahan kurang bermaya. Dirinya masih rasa bersalah atas tindakannya sebentar tadi walaupun dia rasakan dia telah melakukan perkara yang betul. Teringat perbualannya dengan rakan-rakan sekelasnya yang juga beragama kristian setelah tamat kelas tadi.
“Eh…malam ni birthday kau kan Tian?” soal Joey. Rakan-rakan yang lain memberi perhatian.
“Aa…,” jawab Sebastian sambil tersenyum. Semua rakan-rakannya bersorak. Kemudian mereka menyanyikan lagu untuknya.
“Thanks guys,” ucap Sebastian setelah habis mereka menyanyi. Hatinya sedikit tersentuh.
“So…jomlah malam ni kita clubbing,” kata Joey. Merancang program mereka untuk malam itu. Kebetulan esok mereka tiada kelas.
“Yeay!”
“Jom,jom!!”
Sambut rakan-rakannya, namun Sebastian Nampak tidak gembira.
“Err…aku tak boleh keluar rasanya,” jawab Sebastian sedikit gugup.
Rakan-rakannya berubah riak. Rasa pelik. Sebastian seperti dah berubah. Tidak lagi seperti dulu. Pantang diajak berhibur, pasti dia yang nombor satu menyahut. Tapi tidak lagi sekarang.
“Eh…kenapa? Kau ada kerja lain ke?” soal Joey lagi.
“Em…ada kerja lagi nak kena buat. Yang presentation group tu. Due date dah dekat sangat dah ni. Sorry guys,” kata Sebastian beralasan.
“Ok..no problem.”

“Pinnn!!!”
“Ya Allah!!!”
Sebastian terundur ke belakang. Dia hampir dilanggar motosikal. Dia berjalan sambil termenung. Itulah akibatnya. Penunggang motorsikal itu terus ke hadapan tanpa menoleh ke belakang. Sebastian mengurut-ngurut dadanya.
“Aku sebut Ya Allah ke tadi?” soal Sebastian sendirian setelah keadaannya sedikit tenang. Kemudian dia tergelak.
Semenjak dia berkawan dengan Hakimi, perangai dan sikapnya berubah dengan ketara sekali. Tindak-tanduk lelaki itu menjadi ikutannya. Sampaikan apabila melatah pun kini dia mengucapkan kalimah-kalimah yang sering diucapkan Hakimi. Malah sikapnya yang dulu suka berhibur pun sudah berkurang. Dia lebih suka menghabiskan masa bersama Hakimi dan rakan-rakannya. Bagi Sebastian mereka itu mempunyai satu aura tarikan yang tidak dapat dia gambarkan. Tapi dia suka.
Setelah hampir sepuluh minit berjalan, Sebastian sampai ke rumah. Dia sedikit hairan melihat lampu ruang tamu yang tidak dibuka. Selalunya tak begitu. Kelihatan suram pada malam ini. Setelah menyusun kasut di rak, dia memetik suis lampu ruang tamu. Tiba-tiba….
“Happy Birthday Sebastian!!!”
“Ya Allah!!!” Sebastian terkejut. Hampir menitik air matanya melihat rakan-rakan serumahnya termasuk Hakimi membuat kejutan sebegitu.
Happy birthday to you….
Happy birthday to you…
Happy birthday to Sebastian…
Happy birthday to you………..
Serentak lagu itu habis dinyanyikan, semua ahli rumah bertepuk tangan. Sebastian mengalirkan air mata. Dia lalu meletakkan beg, dan mendapatkan rakan-rakannya itu lalu dipeluk erat. Hatinya sangat tersentuh. Jiwanya bergetar saat ini. Terasa damai. Suasana seperti ini tidak dapat dirasai ketika dia bersama rakan-rakannya yang beragama Kristian.
“Ehem…ehem..dah boleh makan rasanya,” kata Majid menghentikan drama di ruang tamu itu.
“Okk…makannnn,” sambut mereka semua.
Hakimi membaca doa sebelum makan dan sedikit doa selamat. Selesai doa Hakimi berucap.
“ Sebelum makan kami nak minta sahabat kita Sebastian untuk membuat sedikit ucapan. Dipersilakan,”
Sebastian mengesat air matanya di pipi. Dia memandang satu-persatu wajah rakan-rakannya itu. Wajah mereka semuanya bersih-bersih memancarkan cahaya keimanan.
“ Aku tak mahu berucap, tapi…aku ada satu soalan… dan aku berharap jawapan kepada soalan ini akan menjadi hadiah teristimewa untuk aku,” katanya sebak…kemudian dia menyambung.
“ Benarkah Allah itu wujud??”
Semua terdiam mendengar soalan itu. Masing-masing saling berpandangan. Lama kemudian pandangan mereka itu beralih kearah Hakimi. Kerana mereka tahu hanya Hakimi yang mampu menjawab.
Hakimi tersenyum.
“ Kau gembira tak malam ini Sebastian?” soal Hakimi tidak menjawab soalan.
“Apa?” Sebastian pelik dengan soalan itu.
“ Kau gembira tak kami sambut birthday kau seperti ini?” soal Hakimi lagi.
“Mesti la gembira..” jawab Sebastian spontan.
“Kalau macam tu cuba tunjukkan kami gembira kau tu.” Kata Hakimi sambil tersenyum.
Sebastian sedikit keliru dengan permintaan Hakimi itu. Dia terdiam. Rakan-rakan yang lain pun berdiam.
“ Apa maksud gembira bagi kau Sebastian?” soal Hakimi menguji.
“Em… satu perasaan yang tak dapat digambarkan. Perasaan yang menyenangkan hati. Kita dapat rasa tapi kita tak dapat tunjukkan fizikalnya. Cuma kesan daripada gembira itu terzahir dengan perbuatan kita.” Jelas Sebastian.
Senyuman Hakimi melebar.
“ Begitulah juga Allah Sebastian. Kita tahu Allah wujud, tapi kita tak nampak secara fizikalnya. Sama juga dengan sakit. Kita dapat rasa sakit, tapi apabila orang menyuruh kita menunjukkan rupa sakit itu kita tak dapat lakukannya. Tapi kita tahu sakit itu ada. Itulah Allah Sebastian. Dia wujud. Cuma apabila ditanya dimana Allah, kita tak dapat berikan jawapan. Namun bagi yang beriman, Allah itu sentiasa wujud dan sangat dekat dengan mereka.”
Sebastian terkedu. Lidahnya membeku. Hatinya terasa lapang. Seakan-akan disimbahi air sejuk yang menenangkan. Tanpa disedari air jernih mengalir di pipinya. Dia mula teresak. Perlahan-lahan semakin kuat esakan itu. Akhirnya satu perkataan terbit dari mulutnya.
“Ya Allah…….”

*****************

 Hening petang itu mendamaikan. Ditambah pula dengan kicauan burung petang yang menyerikan lagi suasana. Sangat menenangkan. Dalam ketenangan itu, dia bersiap-siap dengan pakaian yang cantik. Jubah putih menjadi pilihannya. Minyak wangi disembur. Sekadar memberi bau yang menyegarkan. Kain serban yang tergantung dirak baju diambil. Lalu, dengan tenang tangannya melilit serban itu di kepala. Setelah selesai, dia menghampiri meja studynya, lalu melakukan sesuatu di laptopnya. Beberapa saat kemudian, satu lagu dimainkan. Lagu nyanyian Nazrey Johari yang bertajuk ‘Wahai Kekasih’ dipasang. Kini lagu itu selalu menjadi penghibur hatinya semenjak tarikh bersejarah itu.

wahai seorang kekasih,
telah lama kau dirindui,
pilu sedih dalam kerinduan,
menangispun tak berair mata,
namun hati tetap gembira,
syafaatmu menanti disana.

sungguh tabahnya hatimu,
menanggung derita yang melanda,
biarpun perit pedih terseksa,
kerana ummat kau tempuhi jua.

wahai Rasul kaulah segalanya,
contoh terbaik ummat akhir zaman,
akhlakmu tinggi,kan kami jejaki,
sifatmu sempurna, pelengkap peribadi.

wahai Rasul, kami merindui,
sinaran wajahmu,mendamaikan jiwa,
manis senyumanmu,penawar hiba,
dihati kami, kaulah segalanya.

wahai seorang kekasih,
telah lama kau dirindui,
pilu sedih dalam kerinduan,
menangispun tak berair mata,
namun hati tetap gembira,
diakhirat,kita kan bersua.

“Di akhirat….kita kan bersua…” perlahan mulutnya mengulang lirik itu. Maksudnya menusuk hati, hingga menyebabkan matanya berair.

“Muhammad!!”

Dia berkalih. Melihat empunya suara yang memanggil.  Air mata dikesat. Senyuman manis diukir.

“Oh..Kimi,dah sampai?”

“Ye..menung apa lagi tu? Jomlah gerak. Nanti lambat pula.” Kata Hakimi.

“Ye la Sebastian..lambat pu…”

“Muhammad….”

Amin terdiam. Belum sempat dia menghabiskan ayat, seseorang meningkah.

“Muhammad… tu nama aku sekarang… Sebastian itu kisah lama…”

Kata Muhammad ataupun Sebastian sambil tersenyum.

“Ok..maafkan aku Muhammad, masih terbiasa dengan nama Sebastian. Macam nama pemain bola sepak. Haha.” Kata Amin. Semua yang ada didalam bilik itu ketawa.

“Ye la tu….jom,nanti lambat,” kata Muhammad gembira.

Mereka melangkah bersama. Sambutan Maulidurrasul tahun 1436 hijrah ini lebih bermakna. Terutamanya bagi insan yang bernama Sebastian yang kini bernama Muhammad. Sudah hampir setahun dia memeluk Islam. Baginya hidayah Allah ini lebih berharga dari segala isi dunia. Kini, dia berusaha menambah ilmu agamanya bersama Hakimi dan sahabat-sahabat lain. Dia bersyukur dikurniakan sahabat-sahabat yang berjiwa besar seperti mereka, yang dapat mendekatkan dirinya kepada Allah. Dia teringat akan satu hadis riwayat Ibnu Abbas,
Telah ditanyakan kepada Rasulullah, “Ya Rasulullah, siapakah teman kami yang paling baik?”

Sabda Baginda,

“Dia orang yang mengingatkan kamu kepada Allah apabila kamu melihatnya, dan bertambah ilmu kamu apabila mendengar percakapannya, dan mengingatkan kamu kepada Allah apabila melihat amalannya.”

Muhammad tersenyum syukur.

“Ni dah kenapa seyum sorang-sorang?” usik Amin, apabila melihat Muhammad tersenyum sendirian.

“Ahh..diamlah kau!” kata Muhammad dengan muka  serius yang dibuat-buat. Dia kemudiannya ketawa lalu dipeluk sahabatnya itu. Dalam hatinya, sesuatu terluah….

“Ya Rasulullah…terimalah daku sebagai ummatmu………”



********************





4 ulasan:

Arifah Zin berkata...

Assalamualaikum...

Ini suatu permulaan yang baik.
Cuma ana sarankan agar perbanyakkan lagi bacaan mengenai Nabi Muhammad SAW agar dpt menjelaskan lebih mendalam sebab isu Nabi Muhammad berpoligami tu masih belum jelas secara terperinci sebenarnya dlm cerpen. Anta just terang secara general je. Ana sarankan anta baca Novel Tuhan Lebih Saintifik untuk perbaiki lagi kualiti penulisan..

Wallahua'lam...

Unknown berkata...

waalaikumussalam..

insyaAllah...ini sekadar pembukaan....dan saya memang tidak menyentuh terlalu mendalam....kerana tidak mahu pembacaan cerpen ini nampak seperti berat..tapi insyaAllah saya cuba untuk jelaskan lebih mendalam selepas ini.. :)

Unknown berkata...

Assalamualaikum w.b.t.
Moga usaha ini mendapat redha ALLAH.
Komen saya :
Cerpen islamik mesti ada kelainan dari cerpen biasa. Ia haruslah mengandungi elemen yg dapat menyentuh hati dan sesungguhnya ALLAH lah yg memegang hati manusia. Alhamdulillah, cerita ini mampu membuat saya tersentuh pada part kisah Nabi SAW di Thaif. Apabila cerpen ini menceritakan mengenai junjungan besar kita, pelbagaikan kisah2 yg menyentuh keperibadian mulia Rasulullah cthnya ceritakan bagaimana baginda melayan non-muslim. Kaitkan dgn perlakuan Hakimi pd Sebastian. Dengan ini, pembaca akan lebih mengenali baginda. Kedua, pelbagaikan gaya bahasa yg menarik spt metafora,personafikasi, hiperbola(sikit je,banyak nnt pembaca bosan). Ketiga, aplikasikan teknik penceritaan yg menarik spt saspens, imbas kembali atau imbas muka.
Harap untuk karya seterusnya dapat merangka jalan cerita yg lain dari kebiasaan yg sudah berada di pasaran. Harap yg terbaik unt halim. Teruskan penulisan dan perbaiki;)
Man jadda wa jadda.
Waalahua'alam.

Tanpa Nama berkata...

tahniah penulisan yang baik. moga terus berjaya dalam penulisan islamik. perbanyakkan novel seperti ini..:)

 


Nohara al-Ramadani ©2016. Minima Template customized by Scyalicious