Novel-Bab 5

• Masa : 4:06:00 PTG • Ulasan : 0 • Label :
BAB 5
 Para pelajar berpusu-pusu bergerak ke kelas prep petang. Walaupun prep bermula pada jam 3.30, namun jarang sekali yang ingin datang awal ke kelas. Mereka lebih suka bermalas-malas di katil selepas solat Zohor dan makan tengahari. Maklumlah, waktu selepas zohor memang waktu kemuncak untuk tidur.Enak mendakap bantal! Namun kerana peraturan asrama mereka perlu ke kelas prep. Bila siren dibunyikan barulah terkejar-kejar mencari baju prep kuning, mencari stokin, kasut dan sebagainya. Waktu inilah buku laporan pengawas akan penuh dengan nama-nama pelajar yang lambat. Kalau dikumpulkan, boleh dijilid menjadi kitab!
Namun berbeza bagi Amiruddin, setiap kali prep petang, dia melazimkan dirinya pergi 15 minit awal ke kelas. Dia tidak suka bersesak-sesak dan pergi ke kelas dalam keadaan tergesa-gesa. Masa yang ada dia gunakan sebaik mungkin. Selalunya 15 minit awal itu akan Amiruddin gunakan untuk dia mengulangkaji semula hafazan Al-Qurannya. Masuk ke bulan ketiga persekolahan ini, Amir sudah berjaya menghafaz satu juzuk surah Al-Baqarah. Boleh dikatakan cepat juga hafazannya. Amir teringat Aina. 'Hem,dah habis agaknya Aina hafaz', gumamnya dalam hati. Agak mengagumi kecekalan hati Aina untuk menghafaz Al-Quran. Bukan calang-calang orang boleh menghafaz kalamullah yang suci ini.

Hampir jam 3.50 petang barulah semua pelajar berada di kelas. Amir menutup Al-Qurannya. Dicium lalu diletak di hujung bucu meja. Buku latihan Additional Mathematics dibuka. Dia ingin membuat latih tubi. Waktu petang begini tidak sesuai mengulangkaji subjek yang perlu dibaca kerana akan mudah mengantuk. Latih tubi lebih sesuai. Amir perasan ada kelibat yang baru masuk dari pintu hadapan. Dia tidak mengendahkan. Kalau terlalu peka dengan keadaan sekeliling, nanti tidak jadi kerja pula.
"Assalamualaikum, minta maaf ganggu. Ada perkara sedikit saya nak bincang dengan kamu semua."
Semua orang terkejut mendengar suara itu. Masing-masing memberi perhatian pada rakan sekelas di depan.
"Laa...Firdaus!! Dah sihat? Rindu la kat kau." Kata  Rahim menyambut kepulangan Ketua Kelas 4 Amanah kembali ke sekolah. Kelas menjadi riuh dengan bisik-bisik pelajar. Mungkin gembira melihat sahabat sekelas yang cuti sakit hampir seminggu kembali sihat semula.
" Aa...minta maaf la sebab cuti lama...hem..nak tanya ni, bagaimana dengan projek antidadah kelas kita? Dah siap?"
Semua orang terpinga-pinga dengan pertanyaan Firdaus. Projek antidadah? Apa tu? Tak tahu apa-apa pun. Wajah Firdaus berubah merah padam apabila mendengar jawapan rakan-rakan sekelas yang tidak tahu-menahu langsung.
"Eh kamu semua jangan main-main! Esok dah kena hantar!!" Firdaus mula naik darah. Semua orang tercengang. Diam membisu seribu bahasa. Suasana kelas menjadi tegang! Hanya bunyi kipas yang kedengaran.
"Haa...mana Asma??"
Semua orang berkalih melihat Asma di bahagian belakang. Hanya Amiruddin yang tidak berkalih. Dia hanya menjeling melalui ekor matanya. Itupun sudah cukup dia dapat lihat Asma yang sedang menahan tangisnya. Makin keliru dibuatnya. Projek apa? Kenapa Asma menangis?
"Haa...tak payah nak menangis! Mana notis tu Asma?" Suara Firdaus seakan halilintar membelah langit. Marah benar nampaknya. Amiruddin hanya beristighfar berulang kali di dalam hati.
Dengan terketar-ketar Asma mengeluarkan satu kertas putih dari bawah mejanya. Firdaus menghampiri lalu merentap kertas itu dari tangan Asma. Dibuka, dilihat sepintas lalu, lalu dikeronyok dan dibuang ke lantai. Tersentak Asma dengan tindakan Firdaus itu.
"Kau ni tak boleh diharap langsung!! Ni la perempuan! Tak boleh pakai! Lantak kau lah! Kalau nama kelas kita buruk lepas ni jangan salahkan aku!!"
Firdaus berlalu keluar. Panas hatinya tidak dapat ditahan lagi. Semuanya terukir pada wajahnya. Semasa ingin keluar,masih sempat dia menghempas pintu kelas. Kuat bunyinya. Serentak itu,meletus tangis Asma yang ditahan dari tadi. Beberapa pelajar puteri yang lain turut sama menangis. Situasi yang berlaku sangat tegang. Buat beberapa ketika, tiada siapa yang bergerak, tiada siapa yang bersuara. Hanya  kelihatan Aina bangun dari tempat duduknya pergi memujuk Asma.
Tidak lama kemudian Amir bangun. Dia menuju ke pintu belakang melalui luar, lalu ditutupnya. Kemudian dia kembali ke pintu hadapan kelas dan masuk, kemudian menguncinya dari dalam. Semua orang melihat perlakuan Amir kecuali Asma. Dia masih menangis. Amir membuat isyarat tangan supaya tingkap ditutup. Pelajar yang berada di tepi tingkap mengikut arahan Amiruddin. Amir kemudian ke hadapan dan berdiri di hadapan kelas.
"Sahabat-sahabat sekalian, saya harap kamu dapat bertenang. Dengar dahulu apa yang saya cakap ni." Ucap Amir lembut dan tenang.
"Sesungguhnya kita semua bersaudara, dan perlu ke atas kita untuk saling memahami. Walau apa masalah sekalipun, InsyaAllah akan selesai kalau kita berbincang dengan baik. Saya harap kamu semua dapat maafkan Firdaus. Mungkin dia tidak bermaksud untuk bertindak sedemikian. Tapi ternyata tadi syaitan menguasai hatinya. Kalau kita turut sama bertindak diluar kawalan, pasti syaitan akan lebih gembira. Istighfarlah dan selawat ke atas Nabi S.A.W."
Kata-kata Amir ibarat air jernih yang mengeringkan tekak yang haus. Sudah tentu yang paling merasainya adalah Asma. Mereka semua beristighfar dan berselawat ke atas Nabi. Suasana yang asalnya tadi tegang kembali menjadi tenang.
"Asma, jangan menangis lagi. Kami mohon Asma ceritakan apa yang berlaku sebenarnya." Pinta Amir lembut.
Asma mengelap air matanya. Dia berdehem sedikit membetulkan tekaknya.
"Kawan-kawan saya minta maaf, sebenarnya ni semua salah saya. Sebenarnya sekolah ada menganjurkan pertandingan sempena Hari Antidadah sedunia.  Notis pertandingan diberi pada Firdaus. Tapi..disebabkan Firdaus perlu pulang ke kampung kerana sakit, dia serahkan tugas ini pada saya. Tapi...saya tak sengaja...." Kata-kata Asma terhenti di situ. Dia kembali menangis. Nampak benar kesalnya dia atas kejadian itu. Amir bangun lalu mengambil kertas di lantai yang dibuang Firdaus tadi. Isi kertas itu dibaca. Tertulis beberapa jenis pertandingan yang wajib disertai oleh setiap kelas. Dahi Amir berkerut apabila melihat tarikh tutup pertandingan itu.
"Allahuakbar...esok tarikh tutup?!" Kata Amir separuh berbisik. Semua pelajar lain hanya diam memerhatikan Amir. Menantikan selanjutnya apa yang akan dilakukan oleh pemuda yang sangat dikenali akan ketenangannya dan kesabarannya itu.
"Hem..beginilah...semua yang dah lepas biarkan lepas. Apa yang penting sekarang kita selesaikan tugas ni bersama-sama. Kalau hal sekecil ini pun kita tak mampu selesaikan, apatah lagi soal ummat yang lebih besar dan berat diluar sana? Bukankah kita ini semua bakal para pendakwah yang akan sebarkan Islam pada masyarakat luar? Kalau dilihat keadaan kita,memang susah kita nak selesaikan semua ini. Tapi bukankah Allah kata sesungguhnya Aku tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, melainkan mereka sendiri yang mengubahnya? Bukankah takdir itu di hujung usaha manusia? Boleh kawan-kawan?" Soal Amir.
"InsyaAllah!!"
"Boleh!!"
"Kita buat sama-sama!!"
"Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing!"
Pertanyaan Amir dijawab dengan semangat oleh rakan sekelas. Amir tersenyum. Semua kembali bersemangat.
"Ok, sekarang saya akan bahagikan setiap pertandingan ini kepada setiap seorang ketua. Yang lain nanti akan sama-sama membantu. Kita akan buat semua ni bersama-sama. Yang pertama, Sudut Antidadah Kelas akan diketuai oleh Zahidah. Kemudian, Artikel Kesihatan akan diambil oleh Karmila. Poster akan disettlekan oleh Harith. Puisi akan diserahkan pada Aina. Yang terakhir, cerpen akan saya ambil. Ok tak semua?"
"Okkkkkk!!!" Jawab semua orang semangat. Amir tersenyum. Satu doa terbit dari mulutnya.
"Allahumma la sahlailla ma jaa'ltahu sahla, waan tataj a'lul huz naiza syiktasahla."
‘Ya Allah, tidak ada yang memudahkan melainkan engkau Ya Allah, dan tidak ada yang menyusahkan melainkan Engkau juga Ya Allah.'
************
Prep malam itu menjadi sibuk dengan tugas menyelesaikan hal berkaitan Pertandingan Antidadah. Seusai sahaja solat Isya' tadi, para pelajar kelas 4 Amanah terus bergegas ke kelas. Pabila semua pelajar cukup, mereka menutup pintu dan tingkap kelas seperti prep petang tadi. Mengelakkan dari diperhatikan oleh pelajar lain yang lalu lalang. Agak melucukan apabila terdapat pelajar-pelajar kelas lain cuba mengintai. Macam mereka merancang perkara jahat seperti hendak melakukan rusuhan pun ada! Kelakar!
Semua pelajar membawa segala barang yang dipesan oleh Amir petang tadi. Mereka hanya menggunakan apa yang ada. Dalam kesuntukan masa ini mereka tidak mampu menyediakan barang secukupnya. Mujurlah idea menarik dan bernas sering terbit dari otak Amiruddin. Sekarang Amir ibarat ketua mereka yang berwibawa. Suasana di dalam kelas tak ubah seperti satu angkatan tentera yang sedang membuat persiapan untuk menghadapi peperangan. Dan mereka diketuai oleh seorang jeneral yang sangat hebat kepimpinannya. Amir tersenyum sendiri melihat keadaan rakan-rakan sekelasnya sekarang. Inilah yang dia mahu dalam Islam. Bekerjasama ibarat saudara! Tak putus-putus lafaz hamdalah terbit dari bibir Amiruddin. Mensyukuri ni'mat kemudahan yang Allah berikan saat ini.
"Amir! Amir! Termenung apa ni?" Teguran Asma mengejutkan Amiruddin. Hancur berterbangan lamunannya sebentar tadi.
"Ah, Asma..tak ada apa! Tengah mencari idea untuk cerpen ni." Balas Amir.
"Amir...saya nak ucapkan terima kasih sangat-sangat kat awak sebab dah bantu saya. Saya rasa kalau awak tak ada tadi, mesti dah berpecah-belah kelas ni.." Kata Asma sayu. Matanya berkaca-kaca.
"Tak apalah Asma...ni kan ujian Allah. Ujian tak lain tak bukan nak mengajar kita banyak perkara. Nak ajar bagaimana nak kawal marah. Bagaimana nak selesaikan masalah. Bagaimana nak menjadi sabar dan macam-macam lagi. Cuma bergantung pada kita nak jadikan ujian itu sebagai negatif atau positif. Kalau kita positif, untunglah. Tapi kalau negatif, rugilah." Terang Amir lembut.
Bergetar jiwa Asma mendengar kata-kata Amiruddin. 'Ah! Kenapalah bukan Amir yang jadi ketua kelas? Kalau Amir yang urus, mesti semua kerja jadi mudah!', desis Asma dalam hati. Terbit segunung rasa kagum dari hatinya terhadap lelaki itu.
"Hem, sudahlah. Pergilah bantu kawan-kawan lain siapkan kerja kita." Kata Amir. Dia risau kerana ada seseorang yang sedari tadi sedang memerhatikan dia dan Asma sedang berbual di meja guru. Dia bimbang nanti timbul fitnah dan gosip pula.
"Em..lagi satu Amir...err..macam mana dengan Firdaus? Saya risau la kalau dia masih marah. Lagipun dia tak datang kelas pun malam ni? Dia ke mana?" Terluah kerisauan Asma. Patutlah sedari tadi dia seakan-akan sedang menanti-nanti seseorang! Rupanya menanti kedatangan Firdaus.
Amir tersenyum.
"Jangan risau Asma. Kejap lagi semua settle! Termasuk hal Firdaus." Kata Amir yakin. Asma terdiam. Namun dia yakin pada Amir. Setelah mengucapkan terima kasih, dia kembali menyertai Zahidah untuk menyelesaikan sudut kelas. Semua orang tenggelam dalam kesibukan. Hati mereka bersatu saat ini. Bersatu di bawah nama 4 Amanah. Kelas elit tingkatan 4!
Menjelang jam 10.45 malam semua kerja selesai termasuk cerpen. Namun Amir meminta agar tidak ada sesiapa yang balik dahulu. Alasannya Amir tidak mahu pelajar-pelajar lain nampak apa yang mereka lakukan terutamanya sudut kelas. Tak suprise nanti kata Amir. Tidak ada yang membantah. Sepuluh minit kemudian koridor kelas sudah lengang dari para pelajar. Semua sudah kembali ke asrama. Namun Amir masih menghalang mereka pulang. Rakan sekelasnya mula berasa aneh dengan perlakuan Amir.
Belum sempat keanehan itu terjawab, tiba-tiba lampu terpadam! Gelap! Pelajar-pelajar puteri menjerit. Tapi, jeritan mereka menjadi sunyi apabila mendengar satu nasyid dinyanyikan.
Allah selamatkan kamu....
Allah selamatkan kamu...
Allah selamatkan Asma Hidayah...
Allah selamatkan kamu...
Serentak lagu itu habis dinyanyikan dan tepukan bergemuruh, lampu dinyalakan. Kelihatan di hadapan kelas, terdapat sebiji kek harijadi besar dan seseorang di sisi kek itu. Firdaus!!
Semua orang terdiam. Firdaus menjadi kaku dan gelabah. Mungkin mengingat kembali perlakuannya petang tadi membuatkannya menjadi malu. Dia memandang Amiruddin. Lelaki itu mengangguk dan tersenyum padanya. Serentak itu keyakinannya datang.
"Em..rakan-rakan sekalian..tujuan saya di hadapan ini tak lain tak bukan kerana mahu memohon sejuta kemaafan dari kamu semua terutamanya Asma Hidayah Ahmad Bukhari." Semua orang memandang Asma. Firdaus berhenti menelan liur.kemudian menyambung kembali.
 "Saya akui saya terlalu mengikut emosi petang tadi. Mungkin kerana demam saya belum sembuh sepenuhnya, membuatkan saya bertindak di luar kawalan. Oleh sebab itu, terimalah jamuan ringkas ini sempena permohonan maaf saya, dan juga sebagai menyambut hari ulangtahun kelahiran Asma pada pukul 12 malam ni."
Satu kelas bersorak kegembiraan. Pelajar-pelajar puteri menghampiri Asma dan memeluk gadis cantik itu. Mereka kemudian membawanya untuk memotong kek. Manakala pelajar lelaki pula tolong mengangkat makanan yang disediakan oleh Abang Li. Warden yang paling rapat dengan pelajar. Semua itu nampaknya sudah dirancang awal. Malam itu berakhir dengan indah. Bermula daripada peristiwa tegang pada prep petang, namun kerana diatasi dengan kebijaksanaan dan kesabaran semuanya berakhir dalam keadaan ukhuwah mereka semakin hebat dan utuh. Dalam keriuhan itu, lelaki itu diam-diam bertasbih memuji Allah. Benarlah! Dialah yang memegang hati-hati manusia dan berupaya membolak balikkannya bila-bila masa. Allahuakbar!!

Tiada ulasan:

 


Nohara al-Ramadani ©2016. Minima Template customized by Scyalicious