Novel-Bab 6

• Masa : 7:11:00 PTG • Ulasan : 0 • Label :
BAB 6
 Malam Jumaat di asrama merupakan malam yang paling menggembirakan. Mana tidaknya. Malam inilah para pelajar tidak perlu terkejar-kejar ke kelas prep. Tambahan pula esok hari minggu. Maka aktiviti mereka sedikit bebas. Selalunya waktu malam sebegini, para pelajar akan mengisi masa dengan menonton televisyen di bilik tv asrama. Ada yang melepak di surau, berbual-bual dan juga tidak kurang yang beribadah. Malah ada juga yang mengulangkaji pelajaran di bilik study mahupun di dorm sendiri. Semuanya bergantung pada diri sendiri. Sama ada ingin menggunakan masa sebaik mungkin atau membazirkannya dengan perkara sia-sia. Malangnya, kebanyakan dari pelajar asrama suka membazirkan masa yang ada. Benarlah kata Rasulullah S.A.W, 'Terdapat dua ni'mat yang mana manusia sering lupakan, iaitu ni'mat sihat dan juga masa lapang.'
Namun bagi Aina, dia sangat sensitif dengan masa. Jarang sekali dia menghabiskan masa dengan perkara yang sia-sia. Saat ini dia sedang mengikuti satu Usrah yang dikendalikan oleh seniornya Kak Aisyah. Dia selaku penolong ketua BADAR merupakan seorang yang amat dihormati. Malam itu, perbincangan mereka berkisar soal hati.

"Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud, 'bahawa sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Apabila baik daging itu, maka baiklah jasad seluruhnya. Tetapi jika rosak daging itu, maka rosaklah jasad seluruhnya. Ketahuilah bahawa daging itu adalah hati.' " Kak Aisyah membaca satu hadis yang sangat terkenal yang membicarakan soal hati. Asma yang berada di sebelah Aina mencatit nota pada bukunya. Mengambil isi-isi penting.
"Melalui hadis ini, dapat kita faham akan betapa pentingnya hati kita dalam membentuk peribadi seorang manusia. Apa-apa sahaja yang terbit dari peribadi kita, itu adalah cerminan hati kita yang sebenar. Sebab itulah jika kita hendak mengenali diri seseorang, kita lihat perilakunya. Bagaimana tutur katanya, bagaimana gerak lakunya dan bagaimana interaksinya dengan manusia lain. Jika baik, InsyaAllah hatinya juga baik." Kak Aisyah berhenti memandang wajah ahli usrahnya. Kemudian dia menyambung.
"Namun seperti jasad kita, hati kita juga perlu makan. Kalau tidak makan, lama-lama nanti hati kita akan sakit. Dan seandainya dibiarkan maka akan mati. Bermulah dari situlah perlakuan kita juga seperti orang mati, berbuat sesuka hati tanpa ada perasaan."
"Kalau hati kita memang dah mati macam mana akak? Boleh hidupkan balik?" Soalan dari gadis kecil molek yang bernama Zila itu mengundang tawa ahli usrah yang lain. Aina di sebelahnya hanya tersenyum. Comel telatah junior kesayangannya itu.
"Bagus soalan Zila tu. Kalau hati kita mati bagaimana? Caranya adalah kita kembali pada Allah. InsyaAllah hati kita akan 'hidup' semula. Tapi sebolehnya janganlah kita biarkan sampai hati kita mati. Kalau dah rasa hati tu dah sakit, cepat-cepatlah makan ubatnya."
"Ubat? Macam panadol yang ada dekat bilik sakit tu ke akak?"
Sekali lagi pertanyaan Zila membuatkan ketawa ahli usrah pecah. Gadis kecil ini memang lurus. Tapi Kak Aisyah suka dengan sikapnya yang ingin tahu dan suka bertanya. Kerana bila banyak bertanya, maka banyak persoalan akan terjawab dan ilmu akan bertambah. Sebab itulah ada pepatah yang mengatakan, 'malu bertanya, sesat jalan'.
"Bukan begitu Zila. Ubat hati ini ada lima. Yang pertama baca Quran beserta maknanya, yang kedua dirikan solat malam, ketiga bergaul dengan orang-orang soleh, keempat banyakkan berpuasa dan yang terakhir banyakkanlah zikir. Kalau selalu kita amalkan ini, InsyaAllah hati kita akan sihat dan seandainya sakit pun InsyaAllah akan sembuh." Jelas Kak Aisyah penuh kasih sayang.
"Emm...akak..saya ada soalan..err...cinta tu penyakit hati ke?" Soal Asma sedikit gugup. Semua ahli yang lain mengangguk-angguk. Seakan-akan bersetuju dengan soalan yang ditujukan Asma. Kak Aisyah tersenyum lebar. 'Makin rancak nampaknya perbincangan ni,' gumam hatinya gembira.
"Tidak. Cinta bukanlah penyakit. Tapi cinta adalah anugerah. Walaupun begitu kalau kita gagal menguruskan cinta, cinta itu akan menjadi maksiat dan penyakit. Cinta ada beberapa jenis. Cinta pada Allah dan Rasulnya tak perlu kita ragui lagi. Namun cinta pada sesama makhluk yang perlu kita jaga. Cinta itu hanya akan menjadi suci dan manis sekiranya cinta itu adalah semata-mata kerana Allah. Sebagaimana sabda Nabi S.A.W, 'tiga perkara yang mana sekiranya ada dalam hati seorang manusia maka dia akan merasai kemanisan iman. Yang pertama, adalah cintanya pada Allah dan Rasul lebih dari segala-galanya. Yang kedua, mencintai seorang lelaki atas seorang wanita, tidak lain tidak bukan hanya kerana Allah. Dan yang terakhir, dia benci untuk  kembali kepada kekufuran setelah dia diselamatkan dari kekufuran itu, sepertimana dia benci untuk masuk ke dalam neraka setelah ia diselamatkan dari neraka itu.' " Ulas Kak Aisyah.
Semua ahli berpuas hati dengan jawapan Kak Aisyah. Kecuali Asma, seakan-akan ada lagi persoalan yang terbuku di hatinya. Kak Aisyah bijak membaca riak wajah juniornya itu.
"Asma, ada apa-apa lagi nak ditanya?" Soal Kak Aisyah. Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, Asma meluahkan soalan dari hati.
"Apa pendapat akak kalau seorang perempuan yang melamar seorang lelaki? Tidakkah nanti dia dikatakan perigi mencari timba?"
"Haha..wahh..dah jauh Asma pergi ni," kata Kak Aisyah sedikit terkejut.
"Hem, beginilah..tidak ada masalah pun sebenarnya. Malah sirah nabawiyyah sendiri menceritakan bahawa Siti Khadijah sendiri yang memulakan langkah untuk berkahwin dengan nabi. Tidak ada masalah pun sekiranya seorang wanita ingin melamar seorang lelaki, sekiranya lelaki itu memang benar-benar soleh. Bukankah lelaki yang akan menjadi ketua keluarga nanti? Sudah tentulah kita mahukan yang terbaik bukan? Cuma yang perlu diperhatikan di sini ialah bagaimana, siapa, mengapa, dan bila kita perlu melakukan seperti itu. Pastikan semuanya dengan cara yang betul dan melalui orang yang betul." Jelas Kak Aisyah panjang lebar.
Usrah hari itu berakhir lebih lewat dari selalunya. Mungkin kerana tajuk yang dipilih oleh Kak Aisyah hari ini merupakan tajuk yang agak menarik. Terutamanya bagi anak-anak remaja yang sedang membesar seperti Asma dan Aina.
Seusai usrah, mereka bersurai. Ada yang balik ke asrama dan ada yang ke dewan makan. Tinggal Aina dan Asma sedang berehat di surau An-Najjah. Di bahagian solat lelaki kelihatannya sudah gelap. Mungkin sudah tidak ada siapa-siapa di situ. Tiba-tiba Asma bertanyakan Aina satu soalan yang bagi Aina aneh ditanyakan oleh sahabatnya yang sangat baik itu.
"Aina...apa pendapat kau tentang Amir ya?"
"Amir mana?" Sengaja soalan ini Aina tanya walaupun dia tahu siapa yang Asma maksudkan.
"Amir mana lagi yang ada? Amiruddin Abdullah la..." balas Asma.
"Oh...Amiruddin...hem dia tu seorang yang matang, lemah lembut, penyabar, pandai dan macam-macam lagi," luah Aina jujur.
"Macam-macam lagi tu macam mana?" Soal Asma meminta penjelasan lanjut.
"Macam-macam lagi tu macam-macam lah...haha." Aina mengusik rakannya itu. Asma turut ketawa. Kemudian mereka terdiam. Seakan-akan melayan perasaan masing-masing.
"Aina....aku rasa aku jatuh hati pada Amir la.."
Tersentak Aina. Seakan-akan dia mendengar guruh berdentum di langit. Pengakuan jujur dari Asma yang walaupun sudah dijangkanya tetap membuatkan hatinya berdebar. Membuatkan hatinya tidak senang. Namun, cepat-cepat istighfar dimainkan dilubuk hatinya. Mengusir hasutan jahat dari musuh yang tidak dilihat manusia. Api cemburu dapat dikawal. Iman menguasai hati.
"Tak hairan pun kau jatuh hati pada Amir Asma. Amir memang orang yang baik. Tak salah kalau nak kata dia calon pilihan suami nanti," ungkap Aina jujur.
"Aku tak sedar pun Amir selama ni Aina. Tapi semenjak aku lihat Amir selesaikan masalah kelas kita tempoh hari, aku terus jatuh hati dengan karisma Amir. Dia tak sama macam pelajar-pelajar putera yang lain. Bila aku bercakap berdepan dengan dia, baru aku perasan keindahan wajah Amir, keredupan pandangan matanya, kejernihan air mukanya, dan kelembutan suara merdu Amir. Ahh! Aku jatuh cinta Aina!" Kata Asma separuh menjerit. Aina terus beristighfar di dalam hati. Diukirkan senyuman manis meraikan kegembiraan sahabat baik.
"Em..Aina..kau jangan cerita pada siapa-siapa tahu! Kalau Amir tahu malu aku." Asma memberi pesan.
"InsyaAllah..." jawab Aina perlahan.
"Eh, dah lewat ni..jomlah kita balik asrama." Ajak Asma.
"Em..kau balik lah dulu Asma. Aku nak mengulang hafazan sekejap," kata Aina beralasan.
"Oh..baiklah kalau macam tu. Aku balik dulu. Jangan lama-lama sangat tahu. Nanti pak guard marah," pesan Asma sambil berlalu pergi. Pandangan redup Aina menemani kelibat Asma yang hilang di sebalik pintu keluar surau. Aina merenung jauh ke dalam hatinya. Adakah dia punyai perasaan pada Amiruddin? Amiruddin pula bagaimana? Hatinya sudah berpunya atau belum? Ataupun dia langsung tidak memikirkan soal hati yang melalaikan ini? Bagaimana dengan Asma? Adakah Asma seorang sahaja yang cintakan Amir atau ada lagi yang lainnya?
Semua pertanyaan tidak berjawapan itu menyesakkan hati Aina. Dia ingin mengadu pada Yang Maha Menguasai segala-galanya. Dia bingkas bangun. Telekung dipakai. Lalu takbir diangkat. Solat sunat didirikan. Dia tenggelam dalam kesyahduan surah Al-Baqarah yang dibaca. Satu juzuk. Dua juzuk. Tiga juzuk! Tiga juzuk dia habiskan dalam dua rakaat solat sunat. Seusai solat dia menadah tangan berdoa.
"Ya Allah, sekiranya rasa cinta ini suci keranaMu, maka peliharalah rasa ini. Sekiranya cinta ini hanya nafsu semata-mata, maka hapuskanlah ia dari hatiku. Ya Allah, sekiranya dia tercipta untukku, maka peliharalah dia untukku. Hanya Engkau yang menguasai sekalian hati-hati manusia. Amin ya rabbala'lamin."

Tiada ulasan:

 


Nohara al-Ramadani ©2016. Minima Template customized by Scyalicious