Novel-Bab 3

• Masa : 10:16:00 PTG • Ulasan : 2 • Label :
BAB 3
 Surau An-Najjah kelihatan sedikit lengang. Waktu ini para pelajar sedang bekejar ke dewan makan untuk minum malam. Menjadi penghuni asrama membuatkan waktu makan merupakan saat yang dinantikan. Tak kurang juga segelintir pelajar  yang terus menghala ke asrama, menuju mencari tilam dan bantal. Ingin melepaskan penat setelah mengulangkaji di kelas pada waktu prep malam. Hanya beberapa orang sahaja pelajar yang menjadikan rutin harian mereka menunaikan solat sunat di surau setelah kelas prep. Kemudian baru dilakukan kerja-kerja lain. Benarlah kata ustaz, hendak jadi orang hebat, lazimilah melakukan yang sunat, kerana tidak ramai yang mampu melakukannya dalam kesibukan harian.
Kelihatan di tengah surau An-Najjah, sekumpulan pelajar lelaki dan perempuan sedang bermesyuarat. Antara mereka dipisahkan oleh tirai coklat yang mengasingkan kawasan solat putera dan kawasan solat puteri. Hanya dibuka sedikit tirai untuk memudahkan perbincangan. Adab khtilat yang diajar di sekolah ini diamalkan sebaik mungkin.
"Saya harap kamu semua senang meluangkan sedikit masa malam ini." Kata Abang Mustakim selaku ketua Pengawas sekolah yang bertanggungjawab ke atas hampir 800 orang pelajar. Satu amanah yang tidak sanggup dipikul oleh semua orang yang mengetahui akan beratnya menanggung sebuah amanah. Ahli jawatankuasa tertinggi yang lain diam menantikan kata-kata seterusnya dari ketua mereka.

"Tujuan saya mengumpulkan kamu ni sebab saya mahu dapatkan maklumat awal tentang akhlak pelajar bagi tahun ini. Seperti yang kamu sedia maklum, tahun ni mungkin akan menjadi satu tahun yang mencabar bagi lembaga pengawas sekolah berdasarkan keadaan dan kes-kes yang berlaku pada tahun lepas. Jadi, saya nak tahu dari pihak pelajar puteri dahulu. Anisah, boleh terang secara ringkas?"
Tersentak penolong ketua pengawas itu apabila namanya disebut. Mungkin tidak menjangkakan soalan itu dari Mustakim.
"Ah...errr...sekarang ni, keadaan pelajar puteri agak merisaukan sebenarnya. Pelajar-pelajar yang nakalpun nampak makin berani. Dengan pengawas pun, mereka buat endah tak endah saja. Masa roll call petang tadi, ramai yang turun lambat, yang tak turun pun ada. Pengawas naik ronda mereka buat tak tahu saja!" Luah Anisah sedikit marah. Dia sakit hati dengan telatah segelintir pelajar puteri yang seakan-akan mencabar pengawas. Hasilnya petang tadi terpaksa dia panggil warden untuk naik ke atas. Dia masih ingat lagi bagaimana Cikgu Nazirah yang lemah lembut mengamuk dengan pelajar-pelajar puteri. Huh!! Boleh sakit jantung dibuatnya!
Berkerut dahi Mustakim mendengar khabaran itu. Dia sangkakan hanya pelajar putera sahaja yang bermasalah, rupanya pelajar puteri pun perlu diberi perhatian lebih! Berat,berat!!
"Emm..junior macam mana?" Soal Shahril, ketua Badan Dakwah dan Rohani Sekolah ataupun lebih dikenali dengan singkatan BADAR.
"Hem..ni lah masalahnya...junior-junior ramai yang terikut dengan senior yang pelik-pelik tu. Makin lama, makin ramai pulak yang buat perangai!! Geram betol!!" Luah zahidah meluahkan rasa marah. Selaku ketua asrama dia lah yang paling 'teruk' dikerjakan pelajar-pelajar nakal. Makin menyesakkan jiwanya apabila adik-adik mudah sangat terikut dengan budaya-budaya yang tidak baik yang ditunjuk oleh kakak-kakak mereka.
"Hem...macam ni lah...sekarang ni saya nampak situasi pelajar putera dan puteri sama sahaja. Masing-masing bermasalah. Jadi apa yang saya harapkan dari kepimpinan pada tahun ini, kamu kenalah cekal. Kita mungkin akan dapat tentangan yang hebat tahun ni. Rasanya kita takkan mampu buang semua masalah-masalah akhlak ni semua, cuma harapnya kita dapat kawal jangan sampai jadi keterlaluan." Luah Mustakim penuh harapan. Dia berharap sangat lembaga pengawas tahun ini dapat cekal menghadapi situasi akhlak pelajar sekarang yang sangat membimbangkan.
Mesyuarat itu berakhir dengan keluhan berat ahli lembaga pengawas. Terasa berat benar akan bebanan mereka pada tahun ini berbanding tahun lepas. Namun, mahu tidak mahu mereka terpaksa hadapi semua ini. Amanah yang diterima perlu dilaksanakan sebaik mungkin walaupun terpaksa mengorbankan perasaan sendiri. Walaupun terpaksa mengorbankan masa peribadi. Walaupun terpaksa menerima caci maki! Semua yang dilakukan tak lain tak bukan hanya kerana ingin membantu para warden mengawal tingkah laku pelajar dan menjaga nama baik sekolah.
Mustakim masih terpaku di tempat duduknya walaupun jam sudah menunjukkan pukul 11.00 malam. Sepatutnya saat ini dia berada di asrama. Kalau ditemui pengawal sekolah pasti dia akan ditegur. Sayup-sayup dia mendengar Surah Al-Mulk berkumandang dari asrama putera dan puteri silih berganti. Tepat pukul 11.30 nanti semua pelajar perlu tidur. Mustakim menarik nafas dalam-dalam. Lalu menghembus habis. Seakan-akan meluahkan semua masalah yang terbuku di hati. Dia kemudian bingkas bangun, lalu solat sunat ditunaikan. Memohon kekuatan dari yang Maha Berkuasa. Agak lama solat dan sujudnya. Hampir ke jam 1 pagi baru dia selesai solat. Dia sendiri terkejut melihat jam di dinding. Ni'mat yang dirasakan membuatkan masa yang berlalu ibarat air yang mengalir deras. Pantas sekali.
Selesai solat Mustakim melangkah kembali ke asrama. Sebelum meninggalkan surau tadi, kesemua suiz lampu dan kipas ditutup bagi mengelakkan pembaziran. Tidak sampai seminit dia sampai di asrama putera. Dia hairan melihat sekumpulan pelajar putera masih lagi melepak di kerusi di belakang asrama. Dia menghala ke arah bilik gerakan pengawas. Kelihatan dua orang pengawas bertugas sedang berada di dalam bilik itu.
"Azeem, kenapa budak-budak tu masih lepak lagi di belakang tu? Sudah buat pengumuman belum?"
"Dah buat dah tadi abang Mus..tapi diorang tu buat tak tahu ja. Saya nak pergi tegur tak berani. Semua tu geng Najmi dengan Hazami. Tak ada siapa berani tegur." Jawab Azeem yang bertugas malam itu.
Mustakim mengeluh berat. Setiap kali mendengar nama Najmi dan Hazami pasti kepalanya terasa berat. Ada-ada saja karenah mereka. Ada pengawas pun tidak berani berbuat apa-apa. Hanya dia seorang yang mampu berhadapan dengan Najmi. Yang lain semua tidak berani mengambil risiko untuk berhadapan dengan samseng utama sekolah itu. Bimbang diapa-apakan.
"Tak apalah, biar abang pergi tengok." Kata Mustakim sambil berlalu pergi. Dia menghampiri kawasan Najmi dan Hazami melepak. Dari jauh dia nampak asap berkepul-kepul keluar dari mulut dua samseng sekolah itu. Spontan lafaz istighfar terbit dari mulutnya. Agak terkejut dengan keberanian dua pelajar itu. Berani betul!
"Najmi, Hazami! Kenapa tak tidur lagi?" Soal Mustakim masih berlembut. Dua pelajar itu berkalih memandang ketua pengawas sekolah itu. Jelingan menjengkelkan diberikan seolah-olah mereka tidak mengakuinya sebagai seorang ketua.
"Kau tak nampak aku tengah buat apa?" Soal Najmi kasar sambil menunjukkan rokok yang terkepit di jarinya.
"Abang Mus tak nak cuba ke?" Soal Hazami pula sambil menghembus kepulan asap ke muka Mustakim. Terbatuk-batuk lelaki itu. Dia mengibas-ngibaskan tangannya di hadapan muka. Menghilangkan asap rokok tadi. Busuk!!
"Jaga perangai kau Hazami. Jangan nak kurang ajar dengan orang yang lebih tua dari kau!" Kesabaran Mustakim sedikit terusik.
"Ala...rilek la Mus...kejap lagi kami naik la. Nak rehat-rehat kejap. Kau pun lepak la sekali." Najmi sengaja 'mencucuk' lagi. Ingin menguji Mustakim.
"Sudah! Tak kuasa aku nak lepak dengan perokok macam kamu ni! Buang masa aku saja. Baik kamu pergi naik dorm sekarang sebelum aku panggil warden datang! " Ugut Mustakim. Dia sudah malas nak melayan karenah dua pelajar itu.
Najmi menjeling tajam Mustakim. Lama kemudian dia menekan-nekan hujung puntung rokoknya di meja kayu di hadapannya. Puntung itu kemudian di buang. Lalu dia menggamit Hazami dengan isyarat mata. Mengajak juniornya itu naik sebelum keadaan menjadi lagi tegang. Sambil berlalu Najmi sengaja melanggar bahu Mustakim. Terundur lelaki itu apabila bertembung dengan badan sasa Najmi. Hatinya dipujuk agar bersabar. Dia biarkan dua 'musuh' ketatnya itu berlalu. Mereka naik melalui tangga lalu menghilang di sebalik pintu dorm B1. Dorm yang paling 'keras'. Yang paling ditakuti oleh semua pengawas! Apa sahaja hal berkaitan dorm itu selalunya akan diuruskan oleh Mustakim sendiri.
"Allahhhuakbar..." Kalimah agung itu keluar perlahan dari mulut Mustakim bersama beban-beban yang bersarang di pundaknya. Terasa ingin rebah di situ sahaja melayankan karenah pelajar asrama. Namun dikuatkan hati dengan mengembalikan semuanya pada Yang Maha Esa.
"Innallahamaa'ssobirin.." Berulang kali ayat surah Al-Baqarah itu diulang sambil dia melangkah naik ke biliknya di tingkat atas sekali. Mustakim tinggal bersama Shahril, Amri dan Hanafi. Ini memudahkannya untuk berbincang dengan rakan-rakannya itu yang masing-masing merupakan Ketua Badar, Ketua Asrama dan Biro Disiplin Lembaga Pengawas Sekolah. Keempat-empat jawatan ini merupakan tonggak utama pengawas sekolah. Kalau keempat-empat jawatan ini dipegang oleh mereka yang 'kuat' nescaya akhlak pelajar dapat dikawal baik. Namun tahun ini, harapan itu seakan-akan tidak mungkin akan dicapai. Kerana antara mereka berempat hanya Mustakim yang mampu bertahan. Yang lain hanya membantu apa yang mereka mampu sahaja. Untuk melakukan sesuatu yang lebih itu mustahil.
Mustakim membuka pintu biliknya perlahan. Cuba untuk tidak mengganggu rakan-rakannya yang sudah tentu sekarang ini sedang enak dibuai mimpi. Benar tekaannya. Mereka semua sudah tidur. Kecil sedikit hati Mustakim mengenangkan rakan-rakannya yang sangup bersenang di katil sedangkan dirinya masih berjaga melihat keadaan asrama. Sedih hatinya membuatkan perasaan mengantuknya hilang. Pintu tidak ditutup. Dia keluar kembali. Dia ingin meronda di setiap dorm bagi menghilangkan gundah hatinya. Dia meronda di aras 2. Aras itu terdiri dari Dorm A6 sampai Dorm A10 di sayap kanan blok. Manakala di sayap kiri pula terdiri dari Dorm B6 sampai Dorm B10. Sepanjang dorm yang dilalui, semuanya sunyi. Masing-masing sudah tidur. Sesekali apabila melalui tandas atau bilik membasuh, Mustakim akan menutup lampu yang dibiarkan terbuka. Elak pembaziran.
Selesai di aras 2, Mustakim turun pula ke aras 1. Dia melalui sayap kiri blok yang terdiri dari Dorm B5 sampai Dorm B1. Tidak ada pergerakan yang mencurigakan. Najmi dan Hazami di Dorm B1 pun turut sama terlentang nyenyak seperti pelajar lain. 'Mungkin sudah kenyang dengan asap rokok tadi agaknya', gumam hati Mustakim. Dia kemudian meneruskan rondaannya ke sayap kanan blok. Apabila melalui Dorm A1, dia menjeling sekilas ke dalam melalui tingkap. Langkahnya terhenti apabila dia menangkap pergerakan yang mencurigakan di katil hujung dorm itu. Mustakim mengintai perlahan dari tingkap dorm. Benar! Ada orang buat sesuatu! Mencuri? Hati Mustakim menduga. Dia mengamati dengan lebih teliti. Waktu malam yang gelap mengehadkan sedikit penglihatannya. Setelah lama diamati barulah jelas pada pandangan matanya. Serta-merta terbit kalimah suci mengagungkan Allah dari bibir Mustakim.
"Orang tengah solat?"
Mustakim melihat jam dipergelangan tangan. Pukul 2.08 pagi. Subhanallah! Dalam keadaan akhlak pelajar yang semakin merudum ini, rupanya masih terselit 'permata' di celah-celah itu. Terbit rasa kagum dalam hati Mustakim pada hamba Allah yang sedang bertahajjud pada saat orang lain enak dibuai mimpi. Dia melihat profile ahli dorm yang terpampang di papan kenyataan di luar dorm itu. Sedang melihat-lihat wajah ahli kamar itu, tiba-tiba matanya jatuh pada seraut wajah yang putih bersih. Mustakim yakin, mesti orang yang dilihat gambarnya inilah yang sedang menunaikan solat tu. Dia melihat nama yang terpampang di bawah gambar itu. Perlahan mulutnya membaca nama tersebut dengan rasa kagum.
"Amiruddin Abdullah....."

2 ulasan:

@ainaabeautyanis.naa berkata...

novel ni buat sebab final project ka? nice written

Unknown berkata...

Tak la anis, memang menulis sebab minat dan hobi.:) tak da kaitan dengan study pun sebab sekarang study degree in nursing, haha

 


Nohara al-Ramadani ©2016. Minima Template customized by Scyalicious