Novel-Bab 4

• Masa : 6:42:00 PTG • Ulasan : 0 • Label :
BAB 4
“ Ingatlah! Tingkatan empat ni bukannya tahun honeymoon untuk kamu! Tapi, masa ditingkatan empat inilah kamu kena mula fikirkan masa depan kamu.” Nasihat Ustazah Karmila pada pelajar tingkatan 4 Amanah, kelas yang pertama dari empat kelas tingkatan empat. Kelas yang lain ialah 4 Hasanah, 4 Hidayah, dan 4 Rahmah.
“Masa depan? Fikir pasal kahwin ke ustazah?” soal Kamarul tiba-tiba. Soalan itu disambut dengan gelak ketawa oleh rakan-rakan sekelas. Menceriakan suasana pada pagi itu. Tersenyum ustazah muda itu dengan soalan pelajarnya.
“Hem..kamu ni..tak ada perkara lain..kahwin, kahwin, kahwin!” kata Ustazah Karmila lembut. Melayan anak-anak pelajarnya. Dia berhenti sekejap menelan liur, kemudian menyambung.
“ Saya tak kata fikir pasal berkahwin itu salah. Tapi sebenarnya ada sesuatu yang lebih penting yang perlu kamu fikirkan saat ini.” Ustazah Karmila memandang semua anak pelajarnya. Mereka mula memberi perhatian pada topik yang dibincangkan pada hari itu.
“ Waktu ini, kamu perlu fikirkan apa cita-cita kamu! Apa yang kamu ingin jadi di masa hadapan. Nak jadi doctor? Nak jadi ustaz? Ustazah? Engineer? Atau apa-apa saja cita-cita kamu. Bila kamu dah ada cita-cita, barulah kamu akan bersemangat untuk belajar. Tidak main-main! Tidak membuang masa dengan perkara tidak berfaedah! Berbeza pula sekiranya kamu tidak ambil berat pasal cita-cita kamu. Kamu seperti tidak ada arah. Kecenderungan untuk kamu belajar dengan bersungguh itu kurang. Itulah pentingnya saat ini kamu tetapkan cita-cita kamu.” Terang ustazah Karmila panjang lebar. Tidak berkelip mata pelajar-pelajar tingkatan 4 Amanah mendengar penerangan ustazah itu. Khusyuk! Ramai yang mengangguk sebagai tanda faham apa yang disampaikan.

“Ada yang tak bersetuju dengan apa yang ustazah cakap?” Ustazah Karmila membuka ruang untuk pelajarnya bersuara. Dia lebih suka menggunakan komunikasi dua hala. Cara itu lebih berkesan dalam mendidik.
“Ustazah!”
Seseorang mengangkat tangan. Semua pelajar berkalih kearah suara yang memanggil itu.
“Ya Amiruddin.. ada apa-apa yang kamu tak bersetuju dengan apa yang ustazah sampaikan?” soal Ustazah itu lembut.
“Oh..bukan ustazah. Apa yang ustazah sampaikan tadi betul. Cuma ada yang ingin saya tambah. Boleh ustazah?” pinta Amir lembut. Senyuman manis menghiasi wajahnya.
“Oh..boleh sangat. Silakan Amir.”
“ Terima kasih ustazah. Em..sahabat-sahabat sekalian, apa yang ustazah sampaikan tadi sangat betul. Cuma saya nak ingatkan, disamping kita mengejar cita-cita dunia kita, jangan pula kita lupa akan cita-cita akhirat kita.” Kata Amir.
“ Cita-cita akhirat? Maksudnya?” soal seorang sahabat sekelas Amiruddin.
Amir tersenyum. Dia gembira mereka berminat dengan apa yang hendak dia sampaikan. Malah, Ustazah Karmila turut memberi perhatian.
“Cita-cita akhirat yang saya maksudkan disini ialah apa matlamat terakhir kita nanti. Apa yang kita ingin capai di akhirat kelak? Tak lain tak bukan adalah menjadi penghuni syurga Allah s.w.t..” jelas Amir.
Tersentap hati pelajar-pelajar 4 Amanah. Betullah! Mereka selalunya hanya memikirkan tentang matlamat dunia, kadang-kadang sampai melupakan matlamat akhirat!
“Kerana itulah kita perlu menghargai masa muda kita ini. Pada umur tingkatan 4 ini kita kena mula mendidik diri kita dengan perkara-perkara kebaikan. Lihat kembali solat kita. Lihat kembali tadarus Al-Quran kita. Lihat kembali hubungan kita dengan Allah. Lihat kembali hubungan kita sesama manusia. Adakah sudah mencapai tahap yang boleh membuatkan kita menjadi penghuni syurga Allah? Kalau belum, bermulalah dari saat ini.” Jelas Amir.
Pelajar-pelajar 4 Amanah tergamam. Tidak sangka seorang pelajar sebaya mereka akan berfikir kehadapan seperti itu. Serba sedikit hati mereka terketuk. Mereka mula memuhasabah kembali diri mereka. Muhasabah kembali amalan mereka selama ini. Adakah sudah mencukupi? Hanya mereka yang tahu!
“ Itu sahaja pendapat saya. Kalau salah, harap ustazah dapat betulkan. Terima kasih ustazah,” kata Amir merendah diri kemudian duduk kembali dikerusinya.
“Alhamdulillah. Terima kasih Amir. Perkongsian yang sangat bagus. Betul apa yang Amir cakapkan tadi. Saya harap kamu faham, dan ambil iktibar. Dan ingatlah, dengan kerja kamu didunia ini juga kamu dapat jadikannya sebagai bekalan akhirat. Yang penting pekerjaan kamu itu memberi manfaat kepada orang lain. Sebagai mana satu hadis baginda Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari, “Sebaik-baik manusia diantara kamu, adalah yang paling banyak manfaatnya pada orang lain.” Oleh itu, jadilah kamu orang yang bermanfaat kepada masyarakat.” Kata Ustazah Karmila sebagai penutup kelas pada pagi itu.
***************
Kantin sekolah dipenuhi para pelajar pada waktu rehat. Kelihatan sesak. Walaupun masakan di kantin ini biasa-biasa sahaja, namun tetap dipenuhi para pelajar. Rahsianya? Sedap dan murah! Pelajar-pelajar paling suka nasi ayam yang dijual di kantin ini. Mungkin disebabkan resipi kuah sambal special yang dibuat oleh Pak Su kantin. Membuatkan pelajar-pelajar berebut ke kantin pada setiap kali waktu rehat. Nampak biasa tapi rasanya terbaik!
Kelihatan di satu sudut, Amiruddin serta sahabatnya sedang leka melayan juadah masing-masing. Asyik dengan kelazatan nasi ayam Pak Su. Konsentrasi mereka terganggu apabila loceng pengumuman berbunyi. Suasana yang asalnya riuh rendah menjadi sepi. Semua pelajar memberi perhatian. Menantikan pengumuman yang akan dibuat. Sesaat kemudian kedengaran suara Ustazah Karmila bergema dipembesar suara sekitar sekolah.
" Assalamualaikum w.b.t, minta perhatian kepada saudara Amiruddin Abdullah dan saudari Aina Nasuha, anda diminta datang ke pejabat sekarang. Harap maklum."
Semua memandang Amir. Masing-masing tertanya mengapa Amir dipanggil ke pejabat. Namun lelaki itu kelihatan tenang menghabiskan sisa-sisa makanan yang masih berbaki di pinggannya.
"Amir? Kau dengar tak pengumuman tadi?" Soal Kamarul.
"Dengar.." Jawab Amir selamba.
"Kau tahu tak sebab apa kau kena panggil?" Soalnya lagi.
"Tak tahu." Jawab Amir ringkas. Dia sendiri sebenarnya tertanya-tanya mengapa dirinya dipanggil. Adakah ustazah terasa hati dengan percakapannya dalam kelas Syariah sebentar tadi? Kalau benar kenapa Aina turut dipanggil? 'Hem,mesti hal lain ni', gumam hati Amir agak sedikit risau. Bimbang sekiranya dia terlibat dengan mana-mana kes tatatertib sekolah. Tambahan pula sekarang musim bermacam kes kesalahan yang dilakukan oleh pelajar. Pelajar-pelajar yang terlibat kerap kali dipanggil ke pejabat melalui pengumuman seperti tadi. Amir meghabiskan suapan terakhirnya. Lalu dia bingkas bangun ingin ke pejabat.
"Amir, kau nak aku temankan ke?" Soal Haikal.
" Tak perlulah Haikal, aku pergi selesai sendiri. Waktu rehat pun dah nak habis ni. Nanti kalau aku terlewat tolong maklumkan pada Cikgu Mashitah," Pesan Amiruddin. Kemudian dia terus berlalu pergi.
Amir melalui lorong yang menghubungkan bangunan kantin dengan bangunan pentadbiran sekolah. Laluan itu agak sesak, kerana hanya itu sahaja laluan yang paling dekat untuk ke pejabat. Sesekali Amir disapa oleh junior dengan ucapan Salam. Amir balas kembali dengan senyuman serta salam. Cuma pabila bertembung dengan pelajar puteri Amir akan melarikan pandangannya. Walaupun kadang-kadang Amir perasan yang mereka sedang tersenyum padanya. Malah, kadang-kadang ada yang keterlaluan menegur Amir dengan panggilan 'Abang Amir', 'Hai Amir'dan macam-macam lagi. Selalunya Amir hanya tersenyum tanpa memandang. Tidak mahu dilayan. Dan juga tidak mahu dikatakan sombong. Hanya menjawab pada yang perlu.
Amir menaiki tangga terdekat untuk ke pejabat. Sampai di depan pintu pejabat, Amir terserempak dengan Aina. Pandangan mata mereka bertembung. Aina menunduk malu. Amir turut melarikan pandangan dan mempercepatkan lagkahnya mendahului Aina masuk ke pejabat. Di dalam pejabat, Ustazah Karmila menanti di sofa.
"Haa...Amir..Aina...mari sini. Sila duduk." Panggil Ustazah Karmila ramah.
"Terima kasih ustazah, ada apa ya panggil saya. Saya ada buat salah ke ustazah?" Tanya Amir jujur.
"Haha, Astaghfirullah...kamu ni Amiruddin...gelabah tak tentu fasal," ulah Ustazah Karmila lucu dengan gelagat Amir.
"Mana la orang baik macam kamu ni nak buat masalah. Kamu la anak murid kesayangan cikgu-cikgu." Puji Ustazah muda itu jujur. Tersipu Amir dengan pujian melangit itu. Dia segan dipuji sebegitu. Tambahan pula dihadapan Aina.
"Begini Amir, Aina...dalam bulan Julai nanti akan diadakan Ihtifal Peringkat Negeri. Sekolah kita akan hantar beberapa penyertaan antaranya adalah Hafazan. Jadi cikgu-cikgu semua dah berbincang untuk memilih peserta hafazan kita. Untuk puteri tak ada masalah sebab Aina yang akan jadi peserta. Aina sebelum ni pun sudah memenangi beberapa pertandingan hafazan. Tapi untuk lelaki yang susah hendak dipilih. Setelah berbincang, kamu lah pilihan yang terbaik." Jelas Ustazah Karmila panjang lebar. Terkejut Amir dengan pernyataan itu.
"Eh..tapi kenapa saya ustazah? Kita kan ada peserta tetap hafazan sekolah kita,Abang Shahril. Kenapa tak bagi Abang Shahril saja masuk?" Kata Amir tidak setuju. Dia lebih menyarankan ketua badar sekolahnya yang sememangnya selalu menyertai pertandingan hafazan walaupun tidak sehebat Aina Nasuha. Lagipun suara abang Shahril memang sedap. Bacaannya seperti Syeikh Saad Al-Ghamidi, imam terkenal dari Mekah.
"Iya..Ustazah tahu. Tapi ramai cikgu mahu kamu cuba Amir. Tak kan kamu nak hampakan harapan mereka?" Soal Ustazah Karmila penuh harapan. Dia tidak mahu hampakan harapan hamba Allah yang meminta padanya.
"Abang Shahril dah tahu ke ustazah?" Amir mengutarakan soalan yang paling membimbangkan hatinya. Dia risau Abang Shahril fikir dia hendak mengambil alih tempatnya.
"Haha..itu kamu jangan risau..awalnya dia sedih sebab tak dipilih, tapi bila dapat tahu kamu yang dipilih, terus dia bersetuju." Jelas Ustazah Karmila.
"Betul ustazah?" Soal Amir gembira. Dia inginkan kepastian.
"Ish kamu ni Amir...takkan ustazah nak tipu kamu? Sudah,sudah. Sekarang ni ustazah mahu kamu dan Aina mula menghafaz surah Al-Baqarah. Kamu ada masa lebih kurang lima bulan lagi. Sempat kan?"
"InsyaAllah!!"
Jawab Amir dan Aina serentak. Mereka kemudian saling memandang, tapi hanya sekejap. Perasaan malu membataskan segala-galanya. Walaupun sekejap tetapi Ustazah Karmila seperti dapat menangkap sesuatu dari pandangan dan riak wajah Aina. Pengalaman hidupnya membuatkan dia boleh membaca perasaan gadis itu. Senyuman lebar terukir di bibir Ustazah muda itu.
"Aaa.. ustazah..kalau tak ada apa-apa lagi saya nak minta diri dulu. Saya ada kelas lagi sekarang ini."
"Ah..aa..ok..terima kasih Amir, Aina." Ustazah Karmila melepaskan mereka berdua dengan senyuman manisnya. Mungkin sedikit lega kerana sebahagian dari tugasnya sudah selesai.
Amiruddin terus keluar dari pejabat dan melangkah pantas ingin kembali ke kelas. Aina membuntutinya dari belakang. Walaupun sekelas, tapi mereka jarang bercakap. Mungkin hanya sekali dua. Itupun dalam perbincangan berkumpulan. Amir beristighfar perlahan apabila perasan dia sedang berfikir tentang Aina. Hatinya dikembalikan pada Allah. Sambil melangkah, dia menanam azam untuk memulakan hafazannya hari ini juga. Dia akan penuhi harapan guru-guru yang dia sayangi. InsyaAllah!!

Tiada ulasan:

 


Nohara al-Ramadani ©2016. Minima Template customized by Scyalicious