Novel-Bab 7

• Masa : 5:45:00 PTG • Ulasan : 0 • Label :
BAB 7
 Malam hujung minggu, tidak ada yang lebih menyeronokkan di asrama selain daripada menonton televisyen. Tambahan pula pada malam jumaat, TV3 akan menayangkan rancangan Mega Movie yang selalunya menghidangkan cerita-cerita aksi yang sangat disukai para pelajar terutamanya pelajar putera. Malam itu, cerita Ironman 3 terpampang di kaca televisyen. Apa lagi? Berebut-berebutlah pelajar putera memenuhi bilik tv yang luasnya tak jauh beza dari luas sebuah dorm. Mana mungkin mahu menampung pelajar putera yang mencecah hampir 300 orang lebih! Akibatnya hanya yang 'berkuasa' akan dapat duduk, manakala yang tidak 'berkuasa' seperti junior-junior akan berdiri ataupun curi-curi melihat dari celah tingkap bilik Tv.
Saat ini, Hafizan yang merupakan antara pelajar tingkatan 4 yang ditakuti adik-adik sedang 'menguasai' tempat duduk hadapan. Baru beberapa minit cerita bermula, Hazami masuk dari pintu dan terus menghala ke arah Hafizan. Dia membuat isyarat supaya Hafizan beransur dari kerusi itu. Dia mahu duduk di situ. Hafizan menghadiahkan jelingan tajam pada 'musuhnya' itu. Walaupun mereka setingkatan,namun mereka berbeza kumpulan.

"Heh! Siapa yang sampai dulu, dialah yang duduk..siapa yang lambat..." Hafizan menghabiskan ayatnya dengan jelingan mata. Mengunjuk pada adik-adik yang sedang berdiri di luar. Hazami faham maksudnya. Dia diam seakan berfikir sebentar. Kemudian dia berlalu keluar dari bilik TV. Hafizan hanya memerhatikan sahaja tingkah laku lelaki itu. Setelah kelibatnya hilang, dia kembali menumpukan perhatian pada cerita yang ditayangkan. Bibirnya terjuih-juih. Mungkin melepaskan ketidakpuasan hatinya pada Hazami.
Beberapa minit kemudian, suasana di luar bilik TV menjadi riuh. Mereka yang berada di luar kelihatan meninggalkan bilik TV. Sesaat kemudian, bilik TV itu menjadi sunyi. Hanya kedengaran suara dari televisyen yang tidak memahami situasi yang bakal berlaku. Hafizan menoleh ke arah pintu bilik TV. Serta-merta kecut perutnya. Dia menelan liur. ‘Ah! Sudah!! Najmi!!' Jerit batinnya menyesal.
"Woii!! Siapa yang kurang hajar tadi??" Jerkah Najmi membuatkan semua orang dalam bilik itu kecut perut. Suaranya yang garau dan kuat itu, sudah mampu membuatkan adik-adik tingkatan 1 terkencing kerana terkejut. Hazami dibelakang Najmi hanya tersengih suka.
Hafizan kaku di tempat duduknya. Kerana terlalu takut dia tidak mampu bergerak. Gila!! Mana ada orang berani melawan Najmi! Boleh mampus dibelasahnya nanti! Najmi menghampiri Hafizan. Serentak Najmi melepasi pintu masuk bilik tv itu, pelajar-pelajar lain bertempiaran lari keluar. Najmi mencekak baju Hafizan.
"Heh sial!! Kau cakap apa tadi kat aku?"
"Tak ada! Tak cakap apa-apa!! Sumpah!"
"Tipu! Tadi dia cakap dia tak takut kat kau Najmi!! Dia cakap, setakat kau dia jentik ja!" Fitnah Hazami cuba mengapi-apikan Najmi.
"Oh!! Jentik aa?? Sini kau!!"
Tumbukan padu dilepaskan ke muka Hafizan. Terhumban dia ke lantai. Darah meleleh dari hidungnya. Najmi belum berpuas hati. Tumbukan kedua dilepaskan ke dada Hafizan. Kemudian sepakan bertalu-talu ke badan lelaki malang itu. Najmi belum puas, dia mencekak leher baju Hafizan. Penumbuk dikepal dan dilepaskan. Belum sempat penumbuk itu mengenai wajah Hafizan, satu tangan menangkap kemas penumbuk Najmi. Tersentak Najmi. Dia menoleh melihat empunya tangan.
"Huh!! Mus??"
Mustakim menolak Najmi ke belakang. Terundur lelaki itu. Matanya tajam menjeling Mustakim. Mustakim membalas pandangan itu dengan wajah yang tenang. Sesaat kemudian, Najmi berlalu pergi meninggalkan Bilik TV. Hazami mengekorinya dari belakang.
Mustakim mengangkat Hafizan. Beristighfar panjang dia apabila melihat keadaan Hafizan. Mulutnya pecah, darah keluar dari hidung, pipi lebam! Dia melihat sekeliling. Tunggang terbalik bilik TV itu dikerjakan para pelajar. Mujur ada yang pergi mengadu pada Mustakim di surau tadi. Kalau tak, entah apa yang akan terjadi! 'Najmi, Najmi...bila la engkau nak berubah!' Gumam Mustakim. Dia rasa dia perlu melakukan sesuatu, kalau tidak semua ini akan lebih teruk!
**************
"Aku tak setuju!!"
Bentak Irzan. Suasana dalam bilik gerakan pengawas itu rasa berbahang. Panas dan tegang dengan situasi sekarang.
"Kalau macam tu, kau ada cadangan lain?" Soal Mustakim pada ketua asrama putera itu. Dia cuba bersabar sebaik mungkin. Sebagai ketua dia tidak boleh bertindak melulu.
"Aku setuju dengan Irzan Mus. Kau takkan tak kenal Najmi? Dia boleh buat macam-macam. Sedangkan dengan cikgu disiplin pun dia buat hal. Apatah lagi dengan kita!" Kata Shahril menyokong Irzan. Mereka tidak mahu mengambil sebarang tindakan ke atas Najmi.
Mereka masih ingat bagaimana dulu, Najmi hampir-hampir membelasah guru disiplin. Badannya yang besar dan sasa tidak membuatkan dia takut pada sesiapa. Tidak cukup dengan itu, habis kereta guru disiplin itu 'dilenyaikannya'. Semenjak itu, tidak ada lagi mana-mana guru yang ingin masuk campur segala masalah yang melibatkan Najmi. Mereka tidak mahu ambil risiko!
Mustakim memandang pengawas-pengawas tingkatan 5 yang lain. Mereka semua diam tidak berkata apa-apa. Mustakim sengaja tidak mahu memanggil adik-adik pengawas yang lain. Dia tahu mereka tidak berani berbuat apa-apa. Sedangkan mereka yang setingkatan dengan dirinya pun tidak berani, apatah lagi mereka? Namun Mustakim tidak mahu mengalah. Dia rasa mereka perlu melakukan sesuatu.
"Tapi kita tetap perlu ambil tindakan ke atas Najmi! Kalau tidak, nanti lagi banyak masalah yang akan dia buat!" Kata Mustakim sedikit tegas. Berharap agar-agar rakan-rakannya memahami. Namun, mereka semua diam membisu seribu bahasa.
Akhirnya Mustakim terpaksa menggunakan cara terakhir.
"Beginilah, sekarang siapa yang masih menganggap aku sebagai ketua dan akan mengikut kataku, boleh tunggu di sini. Yang selebihnya kamu bolehlah pulang ke kamar." Mustakim terpaksa ambil risiko begitu. Dia ingin menduga siapa yang benar-benar ikhlas untuk terus bertahan.
Tiada siapa yang bergerak. Semua saling memandang. Melihat semua orang menjadi patung, seseorang akhirnya bangun.
"Maafkan aku Mus....aku tak sanggup lagi nak hadapi semua ni...cukuplah semua yang aku pernah lalui sepanjang berkhidmat sebagai pengawas ni...aku rasa dah sampai masa kita 'rehat'. Aku nak tumpukan perhatian pada pelajaran aku. Aku minta diri dulu." Kata Shahril lancar. Semua orang terkejut. Mereka tidak sangka 'orang kuat' pengawas sendiri yang menarik diri terlebih dahulu. Seusai mengatakan hasratnya, Shahril berlalu pergi. Meninggalkan mereka semua. Beberapa saat kemudian seorang demi seorang keluar sampai akhirnya hanya tinggal Mustakim dan ketua lujnah disiplin, Hanafi.
Lelaki yang sedikit gempal itu bangun menghampiri Mustakim. Tangannya memegang bahu Mustakim.
"Maaf Mus...aku tak nak tinggalkan kau seorang macam ni...tapi semua orang dah tak ada....kalau hanya aku dan kau, kita takkan mampu buat apa-apa. Izinkan aku 'rehat' Mus..Assalamualaikum.."
Harapan terakhir itu turut berlalu pergi. Mustakim terkedu. Hatinya merintih mengenangkan nasib diri. 'Apa salah aku? Tidak layakkah aku jadi seorang ketua? Kenapa orang tak mahu ikut arahan aku? Aku bukannya suruh mereka lakukan mungkar, tapi aku mengajak ke arah ma'ruf dan nahi mungkar! Salahkah??'
Sepi. Tidak ada jawapan positif yang terbit di mindanya saat ini. Mustakim tidak mampu membendung air matanya lagi. Air mata lelaki itu akhirnya mengalir membasahi pipi. Pasrah dengan takdir!
***************
Kakinya melangkah lesu meninggalkan kawasan asrama. Melangkah tanpa tujuan. Dia mencari sesuatu yang boleh menghiburkan hatinya saat ini. Langkahnya terhenti pabila dia sampai di surau An-Najah. Dia melihat ada sepasang kasut di luar surau. Milik siapa? Dia tidak pasti. Tapi hatinya ingin tahu, siapa yang masih menghabiskan masanya di surau di saat pelajar lain berehat-rehat di asrama. Dia masuk ke dalam surau. Gelap! Tidak ada lampu yang terpasang. Cuma kedengaran  bunyi kipas dinding di arah satu sudut hujung surau. Sudut yang sukar dilihat orang. Sayup-sayup kedengaran kalamullah dialun lunak dan merdu, namun perlahan sekali. Seakan tidak mahu didengari manusia lain. Lelaki itu dapat mengagak siapa hamba Allah itu melalui bacaan merdunya. Dia menghampiri dan duduk di belakang lelaki itu. Menantikan hamba itu selesai 'mengadu' pada Tuhannya.
**************
"Abang Mus!!"
Tersentak lelaki itu. Dia kembali ke alam nyatanya. Matanya menatap wajah lelaki dihadapannya.
"Amir..."
"Haha....termenung apa la Abang Mus ni...teringat makwe ke?" Kata Amir cuba bergurau. Namun gurauan itu tidak disambut Mustakim. Lelaki itu tampak tidak berminat. Amir dapat mengagak apa yang lelaki itu hadapi. Dia mengubah mode perbualannya menjadi serius tapi santai.
"Bila Abang Mus sampai? Buat apa tunggu di sini?" Soal Amir ingin tahu apa yang berlaku.
"Amir...abang dah penat dengan tanggungjawab ni...dah tak mampu rasanya nak berjuang seorang diri." Mustakim meluahkan apa yang terbuku di hati. Matanya bergenang. Sedaya upaya ditahan agar air matanya tidak menitis dihadapan orang yang dihormatinya itu.
Amir diam. Lama dia merenung lelaki dihadapannya itu. Cuba menyelami apa yang dihadapinya.
"Abang Mus...Allah takkan uji seseorang itu dengan satu bebanan sekiranya dia tidak mampu. Kalau sekarang abang rasa abang sedang diuji itu tandanya abang mampu hadapinya. Cuma satu saja kuncinya, iaitu abang kena sabar." Nasihat Amir lembut. Dia kasihan pada ketua pengawas sekolahnya itu. Tanggungjawab yang dipegangnya bukan sesuatu yang mudah.
"Tahu...tapi abang tak kuat Amir...abang tak mampu nak hadapi semua ini seorang diri." Adu Mustakim lagi.
"Kalau begitu, berjuanglah secara berjemaah. Perkara yang tidak mampu dilakukan berseorangan pun akan mampu dilakukan sekiranya kita ramai." Saran Amir.
"Bukan tidak mahu Amir. Tapi mereka yang melarikan diri...."
Mustakim menceritakan semuanya yang terjadi pada Amir. Dia tidak mampu menanggungnya seorang diri. Dia perlu sokongan semangat saat ini. Berkerut dahi Amir mendengar apa yang terjadi. Dia tidak sangka ahli lembaga pengawas sendiri sanggup memperlakukan ketua mereka begitu. Amir simpati pada Mustakim.
"Benarlah....jalan yang benar itu sememangnya pahit. Redha sajalah abang. Kalau dah itu pilihan mereka, kita tak mampu menghalang, cuma boleh nasihat. Selepas itu, semuanya bergantung pada mereka sendiri untuk memilih. Cuma saya harap abang jangan terlalu makan hati dengan mereka. Banyakkan sabar."
"Ah! Abang dah benci dengan mereka semua! Bila mereka perlukan abang, abang tolong..tapi bila abang perlukan mereka, ditinggalkan abang terkial-kial sendirian. Kalau ikutkan hati, abang boleh ja gunakan kuasa abang untuk susahkan mereka balik. Lapor pada ustaz, dan biar mereka dikenakan tindakan. Kalau mereka kurang ajar sangat, boleh saja abang buat ustaz pecat mereka dan buang mereka dari asrama. Biar padan muka!" Luah Mustakim geram. Amir tidak senang melihat Mustakim sebegitu.
"Hem..kalau macam tu sama sajalah abang dengan mereka." Amir cuba bermain kata.
"Kenapa pula?"
"Yalah, mereka berlepas diri dari melaksanakan tanggungjawab mereka, itu satu dosa. Abang pula gunakan kuasa abang untuk susahkan mereka dan membalas dendam dengan cara yang tidak sepatutnya itu pun satu dosa.Apa beza abang dengan mereka?"
Tersentap hati Mustakim. Terkedu dia dengan teguran itu. Dia tidak sangka amarah yang menguasai diri membuatkan dia tidak dapat berfikir dengan waras. Terus dia beristighfar dan menangis dihadapan Amir. Sayu hati Amir melihat Mustakim sebegitu. Pasti banyak perkara yang dia pendam dan hadapi sendirian.
"Mir...abang bukan nak berdendam. Tapi mereka banyak buat perkara yang abang tak suka. Mereka seolah-olah menguji kesabaran abang. Semakin hari, semakin dipijak kepala abang. Sampai bila abang nak bertahan? Sabar manusia ada batasan Mir." Luah Mustakim berselang-seli dengan tangis yang menyesakkan jiwa. Amir berselawat di dalam hati. Dia turut terasa beban yang ditanggung lelaki itu.
"Abang....."
"Em...."
"Abang suka tak dilahirkan dalam ni'mat Islam?" Satu soalan cepumas terbit dari bibir Amiruddin. Mustakim sedikit hairan dengan soalan itu. Namun diabaikan kenapa ditanya begitu, dia menjawab.
"Sudah tentu lah Mir....siapa yang tidak suka dilahirkan dalam lingkungan agama fitrah ini."
"Bagi abang, siapa yang paling berjasa dalam menyebarkan agama Islam ini?" Satu lagi soalan diutarakan.
"Sudah tentulah Rasulullah S.A.W."
Amir tersenyum lebar mendengar jawapan itu.
"Benar. Tapi bayangkanlah kalau Rasulullah itu seorang yang tidak sabar abang...."
Sekali lagi Mustakim terkedu. Tangisannya kembali kedengaran mendengar kata-kata yang merupakan teguran 'halus' untuknya itu. Dia menantikan Amiruddin menyambung kata-kata itu.
"....nescaya Islam terkubur di bumi Mekah dan kita tidak merasai nikmatnya."

Tiada ulasan:

 


Nohara al-Ramadani ©2016. Minima Template customized by Scyalicious