Novel-Bab 8

• Masa : 2:43:00 PG • Ulasan : 0 • Label :
BAB 8
 Dewan Luqman Al-Hakim kelihatan sibuk. Seperti biasa, setiap pagi ahad, perhimpunan mingguan akan diadakan di dewan ini. Tidak seperti hari-hari lain,para pelajar tidak perlu berhimpun di asrama tapi terus saja ke dewan utama sekolah ini. Pada perhimpunan mingguan inilah maklumat-maklumat penting akan disampaikan oleh para guru dan pihak pentadbiran sekolah. Bagi pelajar, perhimpunan pagi tidak lain tidak bukan hanyalah sebagai satu tiket untuk tidak masuk ke kelas awal pagi. Hanya  segelintir yang mungkin menganggap perhimpunan ini penting.
Seperti biasa, Amiruddin menjadi orang terawal datang ke dewan. Sebelum ini dia sering datang sebagai pengawas bertugas. Namun tahun ini dia menjadi pelajar biasa. Tahun rehat. Kerana itu dia perlu beratur bersama-sama pelajar lain. Dari jauh, Amir memerhatikan Mustakim di atas pentas. Dia bersama-sama pengawas junior sedang bersiap-siap untuk perhimpunan pagi itu.
Seperti biasa, menyusun kerusi, memastikan kebersihan dewan, persiapan mikrofon, menyediakan lagu Negaraku, lagu sekolah, dan beberapa tugas lain lagi merupakan rutin mingguan pengawas. Cuma apa yang membezakan hari ini dengan hari-hari yang lain ialah 'keghaiban' pengawas-pengawas senior. Hanya kelihatan Abang Mustakim dan adik-adik pengawas sahaja. 'Betullah kata Abang Mustakim, mereka 'pijak kepala' ketua sendiri.' Gumam Amir simpati. Dia hanya mampu menembakkan doa dari jauh. Mohon agar lelaki itu diberikan kesabaran dan ketabahan hati.
Pada perhimpunan minggu ini, diumumkan keputusan pertandingan bersempena minggu Sambutan Hari Antidadah Kebangsaan. Semua pelajar kelihatan teruja dan berdebar ketika keputusan hendak diumumkan. Hanya kelas 4 Amanah saja yang kelihatan tidak gembira, kerana mereka tahu, penyertaan mereka hanya untuk memenuhi syarat sahaja. Dibuat ala kadar. Cuma mereka berharap agar mereka tidak diumumkan sebagai kelas tercorot. Itu saja! Tidak menang tidak mengapa.
Namun, ternyata segala-galanya terserah kepada kekuasaan Allah. Manusia merancang, Allah juga merancang, tetapi perancangan Allah tetap yang terbaik. Tanpa diduga, kelas 4 Amanah memenangi hampir keseluruhan pertandingan yang dipertandingkan. Mereka mendapat tempat pertama dalam pertandingan menulis cerpen, menulis puisi dan juga poster. Kemudian,mendapat tempat kedua dalam pertandingan artikel kesihatan dan akhirnya tempat ketiga dalam pertandingan sudut kelas. Ketika keputusan diumumkan, mereka semua terpinga-pinga tidak percaya. Amir tidak henti-henti mengucapkan hamdalah di dalam hati. Syukur tak terkata. Hari itu, nama kelas 4 Amanah melonjak tinggi di hadapan para guru dan sudah semestinya yang paling gembira....
*************
"Saya tak sangka kamu semua hebat macam ni! Kamu betul-betul buat saya bangga!" Kata Cikgu Saliha, guru kelas 4 Amanah yang mengajar subjek Bahasa Melayu. Dia sangat gembira dengan kejayaan anak-anak muridnya. Ketika di bilik guru tadi, dia tidak habis-habis dipuji oleh guru-guru lain. Mereka menyangkakan guru itu yang bertungkus-lumus untuk pertandingan itu, sedangkan anak-anak muridnya yang bergerak sendirian.
"Tahniah pada Firdaus. Mesti kamu dah usaha betul-betul dengan anak-anak buah kamu," puji Cikgu Saliha pada ketua kelas 4 Amanah itu.
Semua pelajar tersenyum mendengar pujian itu. Firdaus hanya menunduk. Dia malu! Dia sedar dia langsung tidak berjasa untuk pertandingan itu. Semua pujian itu harus diucapkan pada Amir. Dia yang menjadi 'master mind' untuk semua itu. Namun, Amir masih tetap dengan sikap merendah dirinya. Dia malah siap turut memuji Firdaus lagi. Terbit rasa kagum dalam hati Firdaus dengan Amiruddin. Lelaki itu langsung tidak memikirkan tentang penghargaan atas dirinya. Apa yang difikirkannya hanyalah kesenangan orang lain. Sampai waktu rehat, Firdaus masih kaku dimejanya. Dia rasa malu untuk bergerak ke mana-mana. Tiba-tiba seseorang menghampiri Firdaus dari belakang.
"Daus, terima kasih!"
Terkejut Firdaus. Dia berpaling melihat empunya suara.
"Oh, Asma. Terima kasih untuk apa?" Soal Firdaus tidak mengerti. Kalau kerana pertandingan itu, bukan dia yang harus menerima ucapan itu, tetapi Amir.
"Pasal jamuan dan kek malam itu." Ucap Asma malu-malu. Dia tidak biasa sangat berbual dengan lelaki. Dipandangnya kiri dan kanan. Bimbang kawan-kawan melihat dia dan Firdaus. Tapi dia lega kerana mereka yang lain sibuk dengan urusan masing-masing.
"Oh...tentang jamuan tu, kau kena berterima kasih pada Amir. Aku pun perlu berterima kasih pada Amir," kata Firdaus jujur. Matanya tak lepas memandang Amir yang sedang membaca sesuatu di tempat duduknya. Mengulang hafalan Quran mungkin. Asma turut melihat Amir.
"Maksud kau..."
"Bukan aku...."
************
"Bukan aku tak pesan Mir! Aku dah bagitahu semua sebelum aku balik kampung. Aku ingat Asma tu boleh diharap, rupanya sama saja macam yang lain. Tak boleh dipakai!" Amuk Firdaus. Dia meluahkan perasaan tidak puas hatinya pada Amir. Bagus juga Amir datang padanya selepas solat asar dan bacaan Mathurat tadi. Ada juga tempat dia meluah perasaan. Hatinya masih panas dengan kejadian prep petang tadi.
"Bersangka baiklah Daus. Mana tahu Asma ada masalahnya yang tersendiri sampai dia terlupa dengan pesanan kau tu," kata Amir cuba memujuk. Api jangan dilawan dengan api. Api perlu disiram dengan air. Baru padam. Begitulah juga dengan orang yang sedang marah, jangan dilawan balik dengan marah. Lagi teruk jadinya nanti.
"Masalah apa Amir?" Soal Firdaus masih tidak puas hati.
"Sebab tak tahu la kita kena bersangka baik. Kalau semua kita tahu tak perlu nak sangka apa-apa lagi. Kalau salah dia salah, kalau betul, betullah. Tapi kita bukan tuhan daus, semua kita boleh tahu. Sebab tu pentingnya kita bersangka baik. Baru dapat elak pergaduhan dan permusuhan."
Firdaus terdiam. Dia tidak menafikan atau mengiyakan. Wajahnya menunjukkan dia masih sukar menerima.
"Tak apalah, anggaplah seandainya Asma yang salah, perlukah kau layan dia sampai macam tadi Daus? Sampai menangis dia."
"Alah..manja sangat tu Mir. Marah sikit menangis! Tengking sikit menangis!" Dalih Firdaus cuba mempertahankan dirinya. Tergeleng Amir.
"Hem, ok! Bayangkan Asma tu adik atau kakak kau. Kau sanggup orang buat macam tu pada dia walaupun dia salah?" Soal Amir bijak. Dia cuba membuka minda sahabatnya itu.
"Mestilah tak sanggup." Jawab Firdaus. Suaranya mula mengendur.
"Hah! Habis tu kau buat dekat adik atau kakak orang lain boleh pula?"
Tersentap Firdaus. Dia terpukul dengan kata-kata Amir. Wajahnya mula menunjukkan reaksi orang yang bersalah dan menyesal. Dia diam membisu. Tak mampu berhujah untuk mempertahankan diri lagi. Amir tersenyum.
"Kau tahu Daus..sifat ego ni memang lumrah bagi lelaki. Tapi kalau dibaja sifat itu dengan nafsu, kita boleh jadi manusia yang paling teruk dalam dunia. Tapi sebaliknya, kalau kita pandu sifat itu dengan keimanan, tak mustahil kita akan jadi raja yang menguasai dunia." Firdaus terdiam. Dia hanya mendengar apa yang dikatakan Amiruddin. Dia mula menyesal. Melihat keadaan sahabatnya itu, Amir menyambung.
"Sebab itu Daus, nak jadi pemimpin bukan mudah. Kita tak boleh sesuka hati nak marah anak buah kita. Nak tengking mereka. Nak injak-injak maruah mereka. Kalau kita buat begitu, kita sebenarnya menginjak maruah kita sendiri. Kita telah menunjukkan pada orang ramai, yang kita ini seorang ketua yang mudah marah, panas baran, tidak pandai kawal emosi, tak tahu bersabar, mudah goyah dengan masalah kecil. Tapi, cuba fikir bila kita hadapi semua masalah itu dengan kelembutan dan kesabaran, apa yang jadi? Orang akan nampak kredibiliti kita sebagai ketua, kesabaran kita, kecekapan kita mengendali masalah dan lain-lain lagi. Kesannya orang akan sayang kita,orang akan hormat kita dan yang paling penting Allah akan berikan jalan penyelesaian dan kejayaan kepada kita."
Nasihat panjang Amir itu membuatkan Firdaus mengalirkan air mata menyesal. Dia mula sedar yang dia terlalu mengikut nafsu. Amir mengusap-ngusap belakang Firdaus. Simpati.
"Apa aku nak buat sekarang Amir? Mesti mereka semua dah marah kat aku, lagi-lagi Asma."
"Daus..perempuan ni ibarat tulang rusuk kau yang bengkok tu. Kalau kau melenturnya dengan kasar, dia akan patah dan hancur, tapi kalau kau luruskannya dengan kelembutan, insyaAllah dia akan lembut dan senang mendengar kata. Kau kena ambil hati dia balik Daus."
"Macam mana?"
**********
"Sebab tu la malam tu, aku buat jamuan tu. Semua ni idea Amir. Buat jamuan, mohon maaf, dan kek harijadi tu semua rancangan Amir. Malah, dia yang keluarkan belanja untuk semua tu. Nak sedekah katanya. Aku ikut sajalah." Cerita Firdaus jujur pada Asma.
"Hem...tak sangka..."
"Tak sangka apa?" Firdaus memotong kata-kata Asma yang antara dengar tidak dengar itu. Seperti berbisik.
"Ah...tak ada apa-apa. Terima kasih Firdaus. Aku minta diri dulu," Asma berdalih dan terus berlalu pergi. Dalam hati dia menyambung.
‘Tak sangka ada lelaki seperti kau Amir!'
Hatinya berbunga. Satu perasaan semakin mekar dalam hatinya. Semekar bunga yang disirami hujan.

Tiada ulasan:

 


Nohara al-Ramadani ©2016. Minima Template customized by Scyalicious